Buku Agama Islam Terbitan

Penyalur Inspirasi Ummah

 Rahsia Kewanitaan

Soalan-soalan:

  1. Doa dan Wirid ketika Haid
  2. Membuang Bulu Roma
  3. Memotong kuku Ketika Hadas Besar
  4. Bersih dari Haid dan nifas
  5. Hukum Wanita Memakai Minyak Wangi
  6. Perasaan Seorang Janda
  7. Perempuan Mencukur Bulu Kening
  8. Tempoh Kedatangan Haid
  9. Dilema Jodoh Setelah Istikharah
  10. Haid 2 Kali Sebulan
  11. Dilema Setelah Terlanjur
  12. Hukum Memasukkan Jari ke Faraj
  13. Solat bagi Wanita Mengalami Keputihan
  14. Guna Ayat Menambat Hati
  15. Hukum Pembedahan Payudara
  16. Aurat Wanita Islam terhadap Bukan Islam
  17. Persediaan Menjelang Hamil
  18. Pakaian Menutup Aurat
  19. Menulis dan Membaca Terjemahan Al-Quran Ketika Haid
  20. Darah Istihadhah
  21. Menggugurkan Kandungan Kerana Kemudaratan
  22. Ketiadaan Doktor Wanita
  23. Mengenal Air Mani
  24. Tempoh Masa Haid
  25. Hukum Wanita Betindik Di Hidung

 


 

1. Doa dan Wirid ketika Haid
Soalan:
Bolehkah seorang wanita yang didalam keadaan haid mengamalkan doa-doa yang di petik dari ayat Al-Quran (dengan niat berdoa)?

Juhanizah, Subang Jaya

Jawapan:
Ada berbagai pendapat tentang boleh dan tidaknya seseorang itu membaca Al-Quran ketika mereka sedang haid atau berjunub. Pendapat yang mengatakan wanita haid tidak boleh membaca Al-Quran sesuai dengan dalil Al-Quran maksudnya: "Tidak menyentuh Al-Quran kecuali orang-orang yang disucikan". (Al Waqiah ayat 79). Kemudian menurut hadis Rasulullah SAW maksudnya: "Tidak menyentuh Al-Quran kecuali orang-orang yang suci". (Riwayat Tabrani) Pendapat yang mengatakan boleh mereka berdasarkan sebuah hadis yang umum bermaksud: "Bahawa Rasulullah SAW berzikir kepada Allah dalam segala keadaan. Menurut riwayat bahawa Ibnu Abbas membaca wirid ketika berjunub. Bahkan beliau ada berkata "Telah bercerita kepadaku Abu Sufyan bahawa Harqal menyeru orang ramai dengan membaca kitab Nabi SAW iaitu dalam keadaan berjunub".

Diceritakan oleh Abu Tsaur dari Imam Syafe'i bahawa wanita yang sedang haid dibolehkan membaca Al-Quran. Tentang penafsiran mereka ayat yang menyebutkan: "Tidak menyentuh Al-Quran kecuali orang-orang yang disucikan" (Al Waqiah ayat 79) Maksud ayat disini adalah orang-orang kafir dilarang menyentuh Al-Quran.

Untuk lebih jelas kita rujuk pendapat-pendapat ulama muktabar.
Menurut mazhab Abu Hanifah, mazhab Syafe'i dan Ahmad mengatakan: Wanita haid dan junub boleh membaca Quran tanpa memegang kitab.

 DN 203 Pantang Larang Wanita - Haid, Nifas & Istihadhah

Kembali ke atas ↑


 

2. Membuang Bulu Roma
Soalan:
Apakah hukumnya membuang bulu roma yang menyerupai lelaki?

Mai Aniza Aris, KL

Jawapan:
Allah telah menjadikan sesuatu dalam diri kita dengan lengkap dan sempurna serta mengandungi hikmah yang besar setiap ciptaan-Nya itu. Jika bulu roma yang anda maksudkan itu dapat menimbulkan mudarat pada diri anda maka dibolehkan untuk mencukurnya demi menjaga kesihatan. Namun jika pencukuran itu dilakukan atas niat lain, seperti ingin menunjuk betis kita kepada orang lain atau kepada yang bukan muhrim, maka jelaslah hukumnya menjadi haram kerana betis itu merupakan aurat bagi seorang wanita.

Kembali ke atas ↑


 

3. Memotong kuku Ketika Hadas Besar
Soalan:

Benarkah kalau seseorang itu berada dalam hadas besar (ketika haid) ia tidak boleh memotong kuku?
Dan benarkah rambut yang telah gugur itu perlu di bawa ketika mandi wajib?

Nani,KL

Jawapan:
Kuku yang telah dipotong serta rambut yang gugur tidak perlulah dibawa ikut serta ketika mandi wajib, kerana bahagian-bahagian itu telah terbuang dan tidak dapat digunakan lagi anggota tubuh. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


 

4. Bersih dari Haid dan nifas
Soalan:
Bagaimanakah seseorang itu dikatakan bersih daripada haid/nifas? Sekiranya haid berlarutan sehingga lebih dari 7 hari adakah ianya masih belum bersih?

Salina, KL

Jawapan:
Dalam istilah ilmu fiqih masa lamanya wanita mengeluarkan darah haid ada terbahagi tiga.
1. Masa  "Akulul haid" masa yang paling sedikit iaitu 24 jam.
2. Masa  "Aksyarul haid" masa yang paling panjang iaitu 15 hari 15 malam.
3. Masa  "Ghalibul haid" masa kebanyakan wanita mengalaminya iaitu 6 atau 7 hari 7 malam.

Jika ada wanita mengeluarkan darah selama 15 hari/malam tetapi tidak terus menerus dan jika dikumpulkan semua tidak ada 24 jam, maka darah itu bukan dikatakan darah haid melainkan darah istihadah.

 DN 190 Wanita & Darah

Kembali ke atas ↑


 

5. Hukum Wanita Memakai Minyak Wangi
Soalan:
Apakah hukum jika seseorang wanita itu memakai minyak wangi ketika keluar berjalan-jalan(bersiar-siar), kawan saya mengatakan yang dia telah terbaca suatu buku yang mengatakan haram kerana boleh menimbulkan pelbagai fitnah terhadap wanita tersebut?

Tamimi, Batu Caves

Jawapan:
Memang benar bagi wanita yang kelaur rumah memakai harum-haruman hukumnya haram, kerana dapat menimbulkan fitnah, ertinya menyebabkan lelaki lain tertarik kepadanya. Wanita yang berhias diri seperti memakai wangian, lipstik dan sebagainya ketika ke luar rumah hukumnya berdosa, tak kiralah bulan biasa ataupun bulan Ramadhan. Kerana perbuatan seperti itu hanya dilakukan oleh wanita-wanita pada zaman jahiliyah. Namun berhias untuk menyenangkan hati suami, wajib hukumnya, itupun hindarkan memakainya ketika di siang bulan Ramadhan.

Kembali ke atas ↑


 

6. Perasaan Seorang Janda
Soalan:
Bagaimanakah caranya untuk menepis tanggapan buruk masyarakat terhadap mereka yang memegang status janda/duda?

Umi ,KL

Jawapan:
Anggapan buruk masyarakat terhadap seorang janda yang beriman merupakan dosa. Walaupun begitu kita hendaklah menghadapi masalah ini sebagai suatu cobaan daripada Allah SWT agar kita sentiasa pada garis yang benar. Cara yang mudah untuk menepis tanggapan buruk itu adalah dengan banyak berdoa kepada Allah SWT setelah selesai solat, serta tunjukkan keperibadian seorang muslimah yang solehah dengan berpakaian yang dianjurkan dalam Islam, mengatur pergaulan dengan baik, sering menghadiri majlis ilmu yang tidak menimbulkan fitnah, serta buatlah sesuatu yang tidak bertentangan dengan agama Islam.

Biarkan anggapan buruk itu timbul di hati setengah insan yang berpenyakit disekeliling kita asalkan kita tetap pada jalan yang benar. Kerana membalas anggapan buruk dengan menjelaskan kepada mereka tentang diri kita kadangkala hanya sia-sia semata. Cukuplah Allah tempat kita mengadu dan menyerahkan segalanya, kerana dengan cara ini saja hati kita menjadi aman dan tenteram, insya Allah.

Kembali ke atas ↑


 

7. Perempuan Mencukur Bulu Kening
Soalan:

Sejak akhir-akhir ini, remaja perempuan semakin gemar bermekap. Setahu saya, di sekolah saya dapati segelintir remaja perempuan mencukur bulu kening mereka. Lebih menyedihkan lagi apabila remaja perempuan Islam bertidak sedemikian rupa. Apakah hukumnya dari segi Syara'?

Adi, Kuching

Jawapan:
Menurut pandangan syara' adalah haram kepada seseorang perempuan mencukur bulu keningnya kerana itu bererti merubah ciptaan Allah dan merubah ciptaan Allah ini adalah dilarang keras di dalam Al-Quran. Perbuatan ini juga menyerupai masyarakat yang bukan Islam, sedangkan Islam sudahpun mempunyai identiti tersendiri dalam soal perhiasan.

Di dalam sebuah hadis yang sahih melarang keras seseorang perempuan itu menyambung rambut rambutnya dan meminta orang lain menyambung rambutnya dan lain-lain, apalagi perbuatan mencukur buku kening. Kecuali jika bulu-bulu tersebut tumbuh di tempat-tempat yang tidak sepatutnya tumbuh pada diri perempuan, dikala itu wajiblah menghilangkannya, seperti tumbuh bulu di pipi, tumbuh misai dan janggut seperti lelaki, kesemua bulu-bulu ini hendaklah dibuang kerana ia menjelekkan pemandangan seseorang perempuan.  

Kembali ke atas ↑


 

8. Tempoh Kedatangan Haid
Soalan:

Saya ingin bertanya soalan mengenai haid. Sekiranya seseorang telah uzur, kemudian pada hari yang ke 7 dia telah suci. Setelah berlalu 3 hari suci, pada hari yang ke 10 terdapat tanda-tanda yang seakan-akan darah haid (berwarna perang). Walhal pada 3 hari suci itu dia telah beerpuasa. Soalannya bagaimana keadaannya pada waktu itu. Dan sekiranya ia didapati darah istihadah adakah perlu bersuci semula?

Zahariah, Bangi

Jawapan:
Sebagaimana yang diketahui dalam madhhab Asy-syafi'i tempoh haid yang paling kurang bagi seseorang wanita ialah sehari semalam, paling sederhana ialah tujuh hari tujuh malam dan yang paling lama ialah lima belas lima belas malam. Dalam kes di atas seorang perempuan didatangi haid selama tujuh hari setelah itu ia suci 3 hari. Dalam tempoh suci tiga hari ini ia mengambil kesempatan untuk berpuasa. Setelah itu pada hari kesepuluh terdapat tanda-tanda haidnya datang kembali.

Bagi menyelsaikan kes ini jika tempoh tanda-tanda datang haid selepas itu berlalu dalam jumlah hari yang jika dicampurkan dengan tempoh tujuh hari pertama haid masih belum cukup tempoh haid yang paling panjang
maka hukumnya tanda-tanda kedatangan yang kedua ini dikira sebagai sebagai haid juga. Ini bermakna puasa yang dilakukan oleh individu terlibat tidak sah kerana tempoh itu bukanlah tempoh suci dalam ertikata yang sebenarnya.Ia dikehendaki menggantikannya pada hari-hari lain.

 DN 190 Wanita & Darah
 DN 203 Pantang Larang Wanita - Haid, Nifas & Istihadhah

Kembali ke atas ↑


9. Dilema Jodoh Setelah Istikharah
Soalan:
Saya mempunyai kenalan dan pada saya kenalan ini amat sesuai daripada ciri-ciri yang 4 sebagaimana yang telah kita ketahui. Saya telah melakukan sembahyang istikharah selama 7 hari berturut-turut dan Alhamdulillah saya telah di berikan petunjuk. Persoalannya kami telah bersemuka dan menyatakan luahan hati masing-masing dan saya dapati beliau telah mempunyai pilihan hati sendiri. Selepas itu saya telah bertemu dengan seorang insan yang juga memenuhi ciri-ciri tersebut. Hubungan kami setakat ini. Alhamdulillah walaupun belum membicarakan soal berumah tangga, dilema yang melanda pada masa ini ialah saya teringat tentang petunjuk yang lalu. Bagaimana Ustaz?

Zahariah, Bangi

Jawapan:
Dalam kes ini adalah suka disarankan kepada yang terlibat supaya jangan berputus asa. Tidak semestinya kita gagal buat kali pertama bererti kita juga akan turut gagal buat kali kedua. Jodoh pertemuan itu di tangan Allah. Saudari hendaklah mengadakan solat hajat memohon supaya Allah SWT mengurniakan suami yang salih kepada saudari. Setelah mengadakan solat hajat beberapa kali, bolehlah saudari menyatakan perasan saudari itu kepada jejaka idaman saudari itu tadi.

Jika jawapannya negatif saudari hendaklah reda dengan kehendak Allah dan jangan sekali-kali berputus asa. Jika jawapannya positif hendaklah bersyukur kepada Allah. namun untuk berputus asa jangan sekali. Dalam Al-Quran orang yang berputus asa hanya ditujukan kepada orang yang zalim dan kafir sahaja. Jangan saudari letakkan diri saudari di status ini. bagaimanapun saudari diingatkan supaya beriltizam denagan adab-adab Islam ketika pertemuan diadakan dengan membawa mahram bersama saudari jika tidak yang ketiganya adalah syaitan.

Kembali ke atas ↑


10. Haid 2 Kali Sebulan
Soalan:
Bagaimana mengira tempoh suci bagi wanita yang haidnya sampai dua kali dalam sebulan dan biasanya tempoh setiap satunya agak panjang dari biasa contohnya 10 ke 15 hari (kadang-kadang lebih lagi) lamanya?

Isa, PJ

Jawapan:
Bagi madhhab Asy-Syafii tempoh haid yang paling kurang bagi seseorang perempuan ialah sehari semalam, paling sederhananya ialah tujuh hari tujuh malam dan tempoh paling lama sekali ialah lima belas hari. Darah yang keluar selepas itu tidak lagi dikira sebagai darah haid sebaliknya dikira sebagai darah istihadah atau darah penyakit.

Ada juga dikalangan ulamak kebelakangan ini yang membezakan antara darah haid dengan darah yang bukan haid melalui rupa dan warna darah itu sendiri, sebagaimana yang dinakalkan oleh Sayyid Sabid dalam kitabnya Fikih As-Sunnah. Dalam situasi seseorang itu di datangi haid sebanyak dua kali sebulan, jika wanita tersebut dapat membezakan antara warna darah haid dengan dengan warna darah istihadah, hendaklah ia beramal dengan kemampuannya membezakan antara kedua warna ini.

Jika ia tidak dapat mengeceam antara keduanya hendaklah ia mengikut bilangan hari yang paling panjang apabila seseorang itu didatangi haid iaitu selama 15 hari 15 malam. Dengan lain perkataan jika haidnya yang pertama kali datang ialah mencukupi tempoh haid yang paling panjang dalam madhhab Syafi'i iaitu selama 15 hari, maka darah yang keluar buat kali kedua itu bukan darah haid sebaliknya lebih dikenali sebagai darah istihadah atau darah penyakit.

Yang terlibat dikehendaki bersuci, kemudian menyumbat alat kelaminnya dengan tuala pelekat seterusnya bersegera mengambil wuduk untuk menunaikan solat. Kesemua ini dilakukan sebaik sahaja masuk waktu solat.

Kembali ke atas ↑


11. Dilema Setelah Terlanjur
Soalan:
Masalah saya ialah, buat pengetahuan ustaz saya belum berkahwin, tetapi sebulan lepas saya telah terlanjur dengan seorang teman (selepas 2 hari bebas dari haid). Tetapi teman saya tidak memasukkan sehingga pangkal, cuma di hujung saja. Dan  pancutan mani berlaku di luar bukan di dalam. Masalahnya sekarang setelah cukup sebulan lebih (dari tempoh terlanjur itu) dan haid saya tidak datang, ini merisaukan saya, adakah saya telah mengandung atau hanya lambat datang haid. (Kebiasaannya mula datang haid saya 29-31 haribulan) . Apa yang patut saya buat jika betul saya mengandung, apa langkah yang patut saya lakukan?

Hamba Allah, Johor

Jawapan:
Dalam Al-Quran jelas terdapat larangan melakukan perzinaan baik secara sukarela mahupun secra terlanjur. Pelakunya bukan sahaja dikutuk oleh Allah malah jika ia belum berkahwin  ia layak dirotan sebanyak seratus rotan menurut hukum hudud Islam jika sabit kesalahannya. Al-Imam Az-Zahabi menukilkan sebuah hadis yang menjelaskan apabila seseorang hamba melakukan perzinaan tercabutlah iman dari dirinya sebagaimana ia mencabut pakaian dari badannya. Iman itu berada di atas kepalanya seperti bayangan. Setelah ia berhenti dari melakukan perzinaan iman itu kembali semula kepadanya.

Inilah yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidhi dan juga Imam Al-Baihaqi. Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Jawzi menjelaskan seseorang yang melakukan perzinaan akan ditimpa 6 sifat yang membinasakannya 3 di dunia dan 3 lagi di Akhirat. 3 di dunia ialah hilang kehebatan air muka, pendek umur dan berterusan dalam keadaan papa kedana manakala 3 di akhirat pula ialah mendapat murka Allah, hisab yang buruk dan mendapat azab yang pedih dalam neraka.

Memandangkan betapa dahsyatnya perzinaan ini, maka Islam mengharamkan seorang lelaki berkhalwat dengan seorang perempuan walaupun kekasih atau tunangannya sendiri. Dalam sebuah hadis riwayat Jabir RA menjelaskan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat maka janganlah ia berkhalwat dengan seorang perempuan tanpa mahram, kerana pihak yang ketiganya ialah syaitan. Apabila seorang lelaki berada berdekatan dengan seorang perempuan apalagi jika berkhalwat di tempat sunyi, syaitan akan membujuknya sehingga masing-masing akan naik syahwat.

Dikala itu yang terlibat tidak akan ingat lagi kepada suruhan dan larangan agama. Apa yang difikirkan di masa itu hanyalah untuk melepaskan hajatnya sahaja. Selepas itu barulah ia rasa menyesal tak sudah-sudah. Menurut Ibn Abbas apabila alat kelamin seorang lelaki mahupun perempuan naik syahwat, maka di kala itu masing-masing kehilangan satu pertiga dari akal. Justeru itu keadaan berkhalwat merupakan keadaan yang amat sukar kepada seseorang untuk mengawal dirinya yng akhirnya berlakulah  perbuatan terkutuk iaitu perzinaan.

Sesungguhnya, sekiranya Allah menghendaki sesuatu, Ia kata jadi, maka jadilah. Andainya Allah menghendaki saudari mengandung, maka saudari akan tetap mengandung walau bagaimanapun caranya saudari gunakan bagi mengelakkan persenyawaan benih. Bayangkan jika Allah menimpakan kehinaan pada saudari, ketika saudari bersama teman saudari, Allah ambil nyawa saudari dan teman saudari, bagaimanakah keadaan saudari ketika itu yang telah tercabut imannya. Bagaimanakah pula keadaan ibubapa dan keluarga kedua belah pihak? Fikirlah semasak-masaknya sebelum saudari menempuhi keadaan yang mencurigakan dan boleh membawa kepada kemaksiatan. Janganlah mendekati zina, dan perkara-perkara atau keadaan-keadaan yang mengarah kepada penzinaan.

Dalam kes saudari ini, jelas saudari melakukan perzinaan yang dikutuk oleh agama, kerana itu saudari hendaklah bertaubat kepada Allah dan menjauhi perbuatan ini sama sekali. Jika hukum Islam dilaksanakan, saudari berhak dirotan sebanyak 100 rotan sebagaimana yang dijelaskan di atas. Saudari juga dinasihatkan supaya segera berkahwin dengan pasangan saudari itu sendiri kerana Al-Quran menjelaskan penzina perempuan tidak layak berkahwin kecuali dengan penzina lelaki yang berzina dengannya. Ini juga untuk membolehkan anak yang dikandung saudari itu dibinkan kepada lelaki yang berzina dengan saudari itu.

Kembali ke atas ↑


12. Hukum Memasukkan Jari ke Faraj
Soalan:
Adakah seseorang itu memasukkan jari ke faraj untuk tujuan melepaskan nafsu daripada mengelakkan zina itu berdosa?

Hamba Allah, Mersing

Jawapan:
Perbuatan memasukkan jari ke dalam faraj untuk memuaskan nafsu adalah suatu perbuatan yang haram menurut kacamata agama Islam. Perbuatan ini juga menzalimi diri sendiri. Dara bagi seseorang gadis adalah sesuatu yang cukup penting dalam hidupnya. Seorang gadis yang tidak ada dara akan dianggap oleh masyarakat sebagi seorang pelacur, atau seorang yang kuat bermain sukan, atau seorang yang dirogol atau diperkosa. Inilah anggapan masyarakat pada diri gadis yang tidak ada dara lagi.

Seorang suami yang beriman sangat menilai adakah isterinya masih ada dara atau tidak. Jika tidak ada dara lagi ia merasakan kelelakiannya sudah tercabar. Perbuatan ini jga merosakkan diri sendiri. Justeru itu suka dicadangkan kepada saudari yang bertanya supaya bertaubat kepada Allah dengan segera dan meninggalkan perbuatan ini. Tunaikan solat hajat banyak-banyak untuk memohon seorang suami yang salih untuk saudari dan perbanyakkanlah membaca surah Yusuf. Mudah-mudahan Allah menyelamatkan saudari dari terjerumus ke jalan yang salah itu.

Berkahwin adalah jalan paling selamat kepada saudari. Al-Quran menceritakan kepada kita apabila masyarakat nabi Allah Lut melakukan hubungan seks sesama lelaki, nabi Lut menawarkan supaya mereka berkahwin dengan anak-anak perempuannya yang suci tetapi mereka menolak. Akhirnya Allah SWT menghancurkan mereka sehingga bumi mereka sendiri lenyap dan yang timbul hanyalah laut Mati di negara Jordan sekarang.

Jika saudari tidak mampu berkahwin hendaklah saudari berpuasa sunat kerana dengan berpuasa itu dapat menyelamatkan saudari dari perzinaan malah ia kan menjadi benteng kepada saudari. Berkawanlah dengan sahabat yang salihah, Sentiasalah menghadiri solat berjemaah baik di surau mahupun di masjid.

 


 

13. Solat bagi Wanita Mengalami Keputihan
Soalan:

Seandainya kaum wanita ada keputihan, sahkah sembahyangnya tanpa membersihkan dahulu?

Fairuz, Kelang

Jawapan:
Ada setengah pendapat yang mengatakan, perempuan yang keluar cecair lendir putih kekuningan ketika sebelum keluar darah haid dan selepasnya dianggap sebagai darah haid. Ini menurut pendapat Syeikh Usaimin, seorang ulamak di Arab Saudi dalam fatwa semasa beliau. Ini berdasarkan kepada keterangan Siti Aisyah RA yang berkata: "Janganlah kamu terlalu cepat mandi atau membersihkan diri dari haid sehingga kamu dapati kapas itu putih."

Sebaliknya kebanyakan pendapat mengatakan keputihan yang keluar bukan dalam tempoh kotor tidaklah dianggap sebagai haid. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, mahfumnya: "Sesungguhnya dikenali darah haid itu dari segi warnanya yang hitam pekat". Oleh itu keputihan bukanlah dari jenis darah ini. Ummu Atiah RA sendiri pernah berkata: "Sesungguhnya kami tidak menganggap lendir keruh dan kekuningan itu sebagai darah haid."

Oleh itu jika perempuan keluar keputihan, hendaklah ia membersihkannya. Kalau masih mengalir juga hendaklah membalutnya dan ia diwajibkan solat seperti biasa.  


Kembali ke atas ↑


 

14. Guna Ayat Menambat Hati
Soalan:

Adakah berdosa jika saya menggunakan ayat Al-Quran untuk tunang saya demi untuk menjaga hubungan baik antara saya dan dia?

Zaity, Selangor

Jawapan:
Menggunakan ayat Al-Quran dalam usaha menambatkan hati tunang supaya tidak lari dari seseorang tidaklah menjadi kesalahan, jika itu adalah sebahagian usaha dan ikhtiar yang dilakukan dan tidak bercanggah dengan Islam. Bagaimanapun seseorang itu hendaklah menggantung sepenuh harapannya kepada Allah.

Jangan digantungkan harapan kepada ayat Al-Quran tersebut. Ini kerana Al-Quran itu adalah penawar dan ubat yang paling mujarab kepada manusia. Bagaimanapun ia diikat dengan sejauhmana ia tidak digunakan untuk maksud yang tidak sihat. Jika maksudnya tidak sihat, maka hukumnya adalah haram.

HAJAT untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 001 ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
HAJAT untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 002 ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )

Kembali ke atas ↑


15. Hukum Pembedahan Payudara
Soalan:
Saya berumur 32 tahun, sudah berkahwin dan mempunyai 3 anak. Tahun lepas saya disahkan menghidap Kanser Payudara Tahap 1 dan untuk tidak merebak, payudara sebelah kiri saya telah dibedah dan dibuang. Apakah hukumnya jika saya ingin membuat pembedahan Reconstruction yang memasukkan Saline Solution dan bukan Silicone bagi membentuk semula payudara ke bentuk asal?

Nah, J Bahru

Jawapan:
Pembedahan dengan tujuan mengubah ciptaan Allah SWT hukumnya adalah haram. Berbeza dengan pembedahan yang dilakukan untuk mengubat penyakit atau untuk memperbaiki kecacatan seperti ketumbuhan dan sebagainya. Pembedahan dengan tujuan ingin membesarkan payu dara walau apa jenis bahan sekalipun digunakan hukumnya adalah haram.

Berbeza dengan pembedahan yang dilakukan oleh anda kerana tujuannya adalah untuk mengembalikan payudara yang telah rosak kebentuk asal jadi hukumnya adalah harus. Cuma anda harus mempastikan bahawa bahan yang digunakan bukan dari jenis yang haram dan pembedahan yang dilakukan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan dikemudian hari.

Kembali ke atas ↑


16. Aurat Wanita Islam terhadap Bukan Islam
Soalan:
Saya sebagai pelajar di IPT tempatan ingin mengajukan soalan mengenai penempatan pelajar bukan muslim di bilik pelajar Islam. Apakah aurat antara pelajar perempuan muslim dengan pelajar perempuan bukan muslim?

Shikin, Shah Alam

Jawapan:
Aurat bermaksud bahagian tubuh yang tidak patut diperlihatkan kepada orang lain. Wanita wajib menjaga diri jangan sampai memperlihatkan auratnya kepada sesiapapun yang tidak diizinkan melihatnya. Begitu juga halnya lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan wanita tidak boleh melihat aurat sesama wanita. Daripada Abu Said al Khudri Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Jangan hendaknya lelaki melihat aurat lelaki lain, dan wanita melihat aurat wanita lain. Dan jangan lelaki tidur satu selimut dengan lelaki lain dan wanita satu selimut dengan wanita lain..." (HR Muslim, Abu Daud dan Tarmizi)
Hadis diatas menjelaskan tentang aurat wanita sesama wanita muslimah dilarang melihatnya, apakah lagi dengan wanita kafir jelas dilarang dan berdosa jika wanita muslimah menunjukkan auratnya, kerana dikhuatirkan menimbulkan fitnah yang besar terhadap orang Islam. Begitu juga dilarang wanita muslimah tinggal serumah dengan wanita bukan Islam kerana dapat menimbulkan fitnah dan bahaya yang sangat besar terhadap jiwa dan agama kaum muslimah.

Rasulullah juga ada menjelaskan tentang bagaimana kehancuran orang-orang bani Israel disebabkan oleh pergaulan mereka dengan orang-orang kafir dan mengikuti cara kehidupan mereka. Oleh sebab itu hindarilah perbuatan tinggal serumah dengan orang yang bukan Islam kerana ia mengganggu akidah dan ibadah kita.

DN 091 Fardhu ‘Ain Khusus Wanita

 

Kembali ke atas ↑


17. Persediaan Menjelang Hamil
Soalan:
Apakah persediaan oleh seorang wanita itu jika ia berniat untuk mengandung dan menjadi ibu. Apakah amalan-amalan yang dianjurkan oleh Islam kepada pasangan suami isteri itu lakukan sebelum dan semasa isteri mengandung?

Ezarrin, KL

Jawapan:
Bagi seorang wanita yang telah berkahwin secara fitrahnya ia telah bersedia untuk mengandung dan menjadi seorang ibu.  Mengandung dari benih suami yang kita sayangi merupakan perkara mulia yang dituntut oleh agama. Bahkan diantara tujuan  perkahwinan dalam Islam itu untuk memperbanyakkan zuriat. Jadi niat untuk mengandung dan menjadi ibu dengan segara itu sangat terpuji dan insya Allah akan memperoleh berkah dan rezeki yang banyak daripada Allah SWT.

Persediaan menghadapi kehamilan sangat mustahak, bukan sahaja sekadar kesanggupan suami dan isteri menerima bebanan datangnya seorang anggota baru dalam keluarga, tetapi ia memberikan kesan secara langsung terhadap ibu yang sedang hamil tersebut. Ibu yang sedang hamil akan mengalami berbagai perubahan fizikal dan emosi. Perubahan tersebut kadang kala sukar untuk diterima baik pihak isteri sendiri mahupun suami. Oleh sebab itu baik isteri mahupun suami hendaklah mempersiapkan diri dengan amalan-amalan yang mulia agar dapat menghadapi perubahan-perubahan emosi itu dengan rasa keimanan dan kesabaran.

Banyakkan amalan-amalan yang mesti dilakukan oleh suami dan isteri ketika isteri sedang mengandung, seperti banyak bertaubat, sentiasa menutup aurat, banyak membaca ayat-ayat Al Quran, dan perkara lain yang dituntut oleh agama.

DN 118 Amalan Ketika Mengandung & Setelah Bersalin - Panduan Nama Bayi

Kembali ke atas ↑


18. Pakaian Menutup Aurat
Soalan:
Ustaz, saya ingin mendapatkan pendapat tuan bagaimana ingin menasihatkan isteri supaya menutup
aurat. Isteri saya buat masa sekarang memakai tudung dan baju kurung, tetapi saya masih tidak berpuas hati kerana bagi saya memakai baju kurung masih lagi menampakkan bentuk badan.

Hamba Allah, WP

Jawapan:
Isteri yang solehah adalah isteri yang menutup aurat ketika berpakaian. Kerana ramai di kalangan wanita pada zaman ini mereka berpakaian tetapi telanjang. Ertinya pakaian mereka hanya menutup bahagian-bahagian tertentu sahaja. Kalaupun menutup semuanya tetapi bentuk tubuhnya nampak dengan jelas.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat". (Al A'raf ayat 26)

Seorang suami adalah pemimpin dalam rumahtangganya dan bertanggungjawab terhadap kepimpinannya tersebut. Jika suami merasakan bahawa isteri masih lagi belum melaksanakan syariat sepenuhnya, berusahalah membimbingnya dengan cara yang baik. Berilah nasihat dengan lemah lembut tapi tegas agar isteri faham bahawa menutup aurat dengan betul dan sempurna itu bukanlah perkara remeh, tetapi ianya merupakan perkara wajib. Jika suami masih membiarkan isterinya menampakkan bentuk tubuhnya, maka suami tetap berdosa kerana tidak mengendahkan tuntutan syarak.

DN 037 Rumah Idaman Syurga Impian - ISTERI TELADAN

Kembali ke atas ↑


 

19. Menulis dan Membaca Terjemahan Al-Quran Ketika Haid
Soalan:
Bolehkah seseorang dalam keadaan haid mencatat terjemahan ayat Al-Quran, dia tidak membaca ayat Al-Quran (arabic) tapi membaca terjemahannya saja, kemudian di tulis secara balik (terjemahan) dalam buku nota?

Umi, KL

Jawapan:
Orang yang dalam keadaan haid tidak boleh memegang dan membaca Al Quran tetapi hanya sekadar menulis dan membaca terjemahan hukumnya harus atau dibolehkan.

Kembali ke atas ↑


 

20. Darah Istihadhah
Soalan:
Seorang kawan saya bertanya apakah hukumnya menunaikan sembahyang sedangkan kedatangan haid dia tidak henti-henti selama tiga bulan. Beliau masih lagi belum berkahwin. Beliau telah berjumpa doktor tapi ia masih berterusan sehingga kini. Perlukah beliau mandi wajib setiap kali beliau nak sembahyang. Kerana ini agak menyukarkan sebab beliau bekerja?

Soraya, KL

Jawapan:
Yang dimaksudkan istihadhah menurut pakar ilmu fiqih adalah suatu darah yang keluar daripada rahim wanita melalui farajnya di luar masa haid atau nifas. Dan darah itu bukan dikira darah kotor atau darah nifas melainkan jenis darah penyakit yang kemungkinan disebabkan oleh kerosakan organ-organ tubuh atau dalam keadaan kesihatan seseorang yang tidak stabil.

Dengan demikian orang yang terkena darah penyakit ini berkewajipan melaksanakan perkara yang dituntut oleh syarak seperti solat, puasa, tawaf, jimak, membaca Al Quran dan lain-lain. Orang yang mengalami istihadhah ini hendaklah mengambil wudhuk tiap-tiap kali ingin mengerjakan solat, tidak perlu mandi seperti mandi wajib.

DN 091 Fardhu ‘Ain Khusus Wanita
DN 190 Wanita & Darah

Kembali ke atas ↑


 

21. Menggugurkan Kandungan Kerana Kemudaratan
Soalan:
Apakah pandangan ustaz mengenai seseorang terpaksa menggugurkan kandungan atas nasihat doktor, disebabkan boleh memudaratkan nyawanya seperti serangan darah tinggi dan sebagainya. Apakah kita perlu berserah saja kepada Allah kerana ditakuti berdosa dan dalam masa yang sama anak-anak lain masih memerlukan perhatian dan didikannnya?

Lis, JB

Jawapan:
Fuqaha' sepakat tentang pengharaman melakukan pengguguran setelah ditiupkan roh ke dalamnya kecuali oleh sesuatu darurat yang tidak dapat dielakkan umpamanya mengekalkan janin dalam perut ibu akan mendatangkan bahaya dalam perut ibu itu dan mengancam keselamatan nyawanya atau terdedah kepada keadaan yang sangat membahayakan.

Dalam situasi ini diharuskan melakukan penguguran demi menyelamatkan nyawa ibu dari binasa. Nyawa ibu lebih penting daripada nyawa bayi terbabit, kerana nyawa ibu telah pasti kedudukannya sedangkan nyawa bayi masih belum pasti. Tidak wajar dicuaikan yang telah pasti kerana semata-mata menanggung yang belum pasti.

Orang yang mengetahui hal ini ialah doktor yang benar-benar pakar. Kemudian dalam mengesahkan perkara di atas, boleh berpegang dengan keterangan doktor Islam yang benar-benar beriltizam dengan hukum-hukum syariat.

DN 224 Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih

Kembali ke atas ↑


 

22. Ketiadaan Doktor Wanita
Soalan:
Adalah saya telah membaca mengenai isteri yang diperiksa oleh Doktorlelaki. Bagaimanapun pertanyaan saya ialah di Pulau Pinang tidak terdapat doktor perempuan Islam kecuali di bahagian Tanah Besar. Ketika ini saya sedang mengandung anak yang pertama dan saya telah bertanya hampir kesemua hospital di Pulau Pinang mengenai doktor perempuan Islam namun tidak ada. Pencarian ini adalah mengikut kemampuan saya dari segi kewangan. Namun di hospital kerajaan tidak terdapat doktor sakit puan perempuan malah bukanIslam pun tidak ada. Oleh bagaimana keadaannya sedemikian. Sekiranya untukke Tanah Besar adalah jauh dan memakan masa, tambahan pula masalahpengangkutan?

Bakal Ibu, P Pinang

Jawapan:
Berusahalah seboleh mungkin mencari doktor atau bidan wanita di tempat puan ketika mengadakan pemeriksaan bulanan. Tidak perlulah mesti mencari yang pakar dalam bidang sakit puan ketika pemeriksaan tersebut, kerana ketika pemeriksaan bulanan bukan dalam keadaan darurat. Namun jika mengalami masalah tertentu yang memerlukan rujukan para pakar sakit puan, maka ketika itu ada keringanan menurut Islam demi mementingkan keselamatan puan sendiri. Jika tidak mengalami kesukaran untuk pergi ke Tanah Besar, lakukanlah bersama-sama suami, kerana pemeriksaan ini hanya dilakukan sebulan atau dua bulan sekali.

Kita sekadar berikhtiar atau berusaha untuk mencari yang terbaik untuk diri dan agama kita, namun jika mengalami kesukaran kita serahkan kepada Allah SWT, maka insya Allah niat baik yang tersimpan dalam hati kita itu akan mendapat pahala daripada Allah meskipun tidak sempurna pelaksanaannya. Seandainya niat suci demi menjaga akhlak dan diri itu dapat terlaksana bererti kita telah menang dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan kemurnian Islam dalam rumahtangga kita sendiri. Maka besarlah nilai perjuangan dan jihad puan dalam mencari sesuatu yang bererti dalam Islam, meskipun perkara tersebut telah dipandang remeh oleh orang-orang Islam yang lain.

Biarlah kita bersusah-payah dalam menegakkan kebenaran, bahkan jika kita ungkapkan perkara ini kepada sesetengah orang, mereka akan beranggapan kita kolot, tidak berpendidikan dan sebagainya. Memang tepatlah ungkapan sebuah hadis yang mengatakan bahawa Islam pertama sekali datang itu dianggap aneh dan akhirnya ketika dunia hampir kiamat nanti, Islam juga dianggap aneh. Ketika agama Islam pertama sekali datang, semua orang merasa aneh melihat kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad, ketika ini pun jika kita mengatakan perkara yang benar tentang Islam, orang ramai melihat perkara tersebut menjadi aneh, disebabkan yang ada disekitar kita kebanyakannya perkara yang bertentangan menurut ajaran Islam.

Berusahalah menurut kemampuan masing-masing dalam menegakkan nilai-nilai Islam ini, jika saat melahirkan nanti pihak puan tidak menemukan doktor wanita Islam untuk menyambut kelahiran tersebut, maka perkara ini tergolong darurat atau kemudahan yang diringankan dalam Islam. Jangan terlalu memikirkan perkara ini sehingga mengganggu kosentrasi puan yang akan menjejaskan kedudukan janin dalam kandungan. Berusahalah dan serahkan kepada Allah, maka insya Allah segalanya akan dimudahkan oleh-Nya nanti. Pihak kami juga mendoakan agar puan melahirkan anak yang pertama ini dalam keadaan aman dan selamat serta melahirkan anak yang soleh/solehah yang diredhai-Nya. Amin.

Kembali ke atas ↑


 

23. Mengenal Air Mani
Soalan:
Apakah titisan air mani? Saya bangun dari tidur, saya dapat rasakan ada lelehan air. Saya tidak tahu air apa yang meleleh, tetapi bila saya ingat balik, saya tidak ada mimpi yg menghairahkan?

Hani Azura, Parit Buntar

Jawapan:
Biasanya air mani keluar dari kemaluan seseorang disebabkan adanya rangsangan berahi, apakah melalui mimpi, mengkhayal ataupun dengan menggunakan tangan dan yang serupa dengan itu. Biasanya juga sebelum keluar air mani didahului dengan keluarnya air mazi. Biasanya air mazi berupa cairan yang sukar diketahui melalui penglihatan namun dapat dirasakan dengan tangan. Dan keluarnya air mazi ini tidak menyebabkan seseorang mesti wajib mandi.     Mungkin juga cairan yang keluar itu kerana bangkitnya keghairahan anda disebabkan geseran-geseran yang terjadi ketika tidur sehingga menyebabkan sampainya klimaks berahi anda. Mungkin juga ia sekadar cairan biasa yang bukan air mani tetapi berkaitan dengan faktor kesihatan tubuh badan anda. Namun jika anda dalam keraguan untuk menentukannya, maka ambillah jalan yang terbaik, mungkin lebih selamat segera lakukan mandi wajib agar tidak menjadi perkara yang musykil berpanjangan dalam minda anda. Wallhu a'lam.

Kembali ke atas ↑


 

24. Tempoh Masa Haid
Soalan:
Saya nak tahu tempoh haid dengan istihadhoh. Setahu saya bila seseorang wanita itu didatangi haid
selama 12 hari (contoh) 5 hari dia suci kemudian datang lagi darah tersebut. Adakah ia haid atau istihadhoh.
Setakat yang saya tahu ia adalah istihadhoh. Bagaimana pandangan ustaz. Sebab ada ustazah yang mengatakan ia adalah darah haid?

Hani Azura, Parit Buntar

Jawapan:
Para ulama berbeda pendapat dalam hal lamanya haid atau ukuran waktu keluarnya haid. Menurut Imam Mundzir, sekelompok ulama berpendapat bahawa haid tidak mempunyai batasan waktu minima ataupun maksima. Dengan demikian bila saja seorang wanita datang haid maka berlaku baginya hukum haid dan bila saja ia suci maka lepaslah dia dari hukum-hukum haid itu. Jadi apa yang anda alami ini adalah darah haid sedangkan darah istihadah atau darah penyakit adalah darah wanita yang keluar terus menerus tanpa henti kalaupun berhenti hanya sebentar. Untuk lebih jelas anda dicadangkan membaca buku tentang haid dan istihadah ini, kerana pembahasan dua darah ini agak panjang.

DN 203 Pantang Larang Wanita - Haid, Nifas & Istihadhah
DN 190 Wanita & Darah
DN 148 ♀ Bunga Idaman Mutiara Syurga WANITA SOLEHAH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )

Kembali ke atas ↑


 

25. Hukum Wanita Betindik Di Hidung
Soalan:
Apakah hukumnya saya bertindik di hidung .. saya masih menutup aurat dan saya bertindik di hidung sekadar suka-suka?

Mimi, KL

Jawapan:
Bagi sesetengah wanita di Arab bertindik di hidung adalah untuk mempercantikan diri. Jika tujuan menindik tersebut untuk dipersembahkan kepada suaminya maka hukumnya boleh (harus). Tetapi jika untuk dipamerkan di hadapan khalayak ramai, maka jelas hukumnya haram. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑

Popular

Wadah Harian

Kamu tidak akan masuk syurga, kecuali kalau kamu beriman, dan tidaklah beriman kalau kamu belum saling berkasih sayang. Mahukah kamu, aku tunjukkan sesuatu yang bila kamu kerjakan, kamu akan berkasih sayang antara satu sama lain? Tebarkanlah salam di antaramu.

* Petikan: Imam Ghazali DN 082 1001 Mutiara Hikmah & Kata Nasihat

 
Anda Di Sini Soal Jawab Rahsia Kewanitaan