|
Sepertimana
yang diberitakan kepada kita oleh akhbar Berita Harian, hari
ini terdapat segolongan wanita yang menolak perkahwinan. Antara
sebabnya ialah kerana memandang perkahwinan sebagai satu bebanan
yang menyekat kebebasan. Bila berkahwin, kuasa mutlak dalam
menentukan hidup mula berubah dan terpikul pula dengan kerja-kerja
mengurus rumahtangga dan anak-anak.
Justeru
itu ramai yang lebih rela menjadi andartu walaupun pada hakikatnya,
ianya tidak dapat memberi kebahagiaan pada jiwa. Ada juga
yang tidak berkahwin disebabkan terlalu memilih calon yang
sekufu dan ada yang tidak sempat memikirkan perkahwinan kerana
terlalu sibuk dengan tugas-tugas dan kerjaya masing-masing.
Kami akan
menceritakan tentang kerugian yang dialami oleh wanita yang
tidak mahu bekahwin; tetapi bukan kepada wanita yang tidak
berkahwin kerana tiada jodoh. Kalau sudah tidak ada jodoh,
wanita tersebut tidak boleh dipersalahkan kerana sudah takdir
menentukan demikian. Masalahnya sekarang, terdapat wanita
yang mempunyai peluang untuk berkahwin tetapi menolak dengan
alasan-alasan sepertimana yang disebutkan di atas tadi.
Perkembangan
tentang wanita yang tidak gemar berkahwin bukan sahaja berlaku
di dalam masyarakat bukan Islam tetapi juga berlaku di kalangan
masyarakat Islam. Sikap demikian bukan sahaja bertentangan
dengan kehendak ajaran Islam yang menggalakkan perkahwinan
tetapi juga bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia
yang hidupnya memerlukan pasangan. Bahkan sunnatullah kejadian
manusia, ada lelaki dan ada wanita yang saling memerlukan
antara satu sama lain. Ibarat talian elektrik yang memerlukan
positif dan negatif untuk melahirkan cahaya.
Di Malaysia,
walaupun terdapat di dalam masyarakat Islam sikap memilih
hidup membujang tetapi tidak begitu berleluasa sepertimana
di barat. Walaupun demikian, pada pandangan Islam, orang yang
tidak berkahwin dianggap jelek. Menyerupai para pendita Kristian.
Golongan ini juga tidak akan mendapat kesempurnaan dalam agama
dan mengalami kerugian di dunia dan di akhirat. Kejelekan
tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita, adalah lebih banyak
berbanding dengan lelaki. Kerana umumnya bagi kaum wanita,
pintu syurga lebih banyak bermula dan berada di sekitar rumahtangga,
suami dan anak-anak.
Amat mudah
bagi kaum wanita untuk mendapat maqam solehah dan menjadi
ahli syurga di akhirat.
Ini berdasarkan sabda Rasulullah:
"Sekiranya seorang wanita dapat melakukan empat perkara
iaitu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga
maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga mana-mana
yang ia kehendaki."
Sekiranya
seorang wanita itu tidak berkahwin, ia tidak akan dapat mencapai
kesempurnaan pada maqam yang keempat. Walau sehebat mana sekalipun
ia bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah, wanita yang
tidak berkahwin tidak akan mendapat kelebihan pada mentaati
suami. Sedangkan kelebihan mentaati suami mengatasi segala-galanya
bagi seorang wanita, sehinggakan redha Allah pun bergantung
kepada redha suami.
Selain daripada
itu di antara kelebihan wanita yang berkahwin bahawa ia akan
diberi pahala seperti pahala jihad fisabilillah (berjuang
di jalan Allah) di kala mengandung. Apabila ia menyusukan
anak maka setiap titik air susu akan diberi satu kebajikan.
Berjaga malam kerana mengurus anak akan diberi pahala seperti
membebaskan 70 orang hamba. Wanita yang berpeluh kerana terkena
bahang api ketika memasak untuk keluarganya akan dibebaskan
daripada neraka. Bagi wanita yang mencuci pakaian suaminya
akan diberi 1000 pahala dan diampuni 2000 dosa. Lebih istimewa
lagi ialah bagi wanita yang tinggal di rumah kerana mengurus
hal-hal berkaitan anak-anak akan dapat tinggal bersama-sama
Rasulullah saw di syurga kelak. Bahkan wanita yang rela dijimak
oleh suami juga akan mendapat pahala dan lebih hebat lagi
bagi wanita yang mati kerana bersalin akan mendapat pahala
seperti pahala syahid.
Semua kelebihan-kelebihan
ini tidak akan dapat diperolehi bagi wanita yang menolak perkahwinan.
Malahan kedudukan mereka di dunia akan selalu berada di dalam
fitnah dan di akhirat menjadi golongan yang rugi. Oleh itu
wanita dianjurkan berkahwin apabila telah menemui pasangan
yang sekufu. Yang dimaksudkan sekufu yang utama ialah dari
segi iman, walaupun lelaki tersebut telah berkahwin.
Sabda Rasulullah
saw: "Apabila datang kepada kamu lelaki yang beragama dan
berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul fitnah
dan kebinasaan.
Para sahabat
bertanya, "Bagaimana kalau ia telah berkahwin?" Jawab baginda,
"Kahwinilah juga ia (diulang sebanyak tiga kali)." Begitulah
besarnya pahala bagi wanita yang berkahwin. Tidak perlu bersusah-payah
untuk keluar rumah seperti kaum lelaki atau berslogan seperti
kebanyakan wanita hari ini. Hanya dengan duduk di rumah sebagai
seorang isteri dan ibu sudah memperolehi pahala yang banyak.
Kalau suami redha dengan perlakuan seorang isteri itu maka
akan terus masuk syurga tanpa melalui kesukaran. Nikmat ini
tidak akan dapat diperolehi oleh wanita yang menolak perkahwinan
kerana dia telah menolak untuk menjadi calon wanita solehah
yang berada di bawah naungan suami.
|