Buku Agama Islam Terbitan

Penyalur Inspirasi Ummah

Solat
Solat Berjemaah

Soalan-soalan:

  1. Imam Terlupa Tahiyat Awal
  2. Bacaan Al-Fatihah Makmum dalam Solat Berjemaah
  3. Membaca Jahar (kuat) dan Sir (perlahan) dalam Solat 
  4. Dua Imam Satu Surau
  5. Kanak-Kanak dalam Saf
  6. Kedudukan Dalam Jemaah
  7. Hukum Solat Sunat Berjamaah
  8. Solat Fardhu Berimamkan Orang Solat Qasar
  9. Solat Sunat Berimamkan Solat Fardhu
  10. Berimamkan Pengawal Keselamatan Bank Riba
  11. Bismillah Sebelum Al-Fatihah
  12. Imam yang Menolak Ayat Al-Quran
  13. Makmum Terbatal Wuduk
  14. Solat Berjemaah di Mukim Sendiri
  15. Cara Solat Masbuk
  16. Mengaminkan Bacaan Fatihah
  17. Adab Bacaan Makmum
  18. Cara Solat Jenazah
  19. Imam Terlebih Rakaat
  20. Jadi Imam Bagi Makmum Belum Baligh

 


 

1. Imam Terlupa Tahiyat Awal
Soalan:
Assalamualaikum..
Apakah hukumnya jika seorang Imam itu yang sepatutnya duduk tahiyat awal tetapi dia terus bangun kerana terlupa? Apabila dia sudah tegak berdiri dia teringat dan terus duduk untuk tahiyat awal. Adakah batal sembahyang Imam tersebut?

Azrin, JB

Jawapan:
Jika imam terlupa duduk tahiyat awal dan dia terus berdiri. Seandainya berdirinya tersebut belum sempurna dan dia duduk kembali, maka dibolehkan berbuat demikian. Namun jika berdirinya telah sempurna maka imam perlu meneruskan solatnya hingga akhir dan boleh menggantikannya dengan sujud sahwi.

Kembali ke atas ↑


 

2. Bacaan Al-Fatihah Makmum dalam Solat Berjemaah
Soalan:
Kalau kita menjadi makmum sembahyang fardu, adakah kita perlu membaca Al-Fatihah semasa imam membaca surah. Dan kalau perlu, adakah sah sembahyang kita apabila kita tidak sempat habis membaca Al-Fatihah kerana imam membaca surah pendek. Kes ini adalah bukan kes makmum masbuk atau muafik?

Jaafar, KL

 Jawapan:
Mengikut pendapat jumhur ulamak termasuklah imam Asy-Syafi'i sendiri, membaca Al-Fatihah di dalam solat bagi makmum adalah satu rukun daripada rukun-rukun solat. Ini bermakna tidak sah solat makmum itu jika ia berkesempatan membaca Al-Fatihah tetapi ditinggalkannya dengan sengaja.

Dalam sebuah hadis yang sahih Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada solat (tidak sah) bagi sesiapa yang tidak membaca Surah Al-Fatihah". Ini berbeza dengan pendapat imam Abu Hanifah yang tidak mewajibkan makmum membaca surah Al-fatihah. jika anda membaca agak lambat dan imam pula agak pantas sehingga anda tidak sempat menghabiskan surah Al-Fatihah. Dalam hal ini sekiranya imam telah rukuk anda merasakan anda boleh menghabiskan surah Al-Fatihah sebelum imam sujud, maka hendaklah anda menghabiskanya.

Jika anda rasa tidak sempat berbuat demikian, maka anda hendaklah rukuk bersama imam kerana bacaan imam akan dikira sebagai bacaan makmum seperti juga kedudukannya orang yang masbuk. Ini kerana dalam sebuah hadis yang sahih menjelaskan Rasulullah SAW pernah menjelaskan: imam itu dilantik untuk diikuti oleh makmum sekiranya ia rukuk maka hendaklah anda semua rukuk dan sekiranya ia sujud maka hendaklah anda semua sujud. Bagaimanapun bagi sesetengah ulamak Syafi'i seperti imam Nawawi orang terlibat luput rakaat pertama dan ia dikehendaki menambah rakaat yang luput itu diakhir solatnya.

 DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat
DN 114 Panduan Lengkap Ibadah Solat

Kembali ke atas ↑


 

3. Membaca Jahar (kuat) dan Sir (perlahan) dalam Solat
Soalan:
Mengapakah dalam solat berjamaah hanya waktu zohor dan asar sahaja makmum kena membaca surah sendiri, sedangkan tiga waktu yang lain itu makmum hanya membaca fatihah saja?

RBJ , Temerloh

Jawapan:
Nabi pernah membolehkan para makmum membaca dalam solat bila imam mengeraskan bacaan. Ketika itu solat Subuh, bacaan sahabat mengganggu baginda. Selesai solat baginda bersabda: "Mungkin kamu membaca di belakang imam? Kami menjawab: "Betul, dengan bacaan yang cepat ya Rasulullah". Baginda bersabda: "Jangan kamu lakukan itu kecuali membaca al Fatihah, kerana solat tidak sah tanpa membacanya". (HR. Bukhari)

Kemudian baginda melarang semua bacaan pada solat jahar (bacaan kuat) iaitu setelah baginda mengerjakan solat jahar (Solat Subuh). Baginda bersabda: "Adakah di antara kamu tadi yang membaca bersama denganku ?".
Salah seorang sahabat menjawab: "Benar ya Rasulullah". Nabi bersabda: "Sekarang aku katakan, janganlah kamu menyaingiku".

Menurut Abu Hurairah semenjak mendengar itu mereka berhenti membaca bila Rasulullah mengeraskan bacaannya dalam solat. Mereka membaca berbisik bila imam mengeraskan bacaannya. Memusatkan perhatian terhadap bacaan imam oleh Rasulullah SAW dinyatakan sebagai suatu kesempurnaan mengikut imam. Rasulullah SAW bersabda: "Imam hanya untuk diikut, apabila ia takbir, takbirlah, apabila ia membaca perhatikanlah". (HR Abu Daud dan Muslim)

Mendengar bacaan imam, juga sudah cukup menjadi bacaan orang yang di belakang. Baginda bersabda: "Siapa yang mengikut imam, bacaan imam adalah bacaannya" (Riwayat Daruquthni dan Ibnu Majah). Ini dalam solat jahar (bacaan kuat) saja.

Untuk lebih jelas lagi kami ungkapkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Abu Daud. "Rasulullah SAW membaca ayat dengan suara jelas (jahar) dalam solat Subuh dan pada dua rakaat pertama pada solat Maghrib dan Isyak. Baginda bacanya dengan berbisik pada solat Zohor, Asar dan pada rakaat ketiga solat Maghrib serta dua rakaat terakhir pada solat Isyak. Para makmum mengetahui bahawa baginda membaca sir (perlahan) dari gerakan janggut baginda, dan kadang-kadang dari bacaan ayat yang baginda bacakan kepada mereka".
(Sila rujuk "Contoh Solat Nabi": Karya Muhammad Nasyiruddin Albani)

Kembali ke atas ↑


 

4. Dua Imam Satu Surau
Soalan:
Apakah hukumnya sembahyang dua imam (dua kumpulan makmum) dalam satu surau yang hanya dipisahkan oleh dinding, seandainya sembahyang tersebut ialah sembahyang fardhu yang dilakukan serentak?

Azman, Kuala Lumpur

Jawapan:
Mengerjakan solat dengan dua imam dalam satu surau dalam masa yang sama hukumnya tidak boleh. Dalam masalah ini kami kemukakan tentang imam tetap dalam satu masjid. Jika satu jamaah hadir disuatu masjid yang mempunyai imam tetap tetapi pada masa itu ia tidak hadir, maka diperintahkan kepada mereka menghantarkan utusan menjemput ia hadir. Tetapi jika bimbang luput waktu solat, maka dibolehkan seorang yang lain tampil menjadi imam. Kata Imam Nawawi, jika dibimbangkan timbul fitnah hendaklah mereka solat bersendirian dan diistihbabkan kepada mereka mengulangi solat bersama imam itu jika ia hadir. Jadi jelaslah jika tidak hadir saja imam tetap disuruh solat sendirian jika khuatir menimbulkan fitnah apakah lagi dengan sengaja membuat jemaah sendiri di belakang atau di sebelah imam yang sedang solat.

Seandainya kita orang yang datang kemudian, sedangkan di dalam surau atau masjid tersebut ada dua imam yang sedang berjemaah, maka dalam hal ini ada beberapa pendapat. Jika makmum dapati dua orang imam masing-masing sedang solat dengan jemaahnya, maka ikutilah imam yang tetap. Namun jika keduanya tidak termasuk imam yang tetap dan masing-masing sebaya dan memiliki ciri-ciri imam yang dikehendaki, cuma perbezaannya yang satu cepat bacaannya sedangkan yang satu lagi lambat. Menurut Al Faurani dalam kitab Al Ibanah "Hendaklah dilihat kepada makmum itu sendiri. Jika ia seorang yang lambat membaca maka hendaklah ia mengikut imam yang lambat membaca. Sebaliknya jika ia cepat membaca maka hendaklah ia mengikuti imam yang cepat membaca".

Imam Al Tarmizi telah menjelaskan dalam Al Sunah iaitu diistihbabkan kepada imam bertasbih enam kali dalam rukuk dan sujud supaya makmum di belakangnya sempat bertasbih tiga kali". Kemudian menurut Imam Syafi'e dalam kitab Al-Umm "Pada hemah saya eloklah setiap masa bagi imam menambahkan tasyahud, tasbih dan bacaan surah sekadar yang dilihatnya boleh memberi kesempatan kepada makmum yang berat lidahnya menyempurnakan bacaannya yang perlu dibaca olehnya."

Kembali ke atas ↑


 

5. Kanak-Kanak dalam Saf
Soalan:
Saya nak tahu tentang hukum kanak-kanak yang belum baligh sembahyang bersama dengan kita. Apa hukumnya, tolong jelaskan?

Norfazly, Kemaman

Jawapan:
Jika kita solat berjamaah sedangkan didalam saf tersebut terdapat kanak-kanak, maka solat kita tetap sah bahkan pahala berjamaah tetap tidak terjejas, cuma hanya berkurang dalam pahala saf. Jadi perkara yang tidak baik jika kita melarang kanak-kanak ikut bersama-sama orang tua berjamaah di masjid. Bahkan setengah masjid di tempat kita sengaja membuat pengumuman melarang kanak-kanak umur lima tahun masuk ke dalam masjid. Sebetul cara ini secara tidak langsung kita telah mematikan minat anak untuk datang dan mencintai masjid. Padahal Rasulullah SAW pernah membawa cucu baginda ke dalam masjid ketika baginda menjadi imam. Ketika itu Hassan dan Hussein memanjat bahu baginda sehingga baginda melamakan sujudnya. Ini membuktikan bahawa Rasulullah begitu peka terhadap perkembangan agama kanak-kanak.

Barangkali masyarakat kita perlu merubah minda yang keliru dalam mendidik anak-anak mencintai masjid dan melatih mereka dalam solat. Jangan terlalu memperhatikan pahala saf sehingga minat anak-anak dikubur atau diabaikan. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


 

6. Kedudukan Dalam Jemaah
Soalan:
Bagaimanakah kedudukan/jarak imam dan makmum dalam sembahyang berjemaah:
i) suami/isteri
ii) sesama perempuan

Zainal, KL

Jawapan:
Jarak antara imam dengan makmum dalam solat berjemaah adalah sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat kita sekarang. Itulah yang terbaiknya. Ulamak syafii menjelaskan jika imam berada di atas menara masjid manakala makmum pula berada dalam masjid solat tetap sah kerana keduanya masih berada dalam bangunan yang sama. Jika imam berada di dalam masjid, manakala makmum berada di luar masjid maka jarang antara imam dengan makmum jangan melebihi dari 300 hasta.

Jika makmum menunaikan solatnya lebih dari jarak ini, maka hukum solatnya tidak sah. Jika imam menunaikan solat jamaah dengan hanya seorang makmum, maka makmum hendaklah berdiri disebelah kanan imam kebelakang sedikit. iaitu jarak antara tumit imam dengan hujung jari kaki makmum ialah sekadar satu jengkal sahaja. Demikian yang disebut di dalam kitab syarah Muhadhdhab oleh imam An-Nawawi.
i) Suami/isteri
Apabila suami menjadi imam manakala isterinya menjadi makmum, maka jarak antara imam dengan makmum dalam kes ini adalah seperti yang biasa kita lihat sekarang, cuma isteri hendaklah berdiri di sebelah kiri suaminya. Itu sahaja.

ii) Sesama perempuan
Jarak imam dengan makmum dalam solat jamaah yang diimami oleh orang perempuan. sesetengahnya berpendapat imam perempuan berada dihadapan sedikit dari makmum, tetapi yang afdalnya menurut imam An-Nawawi di dalam Syarah Muhaddhabnya, imam perempuan hendaklah berdiri di tengah-tengah saf yang pertama, kemudian jarak antara saf demi saf adalah sebagaimana yang biasa kita lihat sekarang.

DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat

Kembali ke atas ↑


 

7. Hukum Solat Sunat Berjamaah
Soalan:
Adakah benar kenyataan yang di buat oleh sesetengah ahli agama yang menyatakan 'tidak ada solat sunat yang dilakukan secara berjemaah'. Jika benar, bagaimana pula dengan solat terawih yang dilakukan secara berjemaah? Adakah istilah masbu'/muafiq untuk solat sunat terawih jika dilakukan secara berjemaah?

Nurmaya, Illinois USA

Jawapan:
Solat sunat ini banyak bahagiannya, diantara solat sunat Rawatib yang dikerjakan secara sendirian ketika sebelum dan sesudah solat sunat Fardhu, solat Tahajjud, solat Dhuha dan lain-lain. Begitu juga solat sunat ada dikerjakan secara berjamaah seperti solat sunat gerhana matahari dan gerhana bulan, solat sunat 'Aidil Fitri dan Aidil 'Adha, solat sunat Tarawih dan sebagainya.

Mengenai solat Tarawih, sebagaimana yang diamalkan sendiri oleh Rasulullah SAW solat sunat Tarawih boleh dikerjakan dengan sendirian ataupun secara berjamaah di masjid ataupun surau. Telah sepakat pendapat ulama bahawa adalah lebih afdhal solat sunat Tarawih itu dikerjakan dengan berjamaah.

Rasulullah SAW pada mulanya mendirikan solat sunat Tarawih di Masjid Nabawi dengan berjamaah. Pada malam yang keduanya, baginda dapati sambutan begitu ramai daripada para sahabat, sehingga baginda merasa bimbang kalau umat Islam kelak menganggap solat Tarawih itu sebagai wajib. Ternyata benar pada malam ketiganya menjadi bertambah ramai para sahabat yang berhimpun di Masjid Nabawi untuk mengerjakan solat sunat Tarawih berjemaah bersama Rasulullah SAW. Tetapi Rasulullah tidak mahu hadir kerana bimbang umat Islam akan menganggap ibadah itu sebagai wajib, bukan kerana tidak mahu berjamaah.

Kemudian pada zaman Sayidina Umar Al Khattab, beliau menghimpun para sahabat yang solat berkelompok- kelompok dalam masjid menjadi satu jemaah. Namun perubahan yang dilakukan oleh Sayidina Umar ini tidaklah menimbulkan anggapan bahawa solat Tarawih ini menjadi wajib.

Begitu juga halnya jika kita terlambat datang untuk Tarawih sedangkan imam telah mengerjakan satu rakaat maka bolehlah kita masuk masbuq, jika kita ingin mengikutinya, dan boleh pula kita menunggu pada rakaat berikutnya. Kerana jumlah rakaat Terawih itu tidak terikat pada jumlah-jumlah tertentu dan boleh kita mengerjakannya menurut kemampuan kita. Wallahu 'Alam.

DN 088 Pedoman Solat-Solat Sunat menurut Sunnah Rasul

Kembali ke atas ↑


 

8. Solat Fardhu Berimamkan Orang Solat Qasar
Soalan:
Sebelum mendirikan solat jamak dan qasar, ada seorang hamba Allah yang ingin mengerjakan solat berjemaah dengan saya;
Adakah solat sempurnanya sah (4 rakaat), dengan berimamkan saya (Solat 2 rakaat)?
Saya sedang mengerjakan solat Maghrib (mengikut Imam yang solat Tamam). Bolehkah saya melakukan solat jamak takdim (Isyak) apabila selesai mengerjakan solat maghrib tersebut?
Dan bolehkah saya berniat ingin menjamakkan solat jamak takdim ketika sebelum memberi salam. (terlupa untuk menjamakkan solat ketika berniat pada takbiratul ihram)?

Halim, Kota Tinggi

Jawapan:
Sah hukumnya mengerjakan solat jamaah dengan dengan imam yang mengerjakan solat qasar. Tetapi setelah imam memberi salam anda hendaklah meyambung rakat solat yang masih berbaki. Jika anda mengerjakan solat maghrib secara berjemaah dengan imam, anda dikehendaki mengikut segala perbuatan imam, kerana berdasarkan keterangan dari sebuah hadis yang sahih sesungguhnya imam itu dilantik untuk dikuti oleh makmum.

Setelah selesai mengerjakan solat maghrib bersama dengan imam, anda hendaklah mengerjakan pula solat isyak secara qasar sebanyak 2 rakaat dengan terlebih dahulu melakukan iqamat secara perlahan dan tidak mengganggu para jamaah lain. Bagaimanapun janganlah anda menunaikan solat isyak itu ditempat anda solat maghrib tadi sebaliknya berundur sedikit kebelakang dan setelah iqamat tunaikanlah solat isyak secara qasar 2 rakat.

Adalah sah meniatkan solat jamak taqdim sebelum memberi salam pada solat yang pertama, namun adalah lebih afdal kiranya ia berniat pada ketika takbiratulihram.

 DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat
DN 084 Panduan Musafir (Solat Jama' & Qasar)

Kembali ke atas ↑


 

9. Solat Sunat Berimamkan Solat Fardhu
Soalan:
Soalan saya ialah, sedang saya sembahyang didatangi oleh seorang menepuk bahu saya, dengan tujuan untuk berimamkan saya untuk sembahyang zuhur, apakah saya perlu beritahu beliau yang saya sembahyang sunat bukannya sembahyang zuhur, atau sembahyang beliau tadi sah atau sebaliknya?

Rusli, KL

Jawapan:
Para ulamak menjelaskan sah seorang yang menunaikan solat fardu solat berimamkan orang yang menunaikan solat sunat. Kerana itu tidak  perlu imam yang terlibat membuat sesuatu isyarat supaya ia tidak dijadikan imam oleh orang yang ingin menunaikan solat fardhu itu, kerana ia sedang bersolat sunat. Lihat Fiqh Sunnah oleh Sayyid Sabiq.

Kembali ke atas ↑


 

10. Berimamkan Pengawal Keselamatan Bank Riba
Soalan:
Saya ada terlihat seorang yang biasa menjadi imam sembahyang berjamaah di surau menjadi pengawal keselamatan di salah sebuah bank yang ada mengamalkan sistem riba. Apakah hukumnya makmum yang ikut dibelakangnya sedang ia berkerja dengan bank riba. Saya teringat akan hadith Rasulullah SAW bahawa sesiapa yang terbabit di dalamnya akan memdapat dosa. Diharap dapat tuan memberi penjelasan supaya tidak ada keraguan.

MY, Dungun

Jawapan:
Umumnya adalah sah berimamkan orang yang melakukan maksiat dan imam yang fasik sebagaimana menurut iktikad ahli sunnah Wal-Jamaah. Ini kerana ada beberapa tokoh ulama menunaikan solat di belakang Hajjaj bin Yusuf Ath-Thaqafi di zamannya yang banyak membunuh orang dalam sejarahnya. Ini menunjukkan perkara ini adalah dibolehkan dan solat adalah sah.

Yang pentingnya ialah seseorang itu menunaikan solat mencukupi syarat-syarat dan rukun-rukunnya. Inilah pendapat yang dipegang oleh jumhur ulama termasuklah mufti negara Arab Saudi dalam fatwa semasa beliau. Walaubagaimanapun jika ada imam yang tidak fasik dan bukan pula ahli maksiat, adalah lebih berimamkan imam ini.

DN 187 Solat - Persoalan & Penjelasan
DN 176 Menjawab Kemusykilan Ibadah Solat (Edisi Rumi)

Kembali ke atas ↑


 

11. Bismillah Sebelum Al-Fatihah
Soalan:
Pertama sekali saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pihak tuan kerana menyediakan ruangan ini. Dan disini saya ingin megemukakan satu kemusykilan. Seperti yang diketahui dalam solat jemaah lima waktu terdapat tiga waktu yang disunatkan bagi imam membaca dengan suara yang lantang iaitu maghrib, isyak dan subuh.

Kemusykilan saya ialah bagaimanakah hukumnya sembahyang itu, misalnya maghrib apabila imam membaca al-Fatihah tetapi hanya mula membaca dengan lantang dengan ayat yang kedua dari al-Fatihah maksudnya dia hanya membaca dengan lantang bermula dengan ayat Alhamdulillahirabbila'lamin. Saya harap agar ustaz dapat memberi penjelasannya.

Muslim, K Kangsar

Jawapan:
Para ulama berselisih pendapat tentang membaca Bismillah sebelum membaca al-Fatihah. Adakah ia dianggap sebahagian dari surah al-Fatihah itu sendiri atau tidak. Bagi imam Asy-Syafii, Bismillah adalah sebahagian dari surah al-fatihah, kerana itu ia hendaklah dibaca bersama al-Fatihah. Jika solat itu solat yang nyaring ia dibaca nyaring oleh imam. Jika solat itu solat yang sembunyi (tidak nyaring), ia hendaklah dibaca secara sembunyi oleh imam.

Ini bermakna berdasarkan pendapat imam Asy-Syafii  membaca bismillah ketika membaca surah al-Fatihah adalah sunat. Sesetengah ulama berpendapat bismillah bukanlah sebahagian dari al-Fatihah dan mereka berselisih pula tentang asal ayat bismillah ini. Walau bagaimanapun jika anda berimamkan imam yang bermazhab Hanafi yang tidak membaca Bismillah sebelum membaca al-Fatihah solat anda tetap sah, kerana mereka yang berpegang dengan mazhab Hanafi sebenarnya membaca Bismillah tetapi secara senyap tidak terang.

Tambahan pula seluruh ulamak berpendapat membaca Bismilah sebelum membaca al-Fatihah adalah sunat cuma teknik pelaksanaannya sahaja yang mereka perselisihkan iaitu samada dengan terang atau tidak terang.

DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat
DN 052 Panduan Lengkap Fardhu Ain

Kembali ke atas ↑


 

12. Imam yang Menolak Ayat Al-Quran
Soalan:
Bolehkah seseorang itu sembahyang dibelakang orang yang menolak ayat Al-Quran contohnya hukum hudud dan sebagainya?

Nasir, Kulim

Jawapan:
Berhubung hukum orang yang menolak ayat-ayat Al-Quran seperti ayat-ayat yang menyentuh tentang hukum Hudud dan sebagainya haruslah dibuat penelitian terlebih dahulu. Andainya ia menolak dalam erti kata ingkar akan ayat tersebut, tidak beriman dan mempermainkan ayat Allah secara jelas dan terang, orang ini diminta bertaubat dengan segera, kerana dengan perlakuannya itu ia telah menjadi seorang yang murtad, terkeluar dari Islam. Ia dikehendaki mengucapkan dua kalimah syahadah semula.

Jika ia mempercayai ayat-ayat tersebut, tetapi tidak dilaksanakan tuntutannya, maka ia dikira sebagai berdosa besar. Kedudukannya tak ubah seperti orang yang mempercayai kewajipan solat, tetapi ia sendiri tidak melaksanakan solat itu, maka ia dihukumkan telah melakukan dosa besar kepada Allah SWT. Seorang mukmin yang sejati akan menjauhkan diri dari melakukan dosa besar ini, apa lagi untuk melakukan suatu perbuatan yang menyebabkan ia menjadi murtad.

Bagi setiap mukmin yang sejati setiap ayat Allah yang memerintah supaya dilaksanakan hukum-hukumnya maka ayat itu hendaklah dilaksanakan tanpa banyak soal. Ulasan tentang perkara yang menyebabkan murtad ini telah dijelaskan secara terperinci di dalam kitab Tanwir Al-Qulub karangan Imam Najmudin Al-Kurdi, Al-Iman, Arkanuhu, Wa Nawaqiduhu oleh Muhammad Nuaim Yasin dan lain-lain. Sila rujuk kepada huraian mereka yang dinyata ini. Sila rujuk juga kitab Mastika hadis jilid yang pertama keluaran Pusat Islam Malaysia.

DN 187 Solat - Persoalan & Penjelasan

Kembali ke atas ↑


 

13. Makmum Terbatal Wuduk
Soalan:
Di waktu bersembahyang berjemaah dengan hanya seorang makmum. Jika makmum tersebut terbatal wuduknya, apa yang perlu dilakukan oleh imam tersebut?

Ajau, Subang

Jawapan:
Jika seseorang melakukan solat jemaah yang terdiri seorang imam dan seorang makmum dalam masa yang sama makmum terbatal solatnya, maka makmum hendaklah keluar dari solat tersebut dan segera berwuduk kembali. Jika makmum sempat untuk solat berjemaah dengan masbuk maka itu lebih baik, jika tidak sempat kerana imam telah membaca salam, maka solatlah sendirian. Sedangkan kedudukan imam ketika makmum terbatal wuduknya hendaklah meneruskan solatnya.

Kembali ke atas ↑


 

14. Solat Berjemaah di Mukim Sendiri
Soalan:
Saya menetap di Seksyen 4, Shah Alam, Selangor. Saya selalu sembahyang berjemaah di Masjid Negeri Shah Alam kerana ia merupakan tempat yg terbaik untuk sembahyang berjemaah bagi saya. Masalah saya ialah bolehkah dan apakah hukumnya jikalau saya sembahyang berjemaah di Masjid Negeri sedangkan di Seksyen 4 pun mempunyai surau untuk  berjemaah dan tempat itu dekat dengan kediaman saya?

Jefri, Shah Alam

Jawapan:
Solat berjemaah di mukim sendiri itu lebih afdhal dalam mengimarahkan surau atau tempat solat dimana kita tinggal. Namun jika kita merasakan berjemaah di surau tersebut hati kita tidak tenang disebabkan imamnya zalim, tidak amanah dan sebagainya, ataupun bacaannya tidak fasih sehingga merosakkan kosentrasi kita dalam berjemaah, maka dibolehkan untuk mencari tempat berjemaah yang lebih baik.

Kembali ke atas ↑


 

15. Cara Solat Masbuk
Soalan:
Dalam berjamaah saf depan telah penuh,datang seorang hamba berjamaah bersama, sedangkan dia berseorangan di belakang. Apakah hukumnya menurut Islam?

Hassan, Kuching

Jawapan:
Jika seseorang terlambat mengikuti solat berjamaah sehingga menyebabkan ia melakukan masbuk, maka jika ia yakin bahawa saf yang mana dia berada itu akan didatangi orang lain, tidak perlulah ia mengganggu saf yang di depan dengan memberitahu salah seorang dalam saf tersebut supaya berundur ke belakang. Namun jika ia yakin bahawa tidak ada jemaah lagi yang akan datang maka bolehlah ia memberitahu kepada salah seorang yang berada paling sudut supaya berundur ke belakang dengan cara mencuit bahunya dalam solat.

Jika ia khuatir akan terjadinya fitnah kerana tidak semua jemaah mengerti tentang kaedah ini seperti timbul salah faham dan sebagainya, maka solatlah sendiri di belakang dengan mengikut iman, dengan harapan ada makmum yang datang kemudian mengisi saf tersebut.

Kembali ke atas ↑


 

16. Meng 'Amin' kan Bacaan al-Fatihah
Soalan:
Assalamulaikum wrt;
Jelaskan cara meng 'Amin' kan bacaan al-Fatihah di dalam sembahyang berjemaah mengikut sunnah?

Abu Ahmad Amin, Subang Jaya

Jawapan:
Selepas membaca Al Fatihah, kita disunatkan membaca amin yang bermakna "Perkenankanlah ya Allah...". Apabila kita solat berjemaah, maka makmum tidak boleh mendahului bacaan amin imam. Dalam hal ini Abu Hurairah meriwayatkan sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Dawud dan Daruquthni dengan sanad yang shahih sebagai berikut: "Adalah Rasulullah SAW apabila telah selesai membaca Ummul Quran (al-Fatihah) ditinggikan suaranya, lalu baginda membaca amin".

Adapun berkenaan dengan ucapan amin makmum dalam solat berjemaah, abu Hurairah meriwayatkan sebagai berikut: "Bersabda Nabi SAW: "Apabila imam membaca amin hendaklah engkau membaca amin, kerana sesungguhnya para malaikat membaca amin bersama dengan bacaan imam. Sesiapa yang bersamaan bacaan aminnya dengan ucapan amin para malaikat, sesungguhnya akan diampunkan (Allah) dosa-dosanya yang terdahulu". (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat

Kembali ke atas ↑


 

17. Adab Bacaan Makmum
Soalan:
Apakah hukumnya seseorang makmum membaca dengan suara kuat hingga mengganggu kekhusyukan jemaah lain di sekitarnya? Misalnya dia membaca al-Fatihah dan surah dengan bersuara yang jelas, bukan sahaja dia sendiri dapat mendengar bahkan orang lain juga mendengar.

Ibrahim Shahid, Perak

Jawapan:
Makmum yang baik hendaklah mengikuti adab dan kaedah yang telah ditentukan. Dalam hal bacaan dianjurkan makmum tidak mengganggu bacaan imam ataupun jemaah yang lain dengan cara melantangkan suara dan sebagainya. Makmum hendaklah mendengar bacaan imam yang dijaharkan (solat bacaan kuat seperti Maghrib dan Isyak) dan hendaklah para makmum membaca al-Fatihah di dalam hatinya mengiringi al-Fatihah imam. Ini didasarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah yang bermaksud: "Apabila bertakbir, maka bertakbirlah kamu apabila imam membaca, maka diamlah kamu".

Diam yang dikehendaki dalam sabda Rasulullah SAW ini ialah diam dalam keadaan semua perhatian, ingatan dan pendengaran dituju kepada bacaan imam itu. Samada yang dibaca imam itu al fatihah mahupun surah-surah al Quran yang lain.

Kembali ke atas ↑


 

18. Cara Solat Jenazah
Soalan:
Bagaimanakah caranya menyembahyangkan jenazah,iaitu niat sembahyang dan cara-caranya?

Amar, Taiping

Jawapan:
Setelah mayat selesai dimandikan dan dikafan wajib pula disembahyangkan. Syarat-syarat sembahyang jenazah adalah:

  1. Sama juga dengan syarat-syarat sembahyang yang lain seperti menutup aurat, bersih badan dan pakaian dari najis dan mengadap kiblat.
  2. Mayat itu hendaklah dimandikan dan dikafan.
  3. Mayat itu hendaklah diletakkan di hadapan orang yang menyembahyangkannya (di sebelah kiblat) kecuali sembahyang ghaib atau sembahyang di atas kubur.

Rukun Sembahyang jenazah ada tujuh perkara:

  1. Niat ("Sahaja aku sembahyang atas mayat yang hadir fardhu kifayah empat takbir kerana Allah Taala").
  2. Berdiri bagi orang yang berkemampuan berdiri.
  3. Takbir empat kali (termasuk takbiratulihram).
  4. Membaca Fatihah (selepas takbir yang pertama).
  5. Selawat ke atas Nabi SAW (selepas takbir yang kedua).
  6. Mendoakan mayat (selepas takbir yang ketiga).
  7. Memberi Salam (selepas membaca doa selepas takbir yang keempat).

    DN 052 Panduan Lengkap Fardhu Ain

Kembali ke atas ↑


 

19. Imam Terlebih Rakaat
Soalan:
Apakah yang harus kita lakukan jika imam terlebih rakaat dalam solat. Adakah makmum mesti niat pisah imam atau menunggu sehingga imam memberi salam, sedangkan isyarat sudah diberi tetapi imam tidak mendengar?

Rina, Batu Pahat

Jawapan:
Jika imam terlebih atau terkurang rakaatnya sedangkan makmum telah memberitahukan keadaan tersebut dengan membaca tasbih, maka teruskan solat tersebut. Setelah salam beritahulah kepada imam tentang kedudukan yang sebenarnya. Dengan demikian imam boleh melakukan sujud sahwi. Dalam sebuah hadith diriwayatkan oleh Jamaah dari Ibnu Mas'ud bahawa Nabi SAW pada suatu ketika baginda solat Zuhur, lalu ditanya, "Apakah rakaat solat itu memang ditambah?". Baginda bertanya: "Mengapa demikian ?". Para sahabat berkata: "Baginda telah melakukan solat lima rakaat". Maka bagindapun sujud dua kali setelah memberi salam itu".

Hadith atas membuktikan bahawa solat yang terlebih rakaatnya kerana lupa dan dalam rakaat ke empat tidak duduk maka solat itu tetap sah.

 DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat

Kembali ke atas ↑


 

20. Jadi Imam Bagi Makmum Belum Baligh
Soalan:
Bolehkah kita niatkan sebagai imam bagi anak-anak yang belum baligh?

Amron, Tanjong Malim

Jawapan:
Solat berjemaah dapat ditegakkan dengan solat seorang diri bersama imam, sekalipun salah seorang diantaranya itu anak kecil atau wanita. Dari Ibnu Abbas meriwayatkan. "Saya menginap di rumah ibu saudaraku Maimunah. Nabi SAW bangun untuk bersembahyang malam. Sayapun mengikutinya dan berdiri di sebelah kirinya. Dipegangnya kepalaku dan diperintahkannya agar berdiri disebelah kanannya" (Riwayat Jamaah)

Kembali ke atas ↑

Popular

Anda Di Sini Soal Jawab Solat Solat Berjemaah