|
Nabi Muhammad SAW merupakan nabi terakhir
yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membimbing manusia ke
arah jalan kebenaran. Tidak seperti umat nabi-nabi yang lain,
umat nabi Muhammad telah diperintahkan untuk mengerjakan solat
5 waktu setiap hari. Ini merupakan kelebihan dan anugerah
Allah SWT terhadap umat nabi Muhammad dimana solat tersebut
akan memberikan perlindungan ketika di hari pembalasan kelak.
Berikut diterangkan asal-usul bagaimana setiap solat mula
dikerjakan.
Subuh:
Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam
a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan
ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan
baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh
telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.
Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari
kegelapan malam.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.
Zohor:
Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim
a.s. iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar
menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.. Seruan itu datang pada
waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak
empat rakaat.
Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya
dan juga anaknya.
Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan
Allah SWT.
Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan
dengan tebusan kibas.
Asar:
Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus
a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut
ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai,
sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah
Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda
telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:
Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.
Maghrib:
Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi
Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari
kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya
matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat
kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:
Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada
Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke
atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan
sumbang.
Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya
satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau tiganya.
Isyak:
Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa
a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan
keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan
perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan
dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah
Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.
Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun
|