Buku Agama Islam Terbitan

Penyalur Inspirasi Ummah

 Remaja & Pelajar

Soalan-soalan:

  1. Taat Kepada Kedua Orang Tua
  2. Memuaskan Nafsu Syahwat Cara Onani
  3. Amalan Anak Yang Soleh
  4. Menjadi Pelajar Yang Disiplin
  5. Menjadi Pelajar Cemerlang
  6. Menghormati Ibu Bapa dan Orang Lebih Tua
  7. Anak Yang Mendoakan Kedua Ibu Bapa
  8. Membantah Kedua Ibu Bapa
  9. Menghindarkan Bala Akibat Kata-kata dan Doa Ibu
  10. Hukum 'Berdating'
  11. Membenci Kedua Orang Tua
  12. Berbual dengan Bukan Mahram Melalui Telefon
  13. Tanggungjawab Pelajar dalam Kegawatan Ekonomi
  14. Bercinta Menurut Islam
  15. Pergaulan Menurut Islam
  16. Majlis Tahlil Menghadapi Peperiksaan
  17. Hamil Anak Luar Nikah
  18. Membahagi Masa Antara Sukan dan Belajar
  19. Air Jernih Keluar dari Kemaluan
  20. Tabiat Menonton VCD Lucah
  21. Ber'dating' dengan Izin Ibubapa
  22. Berbincang Masalah Seks dengan Teman Lelaki
  23. Mengelak Keruntuhan Moral Remaja
  24. Menahan Nafsu Ketika dalam Pertunangan
  25. Berahi Memuncak Bila Berbicara dengan Wanita Idaman
  26. Berbincang Tentang Seks dengan Tunang
  27. Mencintai Seorang Lelaki Idaman
  28. Pernikahan Setelah Hamil

 


 

1. Taat Kepada Kedua Orang Tua
Soalan:
Sebagai seorang anak kita mestilah taat kepada kedua Ibu & Bapa Jikalau kita ingin melakukan sesuatu pekerjaan yang baik ataupun yang ringkasnya sesuatu yang diredhai Allah, tetapi Ibu tidak redha diatas pekerjaan tersebut adakah kita harus akur terhadap kehendaknya (Ibu). Kerana setahu saya keredhaan Ibu adalah jua keredhaan Allah s.w.t. Untuk pengetahuan Ustaz, saya masih lagi berharap ke hadrat Allah supaya saya dapat melaksanakan niat saya itu. Jadi tolonglah ustaz beri padangan/penyelesaian terhadap masalah saya ini.

Muhammad Yusuf , PJ

Jawapan:
Menurut Al Qurthubi, derhaka kepada kedua orang tua ialah menyalahi perintah keduanya, sebagaimana bakti keduanya bererti mematuhi perintah mereka berdua. Berdasarkan ini jika keduanya atau salah seorang dari mereka menyuruh anaknya, maka anaknya wajib mentaatinya, jika perintah itu bukan maksiat. Meskipun pada asalnya perintah itu termasuk jenis mubah, begitu pula bila termasuk jenis mandub (sunat).

Dalam sebuah hadis dijelaskan, Rasulullah SAW bersabda: Dari Abdullah bin Amr, ia berkata: seorang lelaki datang kepada Rasulullah, lalu berkata: "Wahai Rasulullah, aku datang untuk berjihad bersama baginda kerana aku ingin mencari redha Allah dan hari akhirat. Tetapi aku datang kesini dengan meninggalkan ibu bapaku dalam keadaan menangis". Lalu sabda baginda: "Pulanglah kepada mereka. Jadikanlah mereka tertawa seperti tadi engkau jadikan mereka menangis". (Riwayat Ibnu Majah)
Jadi perintah ibu atau bapa yang bukan bersifat maksiat atau mempersekutukan Allah, maka kita wajib mentaatinya. Namun jika perintah nya bersifat melawan kehendak dan hukum agama, maka tolaklah dengan cara yang baik.

DN 105 ♂ Permata Idaman Mutiara Syurga LELAKI SOLEH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
DN 248 20 Kesilapan Anak - Siri Keluarga Gemilang

Kembali ke atas ↑


 

2. Memuaskan Nafsu Syahwat Cara Onani
Soalan:
Apakah hukumnya memuaskan nafsu syahwat dengan sendiri hingga keluar air mani. Adakah ianya termasuk dalam dosa dosa besar (berzina), apakah hukumnya dan bagaimanakah caranya untuk bertaubat?

Hamba Allah, Beranang

Jawapan:
Onani yang dilakukan seorang lelaki dengan memainkan alat kelaminnya dengan tangannya sendiri termasuk suatu perkara yang merosak unsur etika dan adab. Para ulama sendiri berbeza pendapat dalam menetapkan hukumnya. Sebahagian ulama mengatakan bahawa onani tersebut hukumnya haram secara mutlak. Sedangkan sebahagian lain mengatakan haram dalam suatu keadaan dan wajib dalam keadaan lain dan sebahagian yang lain mengatakan hukumnya makruh.

Menurut mazhab Syafie dan mazhab Maliki melakukan onani itu hukumnya haram. Alasan mereka adalah bahawa Allah SWT telah menyuruh manusia untuk menjaga faraj atau kemaluan dalam segala keadaan kecuali untuk menjimak isteri. Dalam ayat Al Quran dijelaskan: "Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang tiada tercela. Barangsiapa yang mencari selain daripada itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas". (Al Mukminun ayat 5 - 7)
Adapun di antara ulama yang mengatakan bahawa onani dengan tangan sendiri itu haram dalam suatu keadaan dan wajib dalam keadaan lain adalah ikut pengikut Imam Hanafi. Pendapat ini mengatakan bahawa andaikata seseorang dikhuatirkan akan berbuat zina maka wajiblah ia menyalurkan nafsu seksualnya dengan onani. Pendapat ini mengikuti kaedah "Jika berkumpul dua bahaya, maka wajiblah kalian mengambil bahaya yang paling ringan".

Diantara yang berpendapat makruh ialah Ibnu Umar dan Atha' . Dan diantara yang berpendapat mubah ialah Ibnu Abbas, Hasan dan sebahagian pembesar tabi'in.

Cara yang paling baik untuk bertaubat dari pekerjaan "melampaui batas" ini dengan banyak berpuasa, berzikir dan jangan tinggalkan perkara wajib seperti solat dan sebagainya. Sebab dalam hadis juga ada menjelaskan jika tidak mampu untuk berkahwin maka berpuasalah agar syahwat kita terpelihara.

Kembali ke atas ↑


3. Amalan Anak Yang Soleh
Soalan:

Apakah yang dimaksudkan dengan amalan anak yang salih diterima oleh kedua ibubapanya? Adakah anak tersebut perlu meniatkan amalan tersebut khas kepada ibubapa mereka atau tidak..?

Abdullah Abu Bakar, KL

Jawapan:
Segala amal kebajikan yang dilakukan oleh seseorang dapat dikatakan sebagai amalan anak yang soleh, kerana setiap kita mempunyai ayah dan ibu. Samada kita kirim secara khusus doa untuk orang tua atau kita beramal untuk diri kita sendiri, maka segala kebaikan dan kebajikan yang kita lakukan itu merupakan ibadah anak yang soleh. Adalah lebih baik kita mendoakan kedua ibu bapa dengan doa yang khusus seperti yang tercantum dalam ayat Al Quran dan diamalkan oleh setiap orang selesai mengerjakan solat.

Kembali ke atas ↑


4. Menjadi Pelajar Yang Disiplin
Soalan:
Bagaimana menjadi seorang pelajar yang berdisiplin sedangkan sudah berkali-kali saya mencuba mendisiplinkan diri tetapi masih banyak melakukan kesilapan dan apabila saya cuba untuk mendisiplinkan diri, lama-kelamaan saya sudah tidak berdisiplin?

Mohd Tamimi, Batu Caves

Jawapan:
Disiplin merupakan sifat yang ada dalam diri. Seseorang yang kehilangan disiplin tidak perlu mencari sifat tersebut luar dari dalam dirinya tetapi mencuba menggali kekurangan-kekurangan serta halangan-halangan yang menyebabkan dia menjadi tidak disiplin. Langkah awal anda boleh senaraikan segala harapan yang menjadi cita-cita anda. Setelah itu senaraikan pula segala halangan-halangan yang menghantui diri anda. Apabila ini telah dilakukan anda akan dapat melihat dimana sebenarnya titik kelemahan anda. Setelah mengetahui titik kelemahan itu, umpamanya "malas" maka anda boleh mencari sesuatu motivasi agar sifat itu berubah menjadi rajin. Kerana anda sendiri yang mengetahui selera dan keinginan anda, maka carilah motivasi yang menyenangkan anda serta tidak bertentangan dengan harapan dan cita-cita semula.

Sebagai seorang Islam, kita harus melaksanakan segala yang diperintahkan Allah dan meninggalkan segala yang dilarang-Nya. Jangan lupa, selesai mengerjakan solat lima waktu berdoalah kepada Allah SWT agar dalam diri kita memiliki kekuatan untuk melaksanakan tugas-tugas sekolah, kemudian berdoa agar menjadi pelajar yang cemerlang. Hanya dengan menyerahkan segala sesuatu kepada Allah SWT setelah berusaha kita akan memperolehi kejayaan. Insya Allah.  

Kembali ke atas ↑


5. Menjadi Pelajar Cemerlang
Soalan:
Saya bakal menghadapi PMR pada tahun ini. Jadi saya hendak bertanya, waktu manakah yang paling sesuai untuk membaca, cara mengulangkaji yang baik, dan cara mengingati pelajaran?

Hasrul, Alor Setar

Jawapan:
Terdapat banyak kriteria bagi membahagikan masa dalam membaca, tergantung pada diri individu pelajar tersebut. Yang paling penting pelajar memahami petua-petua yang dapat memberikan pemahaman dalam pembacaan tersebut. Diantaranya, membaca bukan sekadar melihat susun atur tulisan, membaca harus berlaku secara giat. Membaca bukan sekadar kegiatan bersantai. Membaca memerlukan kemahiran khusus memanfaatkan bahan atau sumber yang diperolehi. Membaca melibatkan pergerakan mata yang pantas dan bersistem. Ini juga memerlukan penumpuan. Membaca melibatkan perasaan dan sebagainya.

Begitu juga dalam mengulangkaji kita memerlukan penumpuan agar segala yang kita inginkan dapat tersimpan dalam minda.

DN 197 Pelajar Cemerlang

Kembali ke atas ↑


6. Menghormati Ibu Bapa dan Orang Lebih Tua
Soalan:
Apakah hukum seseorang yang tidak menghormati orang yang tua daripadanya seperti, ayah, ibu, abang atau kakaknya sendiri?

Hamba Allah

Jawapan:
Bagi orang yang tidak menghormati kedua ibu bapanya maka hukumnya berdosa besar. Begitu juga jika tidak menghormati orang lebih tua daripada kita, baik tua dari segi usia mahupun tua atau matang dari segi ilmu pengetahuan. Di dalam Islam orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya termasuk ke dalam kategori dosa besar setelah mensyirikkan Allah, dan akan di masukkan ke dalam neraka. Firman Allah SWT maksudnya: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ah (uff) dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia". (Al Isra' 23) Orang yang tidak menghormati ibu bapa akan dilaknat oleh Allah SWT. Sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Ada tiga macam orang yang terkena laknat Allah SWT iaitu: Seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya". (Riwayat Ad Dailami daripada Umar ra)

DN 242 40 Peranan Anak Mithali - Siri Keluarga Gemilang
DN 148 ♀ Bunga Idaman Mutiara Syurga WANITA SOLEHAH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )

Kembali ke atas ↑


7. Anak Yang Mendoakan Kedua Ibu Bapa
Soalan:

Selepas sembahyang saya selalu mensedekahkan doa al-fatihah buat arwah ayah saya, dan buat ibu saya juga yang masih ada. Persolannya...adakah kita mensedekahkan al-fatihah itu untuk mereka yang telah tiada sahaja!?

Mohd. Haris, Ipoh

Jawapan:
Anak yang soleh memang berkewajipan mendoakan kedua ibu bapanya samada ia sudah meninggal dunia mahupun ketika keduanya masih hidup. Membaca al fatihah untuk dikirimkan sebagai 'doa' (usah guna istilah 'sedekah') kepada kedua ibu bapa juga sama nilainya dengan mendoakan kebaikan untuk keduanya, kerana demikianlah selayaknya yang harus dilakukan oleh seorang anak.

Kembali ke atas ↑


8. Membantah Kedua Ibu Bapa
Soalan:
Berdosakah seorang anak yang membantah pendapat bapanya yang bertentangan dengan hukum
agama/hukum alam?

Mai Aniza Aris, KL

Jawapan:
Islam memerintahkan agar seorang anak menghormati kedua ibu bapanya, walaupun keduanya bukan beragama Islam. Apatah lagi jika keduanya beragama Islam, namun jika keduanya membantah tentang sesuatu ketentuan agama maka jelaskan kepadanya dengan cara yang baik dan tidak menyinggung atau menyakiti perasaan keduanya. Gunakan cara yang berhemah dan lemah lembut serta bahasa yang baik dalam menjelaskan sesuatu persoalan terhadap kedua ibu bapa. Sesungguhnya keredhaan Allah tergantung keredhaan ibu bapa terhadap anaknya.

Kembali ke atas ↑


9. Menghindarkan Bala Akibat Kata-kata dan Doa Ibu
Soalan:
Sewaktu anak-anak masih kecil, si ibu yang tidak sanggup menghadapi karenah anak-anak yang nakal telah  mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat terhadap mereka. Sebagaimana yang diketahui ucapan seorang ibu merupakan doa yang paling mustajab. Soalan saya, sebagai seorang anak apakah yang harus dilakukan untuk mengelakkan sebarang yang tidak diingini daripada berlaku ke atasnya dan dari pihak si ibu pula apakah yang harus dilakukan setelah terlanjur melakukan perkara tersebut?

Sakinah, KL

Jawapan:
Seorang ibu dalam mendidik anak-anak memerlukan banyak kesabaran. Sabar adalah merupakan sifat rasul-rasul Ulul-Azmi. Dalam Al Quran banyak perintah difokuskan kepada umat manusia. Kerana itu sewaktu menghadapi karenah anak-anaknya yang tidak tertahan si ibu melihatnya, si ibu dikehendaki menahan diri dan bersabar dan jangan sekali-kali menggunakan kata-kata yang kasar atau kata-kata laknat.

Bagi si anak pula untuk mengelakkan dari ditimpa bala akibat doa dan kata-kata yang keluar dari mulut ibu itu tadi, ia hendaklah memperbanyakkan memohon maaf darinya dan sentiasa membuat kebajikan kepadanya sebanyak mungkin selagi hayatnya masih di kandung badan. selain itu ia juga hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah supaya mengampuni dosanya yang lalu. Si ibu dikehendaki memberi kemaafan kepada anaknya sewaktu ia masih hidup dan menghalalkan segala makan dan minum anaknya itu.

Ia juga hendaklah mengelakkan sedaya mungkin dari menggunakan kata-kata kesat lagi bila berdepan dengan anaknya. Dengan kata lain si ibu hendalah bertaubat dari mengeluarkan kata-kata tersebut. Selain itu mereka sekeluarga hendaklah juga membekalkan diri dengan sebanyak mungkin ilmu agama dan sentiasa menghadirkan diri menunaikan solat jamaah.  

Kembali ke atas ↑


10. Hukum 'Berdating'
Soalan:

Adakah "berdating" itu tergolong dalam dosa-dosa besar?

Muslimat, Kajang

Jawapan:
Berdating bererti menghampiri perzinaan. Dalam Islam seseorang itu dilarang keras dari menghampiri perzinaan. Oleh kerana pezinaan itu mendatangkan dosa besar, maka melakukan perbuatan yang boleh membawa kepada perzinaan termasuklah Dating ini adalah haram dan berdosa.

Kaedah feqah menjelaskan "Setiap sesuatu yang membawa kepada perlakuan yang haram, maka hukum melakukan perkara tersebut adalah haram". Jauhilah dari berdating kerana ianya adalah jalan mudah bagi syaitan menjerumuskan anak Adam ke lembah perzinaan. Jauhilah dari berdating kerana orang yang ketiga di masa itu ialah syaitan. 

DN 027 Muslimah Sejati

Kembali ke atas ↑


 

11. Membenci Kedua Orang Tua
Soalan:
Ustaz, saya seorang remaja yang mendapat pendidikan agama dari berumur 5 tahun sehingga  18 tahun (sekarang  21 tahun) kerana saya bersekolah agama. Segala hukum-hakam  boleh dikatakan saya mengetahuinya. Namun, saya masih melakukan sesuatu yang bercanggah dengan agama seperti tidak menjaga aurat, suka berbohong, suka meninggalkan solat jika menghadapi tekanan dan lain-lain. Malah saya suka melawan ibubapa dan sering membuatkan ibu  menangis. Segala tingkah laku saya seolah-olah saya tidak ada pendidikan agama.

Walaupun saya pernah cuba mengubahnya kerana tahu ia berdosa tetapi gagal. Dalam diri saya selalu ada perasaan suka memberontak dan  bercanggah pendapat dengan orang tua. Sejak dari kecil, saya tidak diberi pilihan untuk membuat sebarang keputusan sehingga sekarang. Ini membuatkan timbulnya perasaan benci pada org tua yang teramat sangat. Ditambah dalam soal memilih teman hidup juga  mereka campur tangan. Walaupun saya anak sulung, saya agak renggang dengan orang tua. Jika terlihat ibu menangis, sedikitpun tidak timbul perasaan kasihan. Saya perlukan nasihat dari ustaz dalam mengubah perangai buruk saya.

Pada saya, saya lebih menyayangi ibu saudara dari ibu sendiri kerana dia lebih memahami perasaan saya.

Liza, Kodiang

Jawapan:
Seorang anak mesti mentaati kedua ibu bapanya sedaya mungkin. Lebih-lebih lagi ibu yang sanggup berjaga malam demi menjaga kemaslahatan dirinya dan demi mempastikan dirinya itu tidak dipengapa-apakan oleh serangga perosak seperti nyamuk, lipan dan lain-lain. Ia juga wajib mengelakkan dari melakukan sesuatu yang boleh menyentuh perasaan ibunya. Berdasarkan soalan di atas perlakuan saudari itu amat kurang wajar, malah saudari kelihatan seorang yang keras hati. Keadaan ini boleh jadi disebabkan saudari tidak tinggal bersama ibu saudari sendiri  atau saudari mendapat belaian kasih sayang dari orang lain lebih dari  kasih sayang dari ibu saudari menyebabkan saudari berperasaan demikian terhadap ibu saudari. Untuk merawat penyakit yang saudari alami itu.

1. Saudari hendaklah mengambil langkah yang pernah diambil oleh Sayyidina Umar bin Al-Khatab yang sebaik sahaja dilantik dengan resminya menjadi khalifah, lantas berdoa kepada Allah supaya melembutkan hatinya. Ini kerana beliau memang terkenal di zaman jahiliyahnya sebagai seorang yang keras hati. Dalam hubungan ini saudari boleh berdoa dengan doa berikut: "Ya Allah Ya Tuhanku lembutkanlah hatiku sebagaimana Engkau telah lembutkan besi kepada nabi Daud Alaihissalam." 2. Keduanya saudari hendaklah mengingati bahawa saudari adalah penuntut sekolah agama yang tahu sedikit sebanyak ilmu agama. Jika saudari tidak mengamalkan ilmu yang saudari tahu itu, sudah pasti saudari akan dihumbankan oleh Allah SWT ke dalam neraka mendahului dari penyembah berhala. Jika saudari meninggal dalam keadaan belum sempat bertaubat.

3. Ketiganya saudari dikehendaki berbuat baik kepada kedua ibu bapa, lebih-lebih lagi ibu selagi mana mereka masih hidup. Jika saudari gagal berbuat baik dan berbakti kepadanya pada masa ia hidup tanpa alasan yang syar'i, maka saudari layak dinamakan sebagai anak yang derhaka. Anak derhaka tidak akan mencium bau syurga selagi tidak mendapat keredaan dari kedua ibubapanya.

4. Renunglah keadaan orang-orang yang menderhaka kepada kedua ibubapanya pada hari kiamat kelak. Hari tidak ada sebarang pelindungan kecuali orang yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera. Bagaimana mungkin anak derhaka boleh mendapat perlindungan dari Allah kalau hatinya sendiri penuh kebencian kepada ibunya.

5. Ziarahilah rumah anak-anak yatim dan renunglah keadaan mereka. Mereka tidak mempunyai ibu bapa. Hidup mereka mengharapkan belas kasihan orang ramai. Namun saudari masih mempunyai ibu yang begitu prihatin terhadap diri saudari. Walaupun saudari begitu tidak menyukai ibu sendiri namun ia tetap ibu saudari juga. Kalau saudari boleh maafkan kesalahan orang lain, kenapa saudari tidak boleh memaafkan kesalahan ibu sendiri, andaikata ia benar-benar ada melakukan kesalahan ke atas diri saudari..

6. Perbanyakkanlah berzikir kepada Allah khususnya selepas solat fardu kerana zikir boleh melembutkan dan menenangkan jiwa.

7. Tunaikanlah solat mengikut rukum syarat dan khusyuknya yang lengkap. Insya Allah solat ini akan bertindak sebagai benteng kepada saudari dari melakukan kemaksiatan dan penderhakaan.

8. Pilihlah kawan-kawan yang mempunyai pendidikan agama dan mempunyai sifat penyayang kepada ibu mereka. Mudah-mudahan dengan cara ini akan mempengaruhi hati saudari untuk menyayangi ibu saudari sendiri.

9. Saudari renungilah nasihat seorang tokoh sufi iaitu:
i. Jika anda ingin melakukan maksiat kepada Allah, janganlah anda makan rezeki Allah.

ii. Jika anda ingin melakukan maksiat kepada Allah, carilah tempat yang tidak dilihat oleh Allah.

iii. Jika anda ingin melakukan maksiat, jangan menetap di bumi Allah.

iv. Jika anda ingin melakukan maksiat, sila minta tangguh dari malaikat maut barang seminit dua dari mengambil nyawa anda.

v. Apabila malaikat munkar dan nakir menyoal anda, lawanlah dia jika anda mampu

vi. Jika Allah mengarahkan kepada anda supaya memasuki neraka Allah, jangan patuhi perintahNya.
Jika saudari tidak mampu berbuat demikian, kenapa saudari boleh berterusan menderhaka dan memaksiati Allah?

DN 248 20 Kesilapan Anak - Siri Keluarga Gemilang
DN 144 Peranan Anak terhadap Ibu Bapa

Kembali ke atas ↑


 

12. Berbual dengan Bukan Mahram Melalui Telefon
Soalan:
Seorang lelaki dan seorang wanita bukan mahram menjalin hubungan dengan sering berhubung melalui telefon. Mereka berbual mesra tentang kehidupan seharian, perasaan hati masing-masing, ataupun hanya berbual kosong kerana seronok dapat berbual mesra antara satu sama lain. Apakah pendapat ustaz tentang perkara ini? Apakah hukumnya?

Marina, Ipoh

Jawapan:
Seorang lelaki tidak boleh berdua-duaan dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya di tempat yang sunyi kerana perbuatan ini dilarang keras oleh Islam. Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad menjelaskan larangan berdua-duaan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan kerana pihak yang ketiganya adalah syaitan. Setiap orang Islam wajib mematuhi larangan ini dan jangan cuba sekali-kali melanggarnya, kerana ia melibatkan hukum-hukum Allah.

Al-Quran menjelaskan dalam surah Al-Maidah orang yang melanggar hukum Allah tidak sunyi dari 3 kumpuilan manusia iaitu samada termasuk ke dalam golongan orang yang fasik, atau zalim ataupun kafir.Termasuk ke dalam ertikata berkhalwat yang dilarang oleh Islam ialah berbual di dalam telefon dengan perempuan yang bukan mahram, sambil menyatakan perasaan hati masing-masing tanpa tujuan yang syar'i, kerana ia menjadi jalan ke arah khalwat dan khalwat menjadi jalan ke arah perzinaan. Setiap yang menjadi jalan ke arah itu hendaklah ditutup berdasarkan kaedah feqah "menutup pintu fitnah atau Saddul Az-Zara'i itu wajib".

Satu kaedah lain menjelaskan "Sesuatu yang boleh membawa kepada haram maka hukumnya adalah haram". Sehubungan dengan itu seseorang lelaki Islam hendaklah menjauhkan perkara ini untuk mendapatkan keselamatan diri. Jika ia bertanya perempuan berkenaan tentang tarikh penetapan perkahwinan, beberapa ramai yang hendak datang meminang, hari apa-apa majlis itu hendak diadakan dan lain-lain yang ada hubungan dengan urusan perkahwinan, dan masanya pula tidak lama, tanpa pula ada kata-kata yang mengghairahkan, maka hukumnya adalah harus. Bagaimanapun sebaiknya pihak lelaki hendaklah bertemu terus dengan pihak keluarga perempuan untuk menguruskan perkara itu, kerana ia lebih selamat dari fitnah.Wallau A'lam.  

Kembali ke atas ↑


 

13. Tanggungjawab Pelajar dalam Kegawatan Ekonomi
Soalan:
Apakah tindakan yang harus dilakukan oleh pelajar untuk membantu masalah kemelesetan mata wang yang melanda negara kita?

Tamimi, Batu Caves

Jawapan:
Soalan yang dikemukakan ini adalah satu soalan yang baik dan menunjukkan saudara adalah seorang penuntut yang prihatin dengan keadaan ekonomi yang menimpa negara sekarang ini. Sebenarnya dari sudut pandangan Islam ada beberapa cara yang boleh digunakan oleh saudara bagi membantu pihak berkuasa mengatasi masalah kegawatan ekonomi sekarang berdasarkan kemampuan yang ada pada saudara iaitu:

1. Menunaikan solat hajat setiap malam jumaat mudah-mudahan Allah SWT bersihkan negara ini dari mala petaka kegawatan ekonomi yang sedang berlaku.

2. Dalam menggunakan barangan harian saudara hendaklah menggunakan barangan tempatan dan membelinya sekadar keperluan sahaja. Bukan untuk tujuan bermewah mewah.

3. Jika saudara berhasrat untuk menyambung pelajaran sambunglah di institusi pengajian tinggi tempatan bagi mengelakkan pengaliran wang negara ke luar.

4. Galakkan orang lain seperti kawan-kawan terdekat dan kaum keluarga supaya sentiasa berjimat cermat dan hindarkan dari membazir.

5. Jika saudara mempunyai idea yang bernas saudara boleh mengemukakannya kepada pihak berkuasa sebagai melaksanakan tugas nasihat dalam Islam atau saudara boleh menulis di dalam akhbar ataupun di dalam majalah-majalah.

6. Saudara sendiri hendaklah memainkan peranan menggalakkan sahabat handai dan kaum keluarga terdekat supaya menjauhkan diri dari terlibat dengan berbagai aktiviti kemaksiatan dan juga kemungkaran, kerana salah satu sebab kejatuhan ekonomi sesuatu bangsa ialah akibat aktiviti kemaksiatan yang dilakukan oleh penduduk negara berkenaan
sendiri. Selain itu saudara hendaklah memperbanyakkan taubat kepada Allah begitu juga dengan sanak saudara dan sahabat yang lain.

Kembali ke atas ↑


 

14. Bercinta Menurut Islam
Soalan:
Bagaimana remaja hendak bercinta mengikut cara islam?

Faizal, Gemencheh

Jawapan:
Dalam Al-Quran dalam surah Al-Nur ayat 30-31 memerintahkan kaum lelaki dan wanita Islam menutup pandangan dari perkara maksiat, menjaga kehormatan diri dan tidak boleh menzahirkan perhiasan badan kecuali yang biasa kelihatan sahaja iaitu muka dan tapak tangan bagi kaum wanita. Perasaan cinta sebenarnya adalah perasaan semulajadi yang wujud pada badan manusia. Mereka cinta kepada ayah ibu, anak, sahabat handai dan lain-lain. Islam tidak pernah melarang cinta ini, cuma yang Islam tekankan ialah teknik bercinta itu sendiri.

Jika cinta seseorang itu kepada bapa dan ibunya melebihi cinta kepada Allah dan rasulnya, jelas perbuatannya ini satu perbuatan yang bercanggah dengan  nas al-Quran. Seseorang yang bercinta mengikut cara Islam  begitu mudah, tidak payah sebagaimana sangkaan sesetengah pihak. Apabila hatinya berkenan kepada seseorang gadis hendaklah ia menunaikan solat hajat atau istikharan dua rakaat. Setelah keputusannya bulat kepada gadis terlibat hendaklah ia meminang gadis itu melalui ibubaoanya atau secara terus kepada gadis terlibat, seterusnya melangsungkan perkahwinan.

Setelah berkahwin  bolehlah suami tadi bercinta dengan isterinya sebanyak mana yang ia mahu, kerana cara ini adalah satu cara yang paling halal di sisi Allah dan syarak. Inilah satu-satu caranya bercinta dalam Islam, bukan sebagaimana yang banyak berlaku sekarang bercinta-cinta bertahun-tahun sehingga banyak berlaku perkara mungkar dan maksiat dan menjadi masalah kepada negara.

DN 105 ♂ Permata Idaman Mutiara Syurga LELAKI SOLEH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
DN 148 ♀ Bunga Idaman Mutiara Syurga WANITA SOLEHAH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )

Kembali ke atas ↑


 

15. Pergaulan Menurut Islam
Soalan:

Bagaimanakah sebenarnya pergaulan antara lelaki dan perempuan menurut pandangan Islam. Saya bertanya kerana saya jarang menegur perempuan kecuali pada hal yang penting sahaja. Walau bagaimanapun, saya dikatakan sombong oleh kaum perempuan di tempat saya tinggal dan universiti saya. Saya harap Tuan dapat jelaskan dengan terang?

Najeb, Kajang

Jawapan:
Islam tidak membenarkan apa jua bentuk hubungan antara lelaki dan perempuan bagi mengelakkan fitnah dan menjauhi zina. Kecuali dalam keadaan darurat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh imam muslim di mana Rasullullah SAW membenarkan orang perempuan pergi ke medan perang bagi menolong merawat pesakit-pesakit dan menyediakan minuman.

Dalam suasana kebebasan yang ada pada hari ini setiap individu muslim harus menyedari batas-batas pergaulan agar terhindar dari perkara terkutuk sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Isra' ayat ke 32 yang bermaksud: " Dan janganlah kamu mendekati zina ".
Perbuatan anda membatasi pergaulan dengan wanita adalah sangat elok untuk menjaga diri sendiri, dan anda harus mempertahan prinsip tersebut tanpa memperdulikan kata-kata orang lain. Namun anda juga perlu bergaul dengan ramah dalam keadaan-keadaan tertentu yang tidak menimbulkan fitnah seperti dalam dewan kuliah dan sebagainya agar anda tidak dianggap sombong dan memencilkan diri dari teman-teman kerana desakan hidup pada masa ini memerlukan kita bergaul dengan semua lapisan masyarakat.  

Kembali ke atas ↑


 

16. Majlis Tahlil Menghadapi Peperiksaan
Soalan:
Apa pendapat ustaz jika sekolah dan emak bapa sebuk adakan majlis tahlil dan baca yasin ketika anak akan menghadapi perperiksaan, kalau anak tak sembayang sikit pun tak risau?

Sham, Kajang

Jawapan:
Berzikir dan berdoa kepada Allah merupakan amalan yang mulia. Begitu juga membaca ayat-ayat suci Al Quranul Karim jika membacanya dengan betul maka setiap huruf yang kita baca mendapat pahala daripada Allah SWT. Dalam Islam, disamping kita disuruh berusaha dengan bersungguh-sungguh, kita juga disuruh berdoa kepada-Nya. Namun jika hanya ibu bapa yang bersungguh-sungguh mendoakan anaknya sedangkan pada masa yang sama ibu bapa membiarkan bahkan tidak merasa risau dengan kecuaian anaknya dalam mengerjakan solat, maka usaha mereka sia-sia belaka. Apalah ertinya pendidikan akademik jika tidak disertakan mengamalkan ajaran Islam bagi anak-anak yang telah baligh. Sesungguhnya keseimbangan dalam menuntut ilmu keduniaan dan akhirat akan membawa kebahagiaan hidup anak-anak baik di dunia mahupun di akhirat.

Ibu bapa yang baik adalah ibu bapa yang risau tentang kecuaian anak-anaknya ketika meninggalkan kewajipan agama. Kemudian mereka membimbing anak-anaknya ke arah keseimbangan menuntut ilmu akademik dan amalan ajaran Islam. Jika kesedaran ibu bapa telah sampai ke peringkat ini, maka insya Allah, anak-anak mereka akan memperolehi kecemerlangan.

Kembali ke atas ↑


 

17. Hamil Anak Luar Nikah
Soalan:
Saya mengandung 5 bulan tapi kandungan ini anak luar nikah. Saya tidak tahu nak buat apa. Berkali-kali saya mencuba untuk mengugurkannya tapi tidak menjadi. Saya berbuat demikian kerana ingin menutup malu keluarga. Buat sementara ini keluarga saya tidak tahu lagi. Saya tidak mahu berkahwin kerana saya masih muda lagi. Saya tidak tahu di mana hendak cari jalan penyelesaian?

Nonet, KL

Jawapan:
Zina termasuk perbuatan yang diharamkan dan merupakan dosa besar bagi yang melakukannya. Bahkan mendekatinya pun diharamkan. Sebagaimana firman Allah SWT maksudnya: "Janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya ia adalah perbuatan keji dan seburuk-buruk jalan".
(Surah Al Isra' ayat 32) Islam dengan keras melarang perzinaan serta memberikan peringatan tegas, kerana perzinaan mengaburkan zuriat, merosakkan nasab, merosakkan akhlak dan menimbulkan penyakit yang sukar diubati.

Akibat yang diterima oleh orang yang melakukan zina ditegaskan lagi oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda maksudnya: "wahai umat manusia, takutlah perbuatan zina kerana ia menyebabkan enam perkara. Tiga perkara di dunia dan tiga lagi di akhirat. Adapun yang di dunia adalah, menghapuskan kebaikan, membawa kemiskinan dan mengurangi umur. Adapun yang di akhirat, dimurkai Allah, hisab yang buruk dan seksa neraka".

Untuk menyelesaikan masalah yang anda hadapi, hendaklah anda menempuh cara-cara sebagai berikut:
1. Pertama sekali anda hendaklah segera bertaubat atas dosa dan kesilapan yang telah anda lakukan. Taubat dengan sebenar-benar taubat dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan yang terkutuk itu. Lakukanlah solat fardhu lima waktu dan banyakkanlah beristigfar dan menyesali perbuatan dosa masa silam.

2. Janganlah anda menggugrkan kandungan yang telah berusia lima bulan tersebut kerana kandungan anda itu telah berbentuk wujud manusia bahkan telah ditiupkan roh ke atasnya. Jika anda menggugurkannya bererti anda telah membuat dosa yang besar iaitu membunuh jiwa manusia.

3. Segeralah mendirikan rumahtangga kerana dengan jalan ini anda telah membantu diri sendiri dalam menjaga akhlak dan moral serta dapat menyalurkan nafsu berahi dengan cara yang diredhai oleh Allah SWT. Usia yang muda bukanlah menjadi ukuran seseorang itu menahan dirinya dari hasrta untuk mendirikan rumahtangga kerana Siti Aisyah pun berkahwin dengan Rasulullah SAW saat beliau berusia 9 tahun dan setelah baligh (keluar haid) pada umur 12 tahun beliau baru menjalin hubungan dengan Rasulullah SAW. Jadi jelaslah usia bukanlah menjadi penghalang untuk anda mendirikan rumahtangga, asalkan anda telah mencapai usia baligh.

DN 109 Panduan Mendidik & Menunduk Nafsu
DN 220 Dosa-dosa Besar
DN 186 Taubat - Titisan Airmata Keinsafan (Amalan & Penghayatannya)

Kembali ke atas ↑


 

18. Membahagi Masa Antara Sukan dan Belajar
Soalan:
Saya seorang pelajar yang aktif didalam bidang sukan dan merupakan salah seorang pelajar di IPT tempatan. Bolehkan pihak darulnuman menyarankan cara terbaik untuk mendapatkan ketenangan semasa saya mengulangkaji pelajaran kerana saya selalu letih selepas bersukan. Adakan pihak Darul Nu'man mempunyai petua ataupun doa untuk saya rujuk?

Siti Hajar, K Bharu

Jawapan:
Belajar menuntut ilmu merupakan perkara yang wajib dilakukan oleh setiap muslimah. Dengan demikian tumpuan terhadapnya sangat diutamakan daripada perekara lain yang bersifat sampingan. Sedangkan sukan dalam bentuk riadah untuk kesihatan diri juga dituntut demi menjaga kesihatan tubuh. Sedangkan sukan untuk pertandingan bagi kaum muslimah adalah perkara yang tidak baik, kerana sukan jenis ini dipertonton atau disaksikan oleh orang ramai termasuk bukan muhrim bahkan kadang kala sampai membuka bahagian aurat kaum wanita. Jika anda menceburi bidang sukan untuk pertandingan adalah disarankan lebih baik menumpukan perhatian anda terhadap pelajaran kerana itu lebih utama untuk anda.

Banyak ayat-ayat dalam Al quran yang boleh diamalkan untuk terang hati dan mudah menerima pelajaran. Seperti dalam surah Thaha ayat 25 hingga 28, Surah Al Anbiya ayat 79, surah Al 'raaf ayat 171 dan lain-lain.

Kembali ke atas ↑


 

19. Air Jernih Keluar dari Kemaluan
Soalan:
Saya seorang remaja, ingin bertanya mengenai satu masalah pada diri saya iaitu setiap kali bila adanya cerita yang menghairahkan atau apa apa saja yang menghairahkan pasti menaikan nafsu saya, dan kadang kadang ada air jernih keluar dari kemaluan saya. Adakah saya perlu mandi wajib atau apakah itu air yang keluar itu?

Sham, KL

Jawapan:
Ada berbagai jenis air yang keluar dari kemaluan manusia seperti air kencing, mani, mazi dan sebagainya. Mazi adalah cecair berwarna agak kekuningan dan jernih yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan secara tidak sedar. Keluarnya terjadi apabila naluri syahwat atau ghairah berahi bangkit dan biasanya wanita lebih sering mengalaminya.

Mazi menurut kesepakatan para ulama adalah benda najis yang mesti disucikan dari badan, pakaian serta boleh membatalkan wuduk tetapi tidak mewajibkan mandi junub.

Kembali ke atas ↑


 

20. Tabiat Menonton VCD Lucah
Soalan:

Saya selalu melakukan perkara-perkara maksiat seperti menonton vcd lucah dsb. Apakah perkara yang boleh saya lakukan untuk mengubah tabiat buruk saya itu?

Hamba berdosa, Banting

Jawapan:
Dorongan syahwat dan ingin mengetahui perkara yang berkaitan dengan perkara tersebut biasanya sangat bergejolak bagi kaum remaja. Dorongan dan kecenderungan itu merupakan fitrah bagi seorang  remaja yang normal. Di dalam Islam dengan jelas ditunjukkan cara remaja untuk mengatasi gejolak syahwat tersebut. Rasulullah SAW menganjurkan jika seseorang belum mampu berkahwin hendaklah berpuasa agar syahwat mereka dapat dikawal dengan baik.

Menonton filem lucah merupakan pekerjaan yang sia-sia malah berdosa lantaran melihat aib orang lain dengan sengaja. Kesan yang paling besar dalam melihat perbuatan yang tercela tersebut adalah melemahkan daya fikiran dan menumpulkan hati. Kesan untuk jangka panjang jika telah berumahtangga nanti dikhuatirkan mengurangkan rasa ghairah dan nikmat bersuami isteri kerana telah terbiasa melihat dan menyaksikan perkara yang melemahkan daya fikiran tersebut.

Keghairahan seks berpunca daripada kekuatan syaraf, jika pada zaman remaja lagi telah digunakan kepada perkara yang tidak sesuai dengan tuntutan syarak sudah pasti akan menimbulkan kesan yang negatif dikemudian hari. Itulah sebabnya banyak kita dengar dewasa ini pasangan suami isteri mengeluh dan bahkan dalam keadaan resah gelisah lantaran tidak puas dalam mengadakan hubungan jimak suami isteri. Semua ini terjadi kemungkinan besar mereka tidak mengikuti sunnah yang telah digariskan oleh Rasulullah SAW dalam menjaga diri dan syahwat.

Bagi seorang pelajar, banyak aktiviti boleh dilakukan untuk mengalihkan kebiasaan yang kurang baik tersebut kepada aktiviti yang lebih bermanfaat. Seorang pelajar IPT merupakan calon intelektual yang akan terjun ke masyarakat, jadi alangkah baiknya jika masa-masa terluang digunakan untuk mengasah minda dengan menulis artikel ataupun mengkaji bahan-bahan ilmiah. Walaupun karya tersebut tidak diterbitkan, kemungkinan pada suatu saat nanti setelah bekerja semuanya itu akan berguna. Fikirkanlah dan kerjakanlah sesuatu yang bermanfaat agar perhatian anda dapat dialihkan daripada suka melihat perkara yang sia-sia dan tidak bermanfaat tersebut. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


 

21. Ber'dating' dengan Izin Ibubapa
Soalan:
Kemusykilan saya ialah bagaimanakah untuk menjalinkan hubungan perasaan cinta kepada seseorang yang kita sayang berdasarkan islam dan bagaimana kita hendak mengenali pasangan hidup yang sesuai. Adakah bersalah jika keluar bertemu teman lelaki setelah mendapat kebenaran ibu bapa?

Syafikah, KL

Jawapan:
Islam melarang seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita, kerana dikhuatirkan pihak ketiganya adalah syaitan yang datang merayu dan menggoda. Walaupun ibu bapa membenarkan anak perempuannya keluar dengan lelaki yang bukan muhrim, maka hukumnya tetap haram dan orang tuanya juga memperoleh saham dosa atas perbuatan anaknya.

Rasa cinta adalah anugerah Allah kepada setiap insan dan dia merupakan fitrah yang paling mulia yang disematkan dalam sanubari kita. Mencintai seseorang tidaklah berdosa bahkan dituntut untuk saling sayang menyayangi. Cinta seorang perempuan terhadap seorang lelaki adalah dengan merealisasikan kecintaan tersebut dengan perkahwinan, sebab di dalam perkahwinan tersimpan seribu satu nikmat yang akan mendatangkan keberkatan dalam hidup.

Kemudian untuk mengenali pasangan hidup, perhatikanlah latar belakang keluarganya, apakah dia berada dalam keluarga yang menjalankan perintah agama dengan baik ataupun sebaliknya. Lihatlah tutur kata dan keperibadiannya serta tanggungjawab terhadap ibu bapa dan sahabat-sahabatnya, jika ia disenangi oleh ramai orang, ini juga salah satu bukti bahawa dia tergolong pasangan yang baik. Banyak faktor lain yang boleh dilihat seperti ibadahnya, pendidikannya, pekerjaannya dan sebagainya, tetapi yang paling penting nilailah dari sudut amalan agamanya. Wallahu A'lam. 

DN 242 40 Peranan Anak Mithali - Siri Keluarga Gemilang
DN 240 20 Sifat Fitrah Anak - Siri Keluarga Gemilang
DN 248 20 Kesilapan Anak - Siri Keluarga Gemilang

Kembali ke atas ↑


 

22. Berbincang Masalah Seks dengan Teman Lelaki
Soalan:

Saya dan teman lelaki saya sejak akhir-akhir ini sering berbincang soal seks. Tujuan kami adalah untuk pengetahuan adakah yang kami lakukan berdosa?

Syafikah, KL

Jawapan:
Berbincang masalah seks dengan teman lelaki hukumnya berdosa kerana ia boleh mengundang kepada perbuatan maksiat. Seks bukanlah untuk diperbincang-bincangkan dengan orang yang bukan berhak mendengarnya, kecualilah antara suami isteri maka perkara ini dibolehkan demi meningkatkan lagi hubungan harmoni antara mereka. Hindarilah perbuatan yang sia-sia ini agar generasi Islam tidak mudah terpesong ke lembah kehinaan dan kemaksiatan. Wallahu A'lam.

DN 242 40 Peranan Anak Mithali - Siri Keluarga Gemilang
DN 240 20 Sifat Fitrah Anak - Siri Keluarga Gemilang
DN 248 20 Kesilapan Anak - Siri Keluarga Gemilang

Kembali ke atas ↑


23. Mengelak Keruntuhan Moral Remaja
Soalan:

Bagaimanakah caranya untuk mengelakkan keruntuhan moral dikalangan remaja berlaku secara berleluasa?

Ahmad Fauzi, Melaka

Jawapan:
Remaja adalah aset negara yang paling penting dalam melahirkan sebuah masyarakat yang bermoral dan berbudi luhur. Jika remaja pada hari ini tergolong insan rosak akhlak dan moralnya, maka pada masa akan datang mewarisi keperibadian yang rosak pula dalam memimpin ummah ini. Jadi merupakan perkara yang paling penting adalah mendidik para remaja kepada jalan yang benar dan bertakwa kepada Allah SWT.

Dalam membina moral remaja perlunya persepaduan kerjasama antara keluarga, sekolah dan masyarkat. Ketiga institusi ini berperanan dalam membina generasi muda ke arah kecemerlangan ataupun ke arah kebobrokan. Begitu juga dalam diri remaja itu sendiri perlu adanya kesedaran kepada kebaikan dan pembinaan diri. Perkara yang paling asas pendidikan remaja yang bermoral adalah ilmu dan pengetahuan agama, jika nilai-nilai agama dipraktikkan oleh ketiga institusi tadi dan diterapkan dalam diri remja, maka insya Allah, remaja di negara ini akan menjadi generasi yang cemerlang dan terhindar dari perangai yang busuk dan tercela.

Kembali ke atas ↑


24. Menahan Nafsu Ketika dalam Pertunangan
Soalan:
Apakah kewajipan seorang tunang dan langkah yang perlu diambil untuk menahan nafsu?

Kasmawardati, Miri

Jawapan:
Kewajipan seorang tunang terhadap pasangannya adalah menjaga pertunangan tersebut daripada dinodai dengan perbuatan yang dilarang oleh agama. Dilarang berjumpa berdua-duaan dan membawa tunang kesana kemari. Perkara yang paling mulia adalah menyegerakan perkahwinan agar nafsu yang bergejolak itu dapat disalurkan dengan segera dan secara sah.

Kembali ke atas ↑


25. Berahi Memuncak Bila Berbicara dengan Wanita Idaman
Soalan:

Saya yakin telah menemui calon untuk dijadikan isteri. Cuma menanti masa yang sesuai untuk memberitahu ibu bapa saya. Masalahnya sekarang ialah apabila berjumpa ataupun bercakap melalui telefon (percakapan biasa) dengan si dia, saya akan mendapati air mazi akan keluar dengan sendirinya. Ini tidak terjadi apabila saya bercakap dengan perempuan lain walaupun perempuan itu lebih seksi. Saya telah mencuba untuk memelihara tata susila perhubungan dari segi Islam seperti berpuasa, berzikir, jarang berjumpa, kalau berjumpa pun di rumahnya atau bersama muhrimnya, namun susah sekali untuk mengelakkannya. Apakah hukumnya sudah wajib kahwin bagi saya? Berdosakah saya dan haruskah saya meminta maaf kepada si dia kerana berperasaan sedemikian?

Shahrel, KL

Jawapan:
Wajib menyegerakan kahwin  bagi seseorang yang telah berkemampuan baik dari segi jasmani mahupun rohani sedangkan dia tidak mampu menahan gejolak nafsu syahwatnya. Dengan menyegerakan kahwin akan menyelamatkan seseorang yang tidak mampu menahan nafsunya daripada melakukan pekerjaan yang tidak dieredhai Allah SWT. Mengenai perasaan anda terhadap wanita yang anda minati itu tidak lebih merupakan dorongan nafsu syahwat yang timbul dari seorang lelaki yang normal. Cuma saja dari segi Islam kita perlu mengawal perasaan tersebut dan tidak membiarkan dimain oleh perasaan sendiri. Dikhuatirkan dorongan perasaan itu menimbulkan keinganan yang sukar dibendung dan akhirnya dengan mudah mengikuti gejolak syahwat. Adalah lebih baik anda menyegerakan perkahwinan agar selamat akhlak dan agama yang anda miliki. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


26. Berbincang Tentang Seks dengan Tunang
Soalan:
Saya berumur 28 tahun dan akan melangsungkan perkawinan saya pada bulan September tahun ini. Saya ingin bertanya adakah berdosa sekiranya saya dan tunang saya berbual tentang bagaimana kami akan menghadapi malam pertama kami seperti seks di malam pertama kami nanti, pakaian yang bagaimana yang akan dipakainya dan sebagainya?

Marliah, Singapura

Jawapan:
Pertunangan dalam Islam bukanlah menghalalkan seseorang itu untuk membincangkan atau membicarakan perkara yang dilarang dalam Islam. Berbicara masalah seks kepada yang bukan berhak untuk membicarakannya seperti suami isteri adalah dilarang kerana dikhuatirkan akan menjuruskan seseorang kepada perkara yang terlarang. Kerana segala sesuatu yang membawa perkara yang haram dan terlarang maka hukumnya tetap berdosa. Hadapilah sesuatu itu secara fitrah dan bincanglah tentang seks tersebut setelah anda menikah dan setelah anda berada di malam pengantin tersebut kerana itulah yang lebih baik dan mengikut sunnah.

Kembali ke atas ↑


27. Mencintai Seorang Lelaki Idaman
Soalan:
Beberapa bulan yang lepas , saya telah berkenalan dengan seorang muslimin tetapi sebelum itu saya memang tidak terniat untuk menjalin apa-apa hubungan dengannya. Setelah saling menghubungi, saya rasakan seperti menyukainya. Sebenarnya, sebelum ini, saya tidak pernah bergaul dengan golongan ini kecuali ada apa-apa perkara contohnya semasa belajar dan sebagainya. Saya rasakan perasaan itu adalah ikhlas walaupun kata sesetengah orang tiada keikhlasan dalam perhubungan sebegini. Walaupun saya cuba buang perasaan itu, namun tidak berjaya. Jadi salahkah kalau saya menganggapkan yang pertemuan saya dengannya adalah ketentuan dari Allah? Dan salahkah saya berdoa kepada Allah agar merestui perasaan ini sekiranya dia seorang yang baik?

Saleha, Ipoh

Jawapan:
Rasa cinta dan kasih sayang merupakan fitrah dan anugerah Allah yang diberikan kepada setiap insan. Dengan rasa cinta dan kasih sayang inilah terbinanya kehidupan dan tamadun umat manusia yang cemerlang. Cinta juga merupakan tabiat manusia terhadap sesuatu yang nikmat baik bersifat jasmaniah mahupun rohaniah.  Nafsu cinta iaitu usaha untuk memenuhi keinginan jasmaniah seseorang terhadap orang lain atau keinganan untuk menjalinkan hubungan lelaki terhadap seorang wanita. Jika kita ingin kepada makanan dan minuman tertentu yang kita sukai namanya selera, kemudian jika kita suka terhadap haiwan tertentu,itu dinamakan sayang. Jangan kita katakan cinta terhadap haiwan dan sebagainya.

Cinta, kasih, sayang, selera, simpati dan sebagainya itu merupakan bahagian yang termasuk dalam naluri manusia. Ada pula orang yang mengatakan bahawa cinta itu buta. Ertinya bila seseorang jatuh cinta maka ia akan kehilangan kemampuan untuk berfikir secara wajar. Lebih banyak dikuasai oleh gelora perasaan sehingga mereka merasa buta untuk melakukan pekerjaan yang lain.  Cinta itu buta dapat juga diertikan cinta itu mengandungi kesetiaan, kerana apabila ia telah jatuh cinta terhadap seseorang maka fikiran dan matanya buta terhadap yang lain. Cintanya bertujuan terhadap seseorang yang menjadi pilihannya semenjak dari awal, tak peduli apakah bentuknya cantik atau cacat.

Jadi perasaan cinta yang tumbuh dalam sanubari anda tersebut bukanlah suatu dosa, melainkan proses fitrah yang sedang berjalan dalam kehidupan anda. Cuma saja diharapkan tidak menyalahkan fitrah tersebut dengan memberikan ruang-ruang syaitan untuk menguasai diri kita. Berdoalah kepada Allah jika lelaki tersebut merupakan pasangan yang terbaik untuk anda maka mohonlah agar dipertemukan jodoh dengannya, namun sebaliknya jika ia bukan yang terbaik maka bermohonlah agar ia dijauhkan dari kehidupan anda meskipun rasa cinta yang bergelora menusuk setiap nadi anda. Sebab ketentuan Allah untuk kita itu lebih baik dan lebih bermanfaat dari kehendak nafsu dan diri sendiri.

Kembali ke atas ↑


28. Pernikahan Setelah Hamil
Soalan:
Dosa yang telah saya sudah keterlaluan sekali, saya sangat rajin sholat, baik lima waktu ataupun shalat-shalat sunah; Tahajud,Duha, bahkan saya puasa senin & kamis, namun kiranya iman yang saya miliki tidak sekokoh ibadah yang saya lakukan, setan telah berhasil menggoda saya melalui seorang perempuan yang saya sangat cintai. Saya terlanjur berbuat zina dengan dia. Saya sangat bingung dan sedih terhadap diri saya yang sudah bergelimang dosa karena zina ini, namun saya selalu berharap Allah maha pengampun.

Masalahnya wanita yang saya cintai itu hamil karena perbuatan saya, dan saya sekarang sudah menikahinya setelah empat bulan hamil. Yang saya tanyakan apakah perkawinan saya ini syah ? Karena ada pendapat bahwa perkawinan yang diselenggarakan pada saat hamil itu tidak syah? jika benar demikian mohon kiranya Ustadz memberikan keterangan yang sejelas-jelasnya mengenai masalah ini. Dan bagaimana hukumnya dengan anak yang lahir nanti?

Asep, Indonesia

Jawapan:
Jika telah melakukan perbuatan dosa besar seperti berzina, maka bertaubatlah dengan taubat nasuha, ertinya tidak akan mengulangi perbuatan yang terkutuk tersebut. Jika kita benar-benar bertaubat dan tidak mengulanginya lagi maka insya Allah, segala dosa silam telah diampunkan oleh Allah SWT. Hanya dengan bertaubat sajalah seseorang itu dapat membersihak dirinya dan dengan bertaubat juga seseorang itu dapat mengembalikan fitrahnya.

Jika anda telah menikah dengan wanita hamil melalui perhubungan anda tersebut maka pernikahan anda tetap sah. Sedangkan hukum anak yang lahir nanti tetap sebagai anak manusia yang suci dan bersih sebagaimana dengan anak manusia yang lain. Sebab anak tersebut tidak berdosa dan tidak bersalah yang berdosa dan salah adalah perbuatan zina yang dilakukan oleh orang tuanya. Menurut Imam Syafei jika sesuatu pasangan melakukan zina kemudian berkahwin setelah berlalu enam bulan dua lahzat isterinya melahirkan anak, maka anak itu boleh di "bin" kan kepada bapanya. Jika isterinya melahirkan anak kurang dari tempoh enam bulan anak tersebut tidak boleh di "bin' kan kepada bapa terlibat sebaliknya hendaklah di bin kan dengan kepada ibunya.

Kembali ke atas ↑

Popular

Wadah Harian

Sesungguhnya Allah S.W.T. menjadikan dunia itu tiga bahagian; sebahagian bagi orang mukmin, sebahagian bagi orang munafik dan sebahagian bagi orang kafir. Maka orang mukmin menyiapkan perbekalan. Orang munafik, mengambilnya menjadi hiasan, dan orang kafir pula mengambilnya untuk bersenang-senang.

* Petikan: Imam Ghazali DN 082 1001 Mutiara Hikmah & Kata Nasihat

 
Anda Di Sini Soal Jawab Remaja & Pelajar