Hidup sebagai suami isteri tidak terlepas dari kesilapan dan perselisihan.
Kesabaran dan tolak ansur amat penting untuk mengatasi masalah dari
berterusan. Gunakanlah kebijaksanaan dan daya pujukan agar yang keruh
kembali menjadi jernih, yang kusut tersusun rapi dan yang marah tertawa
kerana hilang sirna perasaan meluap yang terbuku di hati.
Setiap suami mesti peka dan harus menghargai perasaan isteri, kerana
merekalah lubuk si suami memadu kasih dan menghilangkan kerungsingan.
Sekeras-keras hati perempuan di sebaliknya ada kelembutan, cuma cara
serta pendekatan perlu sepadan dan tepat pada masa. Kekerasan hati
mereka akan cair dengan pujukan keinsafan, kemarahan mereka akan lenyap
dengan air mata kekesalan.
Semoga kita mendidik diri dan isteri dalam menangani perselisihan
dan kesilapan agar hidup akan sentiasa aman walau ditimpa pelbagai
masalah, insya Allah.
|