Buku Agama Islam Terbitan

Penyalur Inspirasi Ummah

Solat
Solat Fardhu

Soalan-soalan:

  1. Mendahulukan Fardhu dari yang Sunat
  2. Solat Fardhu Dipaksa
  3. Solat Jumaat di Hari Raya
  4. Meninggalkan Solat Jumaat kerana Kerja
  5. Kewajipan Solat Jumaat kepada Banduan
  6. Solat Dalam Keadaan Lumpuh
  7. Ibarat bagi yang Meninggalkan Solat
  8. Meninggalkan Solat Jumaat
  9. Solat Jumaat Kurang 40 Jemaah
  10. Kaedah Membaca Surah Al Fatihah
  11. Mengamalkan yang Sunat Meninggalkan yang Wajib
  12. Waktu-waktu Mengerjakan Solat Fardhu
  13. Memperolehi Satu Rakaat Pada Waktunya
  14. Tidak Mendengar Khutbah Jumaat
  15. Azan Berkumandang Ketika sedang Solat
  16. Enggan Berimamkan Imam Masjidil Haram

 


 

1. Mendahulukan Fardhu dari yang Sunat
Soalan:
Bolehkah kita melakukan sembahyang sunat tarawih tanpa menunaikan sembahyang Isyak dulu? Maksud saya disebabkan terlewat, Imam telah pun memulakan sembahyang terawih sedangkan kita belum menunaikan fardhu Isyak?

Fatimah Azzahra, KL

Jawapan:
Jika anda terlewat datang sedangkan imam mengerjakan solat sunat dan anda sendiri belum mengerjakan solat fardhu ketika itu, maka laksanakanlah solat fardhu itu terlebih dahulu, setelah itu kerjakanlah solat sunat, sebab kita wajib mendahulukan yang fardhu dari yang sunat.

Kembali ke atas ↑


 

2. Solat Fardhu Dipaksa
Soalan:
Apakah hukum seseorang muslim itu mendirikan solat wajib kerana dipaksa?

Mohd Kir ,Shah Alam

Jawapan:
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat pada usia 7 tahun dan pukullah mereka (bila tidak mahu) pada usia 10 tahun dan pisahkan mereka ditempat-tempat tidur" (HR. Ahmad dan Abu Dawud). Dari hadis di atas dapat kita mengambil pelajaran bahawa solat itu merupakan tiang agama yang wajib dikerjakan bagi kaum muslim. Jika anak berusia 10 tahun tidak mahu mengerjakan solat di suruh pukul sudah tentu bagi yang sudah baligh berat lagi hukumannya.  Jadi tidak ada istilah dipaksa dan terpaksa dalam mengerjakan solat bagi yang sudah baligh, tetapi wajib mengerjakannya bagi setiap kaum muslimin.  Dalam sebuah hadis ada disebutkan, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Yang membezakan (seorang itu mukmin) dan kufur serta syirik adalah meninggalkan solat". (Riwayat Muslim)

Kembali ke atas ↑


 

3. Solat Jumaat di Hari Raya
Soalan:
Sekiranya Hari Raya jatuh pada hari Jumaat apakah hukum menunaikan solat Jumaat pada hari itu?

Nursa'adah, JB

Jawapan:
Apabila hari raya bertepatan dengan hari Jumaat, maka gugurlah kewajiban solat Jumaat bagi orang yang telah mengerjakan solat hari raya, berdasarkan hadis dari Zaid bin Arqam katanya: "Nabi SAW bersembahyang hariraya, kemudian memberikan kelonggaran dalam mengerjakan solat Jumaat". Sabda baginda: "Siapa yang suka bersembahyang Jumaat, maka bersembahyanglah".

Juga dari Abu Hurairah ra bahawa Nabi SAW bersabda: "Pada harimu ini (Jumaat), telah berkumpul dua hari raya. Maka barangsiapa yang ingin, solat hari rayanya ini sudah mencukupi solat Jumaatnya. Hanya kami akan tetap melakukan solat Jumaat". (Riwayat Abu Daud)

Terhadap imam, ia disunatkan tetap mengadakan solat Jumaat, agar dapat diikuti oleh orang yang ingin menghadirinya ataupun oleh orang-orang yang pagi harinya tidak mengikuti solat hari raya. Menurut mazhab Hanbali orang tidak bersembahyang Jumaat sebab sudah bersembahyang hari raya masih berkewajiban mengerjakan solat Zohor. Yang lebih kuat ialah tidak wajib Zuhur sama sekali sebab ada riwayat Abu Daud dari Ibnu Zubair maksudnya: "Dua hari raya berhimpun dalam satu hari, maka keduanya dikumpulkan oleh Nabi SAW yang bersembahyang dua rakaat pada pagi harinya, serta tidak menambah sedikitpun sampai baginda melakukan solat Asar".
(Sila rujuk Fiqhus Sunnah -Syed Sabiq, bab Solat) Dalam Fiqh Syafei disebutkan, bila dalam satu hari bertepatan dua hari raya, iaitu hari raya Aidil Fitri atau hari Raya Aidil Adha dengan hari Jumaat maka gugurlah tuntutan "wajib" sembahyang Jumaat, bila mereka telah mengerjakan sembahyang hari raya itu. Dalam hadis Rasulullah SAW disebutkan: "Dari Zaid bin Arqam ra. ia berkata: Pernah aku mengalami bersama Nabi SAW dua hari raya yang bertepatan, lalu disembahyangkannya hari raya itu, kemudian baginda memberi kelonggaran tentang sembahyang Jumaat, dengan mengatakan: "Siapa-siapa yang hendak sembahyang maka sembahyanglah".
(Riwayat Abu Daud dan Nasa'i) Keterangan lain ada pula mengatakan "Dari Abu Hurairah ra. dari Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya telah berkumpul pada hari mu ini dua hari raya, maka siapa yang menghendaki mencukupilah kepadanya sembahyang hari Raya ini sebagai ganti sembahyang Jumaat sedang kami terus juga mengerjakannya". (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah) Dalam hadis itu diterangkan bahawa Rasulullah SAW terus juga berjumaat, tetapi tuntutan itu adalah tuntutan "sunat" bukan tuntutan wajib, sebab baginda bersabda: "Siapa yang menghendaki atau suka".

Keterangan lain menegaskan pula: Dari Atha' ra.ia berkata: "Pernah Ibnu Zubair solat hari raya pada hari Jumaat pagi-pagi hari, kemudian kami pergi ke Jumaat, maka tidaklah ia (Ibnu Zubair) keluar ke tempat kami, maka sembahyanglah kami sendiri-sendiri. Ketika itu Ibnu Abbas sedang di Taif. Setelah ia kembali maka kami beritahu hal itu kepadanya, maka ia menjawab "itu menurut sunnah". (Riwayat Abu Daud) Namun Imam Syafei juga berpendapat sembahyang Jumaat tidak gugur wajibnya, walaupun berkumpul pada hari itu salah satu dari dua hari raya, sebab yang diizinkan hanya orang yang jauh tinggal di kampung, bukan orang yang tinggal di kota yang dekat ke masjid.

Usman bin Affan dalam khutbahnya berkata: "Hai manusia! Sesungguhnya ini adalah suatu hari yang sesungguhnya telah berkumpul bagimu padanya dua hari raya, maka siapa-siapa yang ingin menunggu sembahyang Jumaat dari orang-orang kampung, maka boleh ia menunggu. Maka siapa-siapa yang ingin pulang, maka sudah aku izinkan baginya" (Riwayat Bukhari) Berdasarkan sumber dari Usman inilah Imam Syafei mengatakan bahawa tidak gugur wajib Jumaat. (Untuk lebih jelas sila rujuk Fiqh Syafii terbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur). Dalam hadis yang lain, "Telah diriwayatkan kepada kami dari Ibrahim bin Muhammad, dari Ibrahim bin Utbah, dari Umar Abdil Aziz, ia berkata: Pernah bertemu dua hari raya dalam satu hari pada zaman Nabi SAW. Lalu baginda bersabda: "Barangsiapa dari penduduk bahagian atas kota Madinah suka untuk tinggal maka hendaklah ia tinggal tanpa ada keberatan."
Begitu juga dalam hadis yang lain, "Telah diriwayatkan oleh Malik bin Anas, dari Ibnu Syihab, dari Abu Ubaid, seorang bekas hamba Ibnu Azhar, ia berkata: Aku menghadiri solat Aidil Fitri dan Adha bersama Usman bin Affan kemudian ia datang, lalu ia berpaling, lalu berkhutbah, katanya: "Sesungguhnya pada hari raya kalian ini, bertemu dua hari raya untuk kalian. Barangsiapa di antara penduduk bahagian atas Madinah ingin menantikan solat Jumaat, maka silakan ia menantikannya, dan barangsiapa yang ingin kembali, maka hendaklah ia kembali, dan aku mengizinkannya."

Perlu kami jelaskan juga tentang hadis yang mengatakan bahawa hari Jumaat itu juga disebut dengan Hari Raya.
"Dari Abu Hurairah ra. bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda pada suatu hari Jumaat di antara beberapa hari Jumaat: "Hai sekalian kaum muslimin, sesungguhnya hari ini telah dijadikan Allah bagimu menjadi hari raya, sebab itu mandilah kamu, dan kamu biasakanlah bersugi (menggosok gigi)". (Riwayat Thabrani)

Kembali ke atas ↑


 

4. Meninggalkan Solat Jumaat kerana Kerja
Soalan:
Saya berkerja di salah sebuah anak syarikat Petronas di mana ia mengendalikan pemperosesan gas. Dan saya bekerja mengikut shif. Masalah saya ialah,tentang hari Jumaat. Apakah hukumya sekiranya saya berkerja pada hari itu,dan saya tidak dapat pergi sembahyang Jumaat. Keadaan ini berlaku mengikut purata 3 hari dalam masa dua bulan dan 3 hari itu bukannya minggu yang berturut-turut?

Zulkifli, Kuantan

Jawapan:
Dalam sebuah hadith yang sahih menjelaskan seseorang yang meninggalkan solat jumaat tiga kali berturut-turut dengan sengaja tanpa keuzuran syar'i maka ia terkeluar dari Islam. Dalam kes saudara yang bertanya di atas, walaupun saudara meninggalkan solat jumaat tidak tiga kali berturut-turut dalam masa sebulan, tetapi perbuatan saudara ini tetap dikira salah dan dikira meringan-ringankan hukum Allah, kerana solat jumaat itu hukumnya Fardhu Ain ke atas setiap individu muslim.

Kesukaran yang dihadapi oleh saudara itu bukanlah kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar'i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir. Saudara tidak boleh membiarkan keadaan ini berlalu begitu sahaja dan diri saudara pula bergelumang dengan dosa tidak melaksanakan solat Jumaat. Satu pendekatan yang halus perlu dicari bagi membolehkan saudara dapat bersama umat Islam yang lain menunaikan kewajipan solat Jumaat dengan  sempurna.

Saudara juga perlu mengambil sikap tegas dalam masalah ini, kerana ia melibatkan hukum Allah yang tidak boleh dipersia-siakan. Apalah gunanya kita dapat menggunakan rezeki tuhan tetapi perintah tuhan kita lalaikan. Dalam Islam kita disuruh mencari rezeki bagi memenuhi keperluan hidup yang diantara matlamatnya ialah ibadat. Janganlah kerana terlampau mengejar kebendaan kita sanggup mencuaikan hak Allah.

 DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat

Kembali ke atas ↑


 

5. Kewajipan Solat Jumaat kepada Banduan
Soalan:
Apakah wajib orang-orang banduan di dalam penjara menunaikan solat jumaat. Sedangkan kesempatan dan tempat telah tersedia. Bagaimana  pula pendapat Majlis Fatwa didalam hal ini?

Zamri, Kajang

Jawapan:
Solat jumaat hukumnya adalah fardu ain. Ia diwajibkan ke atas setiap orang islam yang sudah cukup syarat-syaratnya. Firman Allah dalam surah Al-Jumuah yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman jika kamu diseru untuk menunaikan solat Jumaat hendaklah kamu segera menunaikannya dan tinggalkanlah urusan jual beli". Ayat ini dengan jelas mewajibkan setiap umat Islam menunaikan solat jumaat.

Solat jumaat biasanya ditunaikan di Masjid Jamek atau surau yang diisytiharkan oleh pihak berkuasa boleh digunakan untuk solat Jumaat. Berhubung solat jumaat di dalam penjara. jika di dalamnya ada kemudahan untuk menunaikannya dan tidak memudaratkan urusan pengawalan para banduan, manakala pihak berkuasa agama pula membenarkan pelaksanaan solat tersebut di dalam penjara, maka hukumnya wajib dilaksanakan di dalam penjara tersebut. Orang yang meninggalkannya dianggap berdosa.

DN 052 Panduan Lengkap Fardhu AinDN 034 Bimbingan Lengkap Fardhu Ain

Kembali ke atas ↑


 

6. Solat Dalam Keadaan Lumpuh
Soalan:
Bagaimanakah caranya untuk seseorang itu bersolat sambil duduk jika ia mengalami lumpuh di bahagian bawah anggota badannnya?

Mohamed Ommar, Singapura

Jawapan:
Sebagaimana kita ketahui bahawa ibadah solat merupakan ibadah utama dalam Islam, ia merupakan salah satu rukun Islam dan juga merupakan tiang agama. Oleh sebab itu ibadah solat tidak boleh ditinggalkan oleh orang Islam walau dalam keadaan bagaimanapun. Walaupun begitu Islam memberikan rukhsah atau kelonggaran kepada pemeluknya dalam keadaan tertentu seperti dalam peperangan, musafir dan dalam keadaan sakit.

Mengenai solat dalam keadaan sakit dalam sebuah hadis ada dijelaskan. Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
Dari Ali bin Abi Thalib, daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda: "Orang yang sakit hendaklah mendirikan solat sambil berdiri  jika kuasa dia melakukannya. Jika tidak kuasa bolehlah dia solat sambil duduk, jika tidak berdaya untuk sujud, diisyaratkannya saja dengan kepalanya sehingga dia menjadi sujudnya lebih rendah daripada rukuknya. Jika dia tidak kuasa solat sambil duduk, bolehlah dia solat sambil berbaring di rusuk kanannya dan mengadap ke kiblat. Jika tidak kuasa untuk solat sambil berbaring di rusuk kanannya, bolehlah dia solat sambil menelentang dengan menghalakan kedua-dua kakinya ke kiblat".
Melalui hadis di atas jelaslah bahawa solat sambil duduk dapat dikerjakan menurut kemampuan fizikal kita, cuma bezakan antara sujud dan rukuk dengan melebihkan membungkuk pada ketika rukuk.

 DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat

Kembali ke atas ↑


 

7. Ibarat bagi orang yang Meninggalkan Solat
Soalan:
Apakah ibarat yang boleh disamakan dengan dosa orang yang meninggalkan solat fardhu beserta dengan rujukan (al-Quran/hadis). Adakah ibarat dosa itu berbeza-beza bagi setiap fardhu?

Amin, Kluang

Jawapan:
Sebenarnya tidak didapati keterangan yang sahih dalam hadis-hadis yang sahih berhubung ibarat-ibarat orang yang meninggalkan solat sebagaimana yang sering disebut oleh sesetengah kalangan orang. Umpamanya mereka mengatakan orang yang meninggalkan satu kali solat subuh maka dosanya seperti berzina dengan ibu sendiri.

Perkara ini tidak didapati penjelasannya di dalam hadis yang sahih. Yang disebutkan di dalam hadis-hadis yang sahih ialah antaranya orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, menjadi kafir dan orang yang sentiasa menjaga solatnya, maka ia akan beroleh nur, hujjah dan keselamatan pada hari Kiamat, sebaliknya bagi yang tidak menjaga solat, ia tidak memperolehi nur, hujjah dan keselamatan pada hari Kiamat, malah ia akan dikumpulkan bersama dengan Qarun, Hamman, Firaun dan Ubai bin Khalaf.

DN 105 Permata Idaman Mutiara Syurga 'Lelaki Soleh' (Kulit Nipis / Kulit Tebal)

Kembali ke atas ↑


 

8. Meninggalkan Solat Jumaat
Soalan:
Saya berkerja di salah sebuah bank di ibu kota. Kebanyakkan pekerja di pejabat saya ialah lelaki Islam. Oleh itu, pada hari Jumaat, selalunya antara kami akan diminta berkerja pada waktu solat Jumaat memandangkan kami kekurangan pekerja. Ianya akan dilakukan secara bergilir-gilir antara pekerja lelaki Islam. Soalannya, apakah hukumnya saya meninggalkan solat Jumaat pada hari itu dan apakah yang patut saya lakukan?

Burhan, KL

Jawapan:
Meninggalkan solat jumaat adalah haram walaupun kerana sibuk berkerja. Solat jumaat hukumnya adalah fardu ain yang mesti ditunaikan oleh seseorang. Orang yang dikecualikan dari menunaikan solat jumaat ialah hamba, orang yang bermusafir, orang perempuan dan kanak-kanak, tetapi tidak termasuk orang yang terkena giliran berkerja pada hari jumaat.

DN 034 Bimbingan Lengkap Fardhu Ain  
DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat

Kembali ke atas ↑


 

9. Solat Jumaat Kurang 40 Jemaah
Soalan:
Bolehkah mendirikan sembahyang Jumaat jika tidak cukup 40 orang. Apakah 40 orang itu syarat sah sembahyang Jumaat, jika ia memang menjadi syarat, adakah dalil yang jelas?

Nasir, Kedah

Jawapan:
Para ulamak telah bersepakat, solat Jumaat wajib didirikan secara berjemaah. Tetapi mereka berselisih pendapat tentang bilangan ahli jemaah yang membolehkan solat Jumaat dilakukan. Ibn Hajar telah menghimpunkan 15 pendapat ulamak tentang bilangan ahli jemaah untuk menunaikan solat Jumaat dalam kitabnya yang masyhur Fath Al-Bari.

Menurut pendapat dalam mazhab Asy-Syafii, solat Jumaat boleh didirikan jika bilangan jemaah seramai 40 orang yang bermukim dan kesemuanya lelaki yang layak menunaikan solat Jumaat, termasuklah imamnya. Namun begitu solat Jumaat tetap sah walaupun bilangan ahli jemaah kurang dari 40 menurut imam Abu Hanifah, imam Malik dan Imam Asy-Syawkani. Imam-imam ini mempunyai pendapat tersendiri tentang bilangan ahli jemaah yang melayakkan solat Jumaat ditunaikan.

Pada masa ini bilangan ahli jemaah yang membolehkan solat Jumaat bukanlah satu masalah memandangkan jumlah penduduk yang mengerjakannya ramai. Tetapi jika masih terjadi kekurangan di kawasan minoriti umat Islam, kita masih boleh mendirikannya dalam jumlah ahli jemaah yang tidak sampai 40 orang seperti yang telah dihuraikan oleh syeikh Sayyid Sabiq dalam bukunya Fiqh As-Sunnah, kerana menurut pandangan beliau tidak didapati satu hadis yang benar-benar jelas menentukan jumlah bilangan ahli jemaah solat Jumaat.

Walaupun begitu fuqahak Asy-Syafii menghukumkan solat Jumaat yang dilakukan oleh jemaah yang kurang dari 40 orang sebagai tidak sah, kerana berpegang dengan hadis yang menjelaskan solat Jumaat perlu mencukupi bilangan 40 orang. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi dari Jabir bin Abdillah. As’ad bin Zararah yang merupakan orang yang pertama mengumpulkan orang ramai untuk mendirikan solat Jumaat melakukannya dalam jemaah yang terdiri dari 40 orang yang bermukim.

Dalam sejarah hidup Rasulullah SAW sendiri menjelaskan baginda melaksanakan solat Jumaat dalam bilangan yang tidak kurang dari 40 orang sebagaimana yang dijelaskan oleh syeikh Taqiyyuddin Al-Husaini dari kalangan fuqahak Asy-Syafii. Ini bermakna jika bilangan 40 orang tidak wujud, maka hukumnya tidak boleh ditunaikan solat Jumaat sebaliknya ditunaikan solat Zohor sahaja.

 DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat

Kembali ke atas ↑


 

10. Kaedah Membaca Surah Al Fatihah
Soalan:
Al-Fatihah mengandungi tujuh ayat termasuk Bismillah. Al-Fatihah seeloknya dibaca secara waqaf ayat demi ayat. Persoalannya, bolehkah al-Fatihah dibaca dengan wasal terus menerus tujuh ayat dengan satu nafas? Bagaimanakah waqaf yang terbaik bagi mereka yang ingin membaca wasal terutama ketika wirid?

Wan, Bintangor

Jawapan:
Membaca al Fatihah adalah merupakan salah satu rukun daripada rukun solat. Al Fatihah ini wajib dibaca pada setiap rakaat solat yang kita lakukan, samada solat wajib mahupun solat sunat. Rasulullah SAW menjelaskan dalam sabdanya yang bermaksud: "Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca Al Fatihah". (HR Jemaah)

Adapun kaedah membaca surah Al Fatihah oleh Rasulullah SAW dalam solat baginda adalah seayat demi seayat, baginda tidak menyambungnya (mewasalnya) antara ayat yang satu dengan ayat seterusnya.

Dalam sebuah hadis ada juga dijelaskan tentang Saidina Ali yang membaca surah Al fatihah dengan hanya berhenti tiga kali, namun setelah itu Rasulullah SAW menegur beliau dengan mengatakan, kalau ingin menyambung (mewasalkan) bacaan Al fatihah memadailah dengan tiga kali berhenti tersebut, jangan lebih daripada itu. Dari sumber hadis ini seandainya kita ingin menyambungnya dalam membaca al fatihah janganlah melebihi seperti yang dilakukan oleh Saidina Ali, ertinya janganlah membaca Al Fatihah itui hanya sekali ataupun dua kali nafas.

 DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat

Kembali ke atas ↑


 

11. Mengamalkan yang Sunat Meninggalkan yang Wajib
Soalan:
Saya jarang melakukan solat wajib, tetapi saya selalu lakukan perkara yang sunat, seperti berselawat, membaca kitab al-Quran dan Yaasin, mendengar ceramah, membaca kitab agama dan selalu bertanya tentang masalah agama. Apakah hukumnya perbuatan saya itu?

Ina, Selangor

Jawapan:
Solat adalah tiang agama, jika orang tidak solat maka runtuhlah agamanya. Mengerjakan solat lima waktu adalah fardhu, apabila dikerjakan mendapat pahala daripada Allah dan apabila ditinggalkan maka berdosa besar dan sebahagian para ulama menggolongkan kafir bagi orang yang meninggalkan solat fardhu dengan sengaja.

Bagi orang yang tidak mengerjakan solat, maka segala amal kebajikannya tidak diterima oleh Allah SWT dan amalannya itu hanya sia-sia.

DN 220 Dosa-Dosa Besar
DN 009 Dosa yang Menutup Pintu Hati
DN 097 Amaran Mengabaikan Solat
DN 070 Roh Sembahyang
DN 261 170 Amalan Yang Ditolak
DN 260 170 Amalan Yang Diterima

Kembali ke atas ↑


 

12. Waktu-waktu Mengerjakan Solat Fardhu
Soalan:
Assalamulaikum ustaz. Betulkah ada hadis atau nas yang membolehkan kita sembahyang maghrib dan isyak sebaik saja waktu malam tiba contoh (bukan niat hendak jamak); waktu mahgrib, selepas itu kita sembahyang isyak padahal waktu isyak belum masuk. Saya musykil kerana seorang kawan saya mengamalkan mazhab syiah membolehkan hal ini berlaku?

Hamba Allah, WP

Jawapan:
Banyak hadith-hadith yang menerangkan waktu-waktu solat ini antaranya; "Dari Abdullah bin Umar, bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: 'Waktu Zuhur ialah bila matahari telah tergelincir sampai bayang-bayang seseorang itu sama panjang dengan badannya, yakni sebelum datang waktu Asar. Dan waktu Asar ialah sampai matahari belum lagi kuning cahayanya, waktu solat Maghrib selama syafak atau awan merah belum lagi lenyap; waktu solat Isyak sampai tengah malam kedua, sedang waktu solat Subuh mulai terbit fajar sampai terbitnya matahari. Jika matahari telah terbit, maka hentikanlah solat, kerana ia terbit di antara kedua tanduk syaitan' ". (Riwayat Muslim) Dalam hadith yang lain daripada Jabir bin Abdullah ra. bahawa "Nabi didatangi Jibril as. yang mengatakan kepada baginda: 'Bangun dan solatlah!' Maka Nabi pun solat Zuhur waktu tergelincir matahari. Kemudian Jibril as. datang pula di waktu Asar katanya: 'Bangun dan solatlah!' Nabi mengerjakan pula solat Asar yakni ketika bayang-bayang sesuatu telah sama panjang dengan badannya. Lalu ia datang di waktu Maghrib katanya: 'Bangun dan solatlah!' Nabi pun melakukan solat Maghrib sewaktu matahari telah terbenam atau jatuh. Setelah itu Jibril datang pula di waktu Isyak dan menyuruh : 'Bangun dan solatlah!' Nabi segera solat Isyak ketika syafak atau awan merah telah hilang. Akhirnya Jibril datang di waktu fajar ketika fajar telah bercahaya atau katanya ketika fajar telah terbit.

Kemudian keesokan harinya malaikat itu datang lagi di waktu Zuhur katanya: 'Bangun dan solatlah!' Maka Nabi pun solat yakni ketika bayang-bayang segala sesuatu sama panjang dengan sesuatu itu. Di waktu Asar Jibril datang pula katanya: 'Bangunlah dan solatlah!' Nabi pun solatlah di waktu bayang-bayang dua kali sepanjang badan. Lalu ia datang lagi di waktu Maghrib pada saat seperti kelmarin tanpa perubahan, setelah itu ia datang lagi pada waktu Isyak ketika berlalu seperdua malam atau katanya sepertiga malam dan Nabi pun melakukan solat Isyak. Kemudian ia datang pula ketika malam mulai terang katanya: 'Bangun dan solatlah!' Nabi pun mengerjakan solat fajar. 'Inilah' katanya lagi 'diantara waktu-waktu itu terdapat waktu-waktu solat'.". (HR. Ahmad Nasa'i dan Tarmizi) Bukhari berkata hadith ini merupakan yang paling sahih mengenai solat waktu, yakni dengan tuntunan dari Jibril as.

Dari dua hadis di atas menunjukkan tentang batas-batas waktu solat yang paling tepat dan shahih.  Inilah yang diamalkan oleh kaum ahli sunnah waljamaah yang mesti kita ikuti. Wallahu A'lam.

DN 034 Bimbingan Lengkap Fardhu Ain
DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat
 DN 114 Panduan Lengkap Ibadah Solat

Kembali ke atas ↑


 

13. Memperolehi Satu Rakaat Pada Waktunya
Soalan:
Apakah hukumnya jika saya telah terlewat untuk bersolat, dan setelah rakaat yang pertama maka azan untuk solat yang berikutnya kedengaran. Apakah solat saya dikira sah. Dan apakah hukumnya jika semasa sedang bersolat air mani saya telah keluar semula daripada kemaluan isteri saya. Untuk pengetahuan tuan kami telah bersama sebelum kami bersolat.Apakah sah solat isteri saya itu dan apakah perlu beliau mandi hadas semula?

Azmi, K Lumpur

Jawapan:
Barangsiapa memperolehi satu rakaat sebelum habis waktu bererti ia telah memperolehi solat keseluruhannya. Daripada abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya, 'Barangsiapa memperoleh satu rakaat dari satu solat bererti ia memperoleh keseluruhan solat itu".
(Riwayat Jemaah)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Bila salah seorang diantara kamu memperoleh satu sujud dari solat Asar sebelum matahari terbenam, hendaklah ia menyelesaikan solatnya dan jika ia memperoleh satu sujud dari solat Subuh sebelum matahari terbit, hendaklah ia menyempurnakan pula solatnya". (Riwayat Bukhari)     Kemudian mengenai sisa air mani suami yang terkeluar dari faraj isteri kerana baru melakukan jimak, jika isteri sudah mengerjakan mandi wajib dengan sempurna maka hukumnya tidak berdosa dan solat tetap sah, sebab air mani bukan benda najis.

Kembali ke atas ↑


 

14. Tidak Mendengar Khutbah Jumaat
Soalan:
Setiap hari jumaat semua muslim menunaikan solat Jumaat, sah tak solat jumaat saya sekiranya saya tidak mendengar kutbah jumaat?

Muhd Fisal, Hulu Langat

Jawapan:
Jika kita terlambat sampai ke masjid disebabkan oleh halangan tertentu yang tidak disengaja akhirnya tidak sempat mendengar khutbah Jumaat dan kita sempat mengerjakan solat Jumaat, maka sah Jumaat anda.Namun jika tidak mendengar khutbah Jumaat tersebut kerana sengaja maka hukumnya berdosa sebab dua Khutbah Jumaat termasuk dalam syarat sah Jumaat.

Kembali ke atas ↑


 

15. Azan Berkumandang Ketika sedang Solat
Soalan:
Biasanya saya sembahyang berpandukan kepada waktu sembahyang yang selalu di siarkan di akhbar. Misalnya waktu Maghrib yg disiarkan adalah 7.22 malam, dan saya akan bersembahyang pada jam 7.24.
Tetapi biasanya apabila saya habis solat atau sedang solat, akan kedengaran azan daripada masjid yang berdekatan rumah saya. Biasanya azan daripada masjid tersebut lewat sekitar antara 7 hingga 10 minit daripada waktu di akhbar. Apakah hukum solat saya itu tadi?

Nur Abd Hamid, Johor Bahru

Jawapan:
Jika seseorang mengerjakan solat setelah masuk waktu solat dan ketika itu berkumandang azan di masjid di kawasannya, maka sah solatnya.

Kembali ke atas ↑


 

16. Enggan Berimamkan Imam Masjidil Haram
Soalan:
Ada orang mengatakan bahawa tidak harus mengikut iman Masjidul Haram kerana mereka mengikut fahaman wahabi?

Jaffar, Singapura

Jawapan:
Masjidil Haram yang didalamnya ada Baitullah atau Rumah Allah, tentu secara logika dan secara keyakinan, rumah Allah tersebut akan dijaga oleh Allah kesuciannya setelah diutus Nabi Muhammad sebagai Rasul. Walaupun imam Masjid tersebut dipilih oleh pemerintahan Arab Saudi, namun yang menggerakkan hati mereka untuk memilih imam tersebut adalah Allah. Jadi Allah akan memilih umat yang terbaik untuk menjadi imam (pemimpin) di dalam RumahNya. Janganlah mudah terpengaruh dengan pendapat yang mengatakan bahawa imam Masjidil Haram mengikut fahaman wahabi yang kita tidak boleh mengikutinya. Tetapi yakinlah bahawa solat berjemaah di masjidil Haram memperoleh keberkahan yang paling besar yang tidak sama dengan masjid-masjid yang ada di permukaan bumi ini.

Jika akidah dan iman, imam masjidil Haram itu tidak bertentangan dengan Al Quran dan hadith maka kita hendaklah berimam dengannya ketika solat berjemaah di Masjidil Haram. Setahu kita mereka masih bersyahadah sebagaimana umat Islam lain bersyahadah, dan masih membaca al Quran yang sama. WAHABI (dihubungkan dengan nama Muhammad bin Abdul Wahab) tidak bertentangan dengan ajaran Ahlusunnah Wal jamaah bahkan dengan tegas perjuangannya ingin memurnikan ajaran Islam yang mulai dicampur adukkan unsur khurafat dan bid'ah oleh sebahagian umat Islam yang condong kepada dunia pada zaman itu. Didalam mengamalkan syariat Islam, beliau condong dan mengikut mazhab Hanbali dan beliau bukannya menubuhkan satu mazhad baru. Beliau tidak lebih daripada seorang tokoh pembaharuan dunia Islam. Jadi hindarkanlah dari mencerca dan mencaci para pemimpin atau ulama masa silam, yang telah bersusah payah menegakkan kebenaran. Jangan lantaran pendapat mereka tidak sama dengan pendapat kita akhirnya kita menuduhnya dengan yang bukan-bukan, akhirnya umat Islam menjadi berpecah belah.

Selagi imam yang kita ikuti itu tidak musyrik dan masih bersyahadah dengan syahdah yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW serta tidak menentang syariat dan hukum Allah, maka ikutilah mereka dan amalan kita insya Allah diterima disisi Allah AWJ. Singkirkanlah anggapan yang keliru lagi mengelirukan itu, agar umat Islam bersatu hati dalam menjalankan ibadah dan menegakkan kebenaran. Kajilah dulu setiap sesuatu masalah itu sebelum kita lebih jauh dan terlanjur menuduh ulama masa silam menjalankan sesuatu yang sesat, padahal mereka sebenarnya sebagai penegak kebenaran. Atau sebaliknya jangan mudah tepengaruh dengan fahaman mereka yang kononnya menegakkan kebenaran padahal hanya tipu daya dan demi kepentingan peribadi semata.

Kembali ke atas ↑

Popular

Wadah Harian

Sesungguhnya Allah S.W.T. menjadikan dunia itu tiga bahagian; sebahagian bagi orang mukmin, sebahagian bagi orang munafik dan sebahagian bagi orang kafir. Maka orang mukmin menyiapkan perbekalan. Orang munafik, mengambilnya menjadi hiasan, dan orang kafir pula mengambilnya untuk bersenang-senang.

* Petikan: Imam Ghazali DN 082 1001 Mutiara Hikmah & Kata Nasihat

 
Anda Di Sini Soal Jawab Solat Solat Fardhu