Buku Agama Islam Terbitan

Penyalur Inspirasi Ummah

Solat
Rukun Solat

Soalan-soalan:

  1. Posisi Duduk Tahiyat Awal
  2. Terlupa Membaca Doa Iftitah 
  3. Hukum Tahhiyyat Awal 
  4. Niat dan Lafaz di dalam Solat 
  5. Meninggalkan Tasyahhud Awal dan Doa Qunut 
  6. Melipatkan Jari Kaki dalam Solat 
  7. Membaca Takbiratul ihram 
  8. Sengaja Meninggalkan Doa Qunut

 


 

1. Posisi Duduk Tahiyat Awal
Soalan:
Semasa duduk tahhiyat awal & akhir jari kaki kanan dibengkokkan menghadap kiblat tetapi jika kita tidak buat adakah batal sembahyang kita?

Alwi ,KL

Jawapan:
Membengkokkan jari kaki kanan ketika duduk tahiyat awal bukanlah termasuk dalam rukun solat yang jika tidak dikerjakan boleh membatalkan solat. Jadi walaupun meluruskan jari-jari kaki kita maka solat kita tetap sah. Perkara tersebut termasuk adab-adab ketika solat oleh itu adalah lebih baik jika dapat dilakukan seperti tersebut.

Kembali ke atas ↑


 

2. Terlupa Membaca Doa Iftitah
Soalan:
Bolehkah bacaan doa iftitah (selepas takbir ratul ihram) dibaca selepas daripada bacaan surah Al-Fatihah dalam solat yang dikerjakan dan selepas itu barulah dibaca surah-surah yang lain (untuk rakaat pertama)?

Emran, Kuala Terengganu

Jawapan:
Membaca doa iftitah hanya sunat, jika kita terlupa membacanya sedangkan kita telah membaca surah Al Fatihah maka teruskanlah membaca surah ataupun terus rukuk. Tidak perlulah mengulangi untuk membacanya.

Kembali ke atas ↑


 

3. Hukum Tahhiyyat Awal
Soalan:
Hukum Tahhiyyat Awal, adakah ianya salah satu perkara yang wajib ketika menunaikan solat?

Izwan, Baling

Jawapan:
Tasyahud pertama dalam solat bukanlah rukun solat itu sendiri sebaliknya ia termasuk ke dalam sunat Ab'ad yang mana jika seseorang tertinggal melakukannya akan menyebabkan orang yang, meninggalkannya dikehendaki menampung kekurangan ini dengan sujud sahwi di akhir solatnya. Bagaimanapun ini tidaklah bermakna ia boleh ditinggalkan sewenang-wenangnya kemudian di tampung dengan sujud sahwi. Kalau begitulah tujuan, sudah pasti akan merosakkan solatnya.

DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat

Kembali ke atas ↑


 

4. Niat dan Lafaz di dalam Solat
Soalan:
Ketika mana niat dan lafaz perlu diucap semasa solat?

Izwan, Baling

Jawapan:
Niat adalah rukun dalam solat. Tanpanya solat tidak sah. Dalam Mazhab Asy-Syafi'i niat dihadirkan di dalam hati pada masa seseorang bertakbirratul Ihram di antara huruf Alif pada "ALLAH dan huruf Ra' pada "AKBAR". Jika niat hadir di bahagian di antara dua huruf ini, bermakna yang terlibat sudah menghadirkan niatnya di dalam solatnya itu dan seterusnya sahlah solatnya. Berhubung dengan lafaz niat yang diucapkan oleh orang-orang yang bermadhhab Asy-Syafi'i di negara kita hari ini, biasanya ia dilakukan sebelum takbiratul Ihram bermula bagi tujuan memudahkan kehadiran niat itu sendiri di dalam hati.

Bagaimanapun Imam An-Nawawi dari kalangan ulamak madhhab Asy-Syafi'i menafikan imam Asy-Syafi'i ada berlafaz niat sebelum bertakbiratul Ihram di dalam kitabnya Syarah Muhadhdhab, bahkan beliau menganggap anggapan sesetengah orang tentang keperluan berlafaz niat sebelum takbiratul Ihram adalah satu kesilapan terhadap ucapan Imam Asy-Syafi'i sendiri. Apa yang perlu dibuat ialah kita dikehendaki mempelajari lafaz niat, tetapi apabila ketika menunaikan solat, terus sahaja kita meniatkannya di dalam hati semasa takbiratulihram mengikut jenis solat yang kita kehendaki, fardhu atau sunat, tunai atau qada', dan berapa rakaat solat yang ditunaikan itu.

 DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat

Kembali ke atas ↑


 

5. Meninggalkan Tasyahhud Awal dan Doa Qunut
Soalan:
Apakah hukum sembahyang seseorang itu sekiranya seseorang itu dengan sengaja meninggalkan duduk tahiyat awal dan bacaannya. Kemudian sebelum salam pertama, beliau dengan sengaja tidak sujud sahwi walaupun beliau ingat. Adakah duduk tahyat awal dan bacaannya termasuk dalam rukun atau hanya sunat ab'ad (sunat yang di tuntut sahaja). Berhubung dengan soalan di atas, bagi sembahyang subuh, apakah hukum sembahyang seseorang itu sekiranya ia dengan sengaja tidak membaca doa qunut dan sengaja tidak membuat sahwi walaupun dia tidak terlupa?

Ramli, KL

Jawapan:
Meninggalkan tasyahhud awwal dengan sengaja dan meninggalkan pula sujud sahwi dengan sengaja walaupun ingat tidaklah membatalkan solat seseorang itu menurut jumhur ulamak. Walau bagaimanapun perbuatan ini bercanggah dengan sunnah Rasulullah SAW dalam menunaikan solat yang terdapat dalam sebuah hadis yang sahih; "Baginda bersabda: Solatlah anda sebagaimana anda melihat saya bersolat".

Dalam sebuah hadis sahih yang lain yang dinukilkan oleh imam An-Nawawi dalam syarah Mudahdhabnya menjelaskan nabi pernah suatu ketika menunaikan solat Zohor tetapi terlupa untuk tasyahhud awwal, kemudian baginda menggantikannya dengan dua kali sujud sahwi di akhir solatnya sebelum salam. Apa yang jelas kepada kita tidak terdapat riwayat yang mengatakan nabi SAW sengaja berbuat demikian.

Kerana itu orang yang sengaja meninggalkan tasyahhud awwal bererti ia telah mencanggahi sunnah Rasulullah SAW. Tambahan pula solat bukanlah satu perkara yang boleh dipermainkan. Solat ini telah ditunaikan oleh para sahabat dan generasi umat Islam sesudahnya. Namun tidak ada pula dinukilkan ada di antara mereka sengaja meninggalkannya, kecuali kerana terlupa. Itu sahaja.

Tasyahhud Awwal termasuk ke dalam sunat Ab'ad menurut jumhur ulamak termasuklah Imam Syafi'i, Malik, Thauri, Awza'i, dan Abu Hanifah. Sunat Abd'ad bermaksud sunat yang hampir-hampir mencecah hukum wajib. Kerana itu ia tidak boleh sengaja diitinggalkan begitu sahaja. Menurut Imam Imad, Al-Laithi, Ishak dan Dawud Tasyahhud awwal hukumnya wajib. Ini bermakna orang yang sengaja meninggalkannya solatnya jelas batal. Golongan ini berhujjah hadis yang menjelaskan nabi SAW menyuruh para sahabatnya menunaikan solat sebagaimana mereka melihat baginda menunaikannya. tanpa sebarang pengecualian satu rukun pun kerana itu hukum tasyahud awwal adalah wajib.Jumhur ulamak pula berhujjahkan hadis yang disebutkan di atas sebelumnya.

Qunut juga termasuk ke dalam sunat Ab'ad. Ini bererti orang yang tertinggal melakukannya hendaklah sujud sahwi di akhir solatnya. Jika ia sengaja tidak membaca qunut dan sengaja pula tidak sujud sahwi di akhir solatnya, hukum solatnya tidaklah terbatal. Dalam mazhab Syafii qunut yang merupakan sunat mempunyai dalil yang kuat seperti mana yang dijelaskan oleh An-Nawawi di dalam syarah muhadhdhabnya.

Kerana itu ia tidak boleh dipandang remeh. Oleh kerana solat merupakan perkara yang berat dan merupakan tiang agama, sewajarnyalah kita menunaikannya dengan sempurna baik dari segi wajibnya mahupun dari segi sunatnya. Janganlah hendaknya kerana ada di antara perkara sunat di dalamnya kita dengan sewenang-wenangnya sahaja meninggalkan perkara sunat itu. Kenapa dalam soal ibadat kita begitu mengambil mudah tetapi dalam soal pengurusan duniawi kita begitu mengambil berat?

 DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat

DN 114 Panduan Lengkap Ibadah Solat

Kembali ke atas ↑


 

6. Melipatkan Jari Kaki dalam Solat
Soalan:
Ustaz, saya ingin bertanya, saya pernah ditegur ketika sembahyang zohor, dimana hamba Allah telah mengatakan sembahyang saya tak sah kerana di tahiyyat akhir saya tidak melipatkan ibu jari kebawah, betulkah solat sah itu batal?

Hamba Allah, W Persekutuan

Jawapan:
Dalam sebuah hadis yang sahih menjelaskan kaki adalah termasuk ke dalam anggota sujud. Persoalannya adakah sah solat seseorang itu apabila ia tidak meletakkan sebahagian dari perut jari ke dua kakinya ke tanah atau ke lantai ketika sujud. Menurut Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari dalam kitabnya Sabilul Al-Muhtadin jika seseorang itu tidak berbuat demikian, maka solatnya tidak memadai iaitu tidak sah, kerana meletakkan sebahagian dari perut ke dua kaki di tanah adalah termasuk ke dalam syarat sujud.

Boleh jadi orang yang menegur perbuatan saudara itu berpegang dengan pendapat ini. Dalam Kitab Mughni Al-Muhtaj karangan Al-Khatib Asy-Syarbini menjelaskan meletakkan sebahagian perut jari-jari kaki tidak wajib, kerana itu dihukumkan orang yang tidak berbuat demikian solatnya adalah sah, apalagi jika ia sendiri tidak dapat melipatkan kakinya dengan baik kerana masalah gemuk atau masalah penyakit yang ada di situ.

Bagaimana mengikut kaedah feqah yang berbunyi mengeluarkan diri dari perkara yang diperselisihkan oleh ulamak itu adalah sunat, maka suka diingatkan kepada saudara lain kali hendaklah saudara melipatkan perut jari-jari kaki saudara itu ketika bersolat.

 DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat

Kembali ke atas ↑


 

7. Membaca Takbiratul ihram
Soalan:
Apa pendapat ustaz jika kita masbuk, perlukah kita baca takbiratulihram, atau terus baca fatihah?

Sham, Kajang

Jawapan:
Takbiraul Ihram itu adalah salah satu rukun daripada rukun-rukun solat. Adapun lafaz takbiratul Ihram ini hendaklah diucapkan dengan lafaz "Allahu Akbar", tidak boleh ditukar dengan ucapan lain, walaupun mengandungi maksud yang sama. Ketentuan ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabda baginda yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah maksudnya: "Adalah Nabi SAW apabila baginda telah berdiri untuk mengerjakan solat maka baginda berdiri dengan lurus dan mengangkat tangannya, kemudian baginda mengucapkan "Allahu Akbar" (ucapan takbiratul ihram).

Jika kita masbuk, maka yang paling mustahak kita lakukan sempurnakan syarat dan rukun solat. Berniatlah dengan penuh khusyuk kemudian berdiri tegak dengan betul dan barulah mengucapkan takbiratul ihram (Allahu Akbar). Setelah itu ikutilah imam sesuai dengan posisi ketika kita selesai takbiratul ihram.

 DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat

Kembali ke atas ↑


 

8. Sengaja Meninggalkan Doa Qunut
Soalan:
Jika saya sengaja tinggalkan doa Qunut dan buat sujud sahwi, sahkah sembayang subuh saya?

Sham, Kajang

Jawapan:
Mengenai masalah doa qunut ini ada baiknya kita mendapatkan kepastian tentang kedudukannya. Para ulama mujtahid berbeza pendapat tentang kedudukan Qunut ini. Menurut Imam Malik dan para pengikutnya mengatakan bahawa qunut Subuh itu adalah mustahab yakni sesuatu amalan yang amat disukai oleh Rasulullah SAW dan dibiasakannya. Bagaimanapun beliau mengatakan bahawa qunut Subuh itu boleh dibaca pada sebelum atau sesudah rukuk dan beliau juga tidak menentukan sebarang bacaan atau doa dalam qunut ini.

Menurut Mazhab Syafei, Qunut Subuh itu adalah suatu amalan yang amat disukai oleh Rasulullah SAW, tetapi tidak wajib hukumnya. Beliau mengatakan bahawa qunut itu dibaca selepas rukuk pada rakaat yang kedua. Menurut Imam Abu Hanifah pula, beliau berkata bahawa qunut pada solat Subuh bukan sunat hukumnya yang ada menurut beliau adalah pada solat Witir.

Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat bahawa qunut itu diamalkan oleh ketua negara yang berdoa untuk keselamatan bagi pasukan keselamatan negaranya. Pendapat Imam Malik dan imam Syafei di atas merujuk kepada riwayat Jemaah ahli hadith dari Anas bin Malik. "Bahawa Rasulullah SAW pernah qunut satu bulan lamanya, baginda mendoakan mereka (yang membunuh, yakni kabilah Ri'il, Zakwan dan 'Ushayyak atas perbuatan mereka yang telah membunuh 70 orang sahabat Nabi yang diutus oleh baginda untuk mengajar mereka tentang agama Islam) kemudian baginda menghentikannya. Adapun pada solat Subuh sentiasa baginda lakukan hinggalah baginda wafat. Ikrimah mengatakan bahawa peristiwa itu adalah merupakan titik awal permulaan qunut.

Dengan berbagai pendapat dan hadith tentang qunut ini, maka ulama Syafeiyah (mazhab Syafei) menetapkan bahawa qunut Subuh sunat hukumnya, bahkan ia lebih mendekati kepada wajib iaitu sunat muakkad. Oleh sebab itu apabila ia tertinggal hendaklah diganti dengan sujud sahwi. Jika kita pengikut Syafeiyah atau mazhab Syafei maka perlulah melakukan sujud sahwi jika tertinggal qunut dalam solat Subuh. Namun secara umum dapat dikatakan bahawa solat tetap sah jika doa qunut ini tertinggal atau sengaja ditinggalkan sebab qunut bukan termasuk dalam salah satu rukun solat.

Kembali ke atas ↑

Popular

Wadah Harian

Sesungguhnya Allah S.W.T. menjadikan dunia itu tiga bahagian; sebahagian bagi orang mukmin, sebahagian bagi orang munafik dan sebahagian bagi orang kafir. Maka orang mukmin menyiapkan perbekalan. Orang munafik, mengambilnya menjadi hiasan, dan orang kafir pula mengambilnya untuk bersenang-senang.

* Petikan: Imam Ghazali DN 082 1001 Mutiara Hikmah & Kata Nasihat

 
Anda Di Sini Soal Jawab Solat Rukun Solat