|
Di sini Darul
Nu'man ingin menyentuh tentang pemakaian tudung kaum wanita
masa kini sebagai renungan bagi wanita Islam. Bila wanita
menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan
sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin
keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana
syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar
dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya
dari kepala hingga ke kaki.
Kalau dibuat
perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian,
ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti
besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita,
Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh
badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan
masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak
sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk
mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.
Menyentuh berkenaan
pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita
yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung.
Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung.
Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat
bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan
pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.
Walaupun pelbagai
gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih
tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang
leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi
pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar
ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung
turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.
Ada rekaan tudung
yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan
kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit
pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan
dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan
itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya
menambahkan fitnah ke atas wanita.
Walhal sepatutnya
pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja
menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai
seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan
bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana
akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya.
Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan
gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.
Bilamana wanita
bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian
wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan
riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan
mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date,
sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung,
tapi masih ingin bergaya.
Kesimpulannya,
tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita
tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan
mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan
syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil
yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan
berbangga bila boleh memakai tudung?
Ada orang bertudung
tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung
tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki .
Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas.
Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki
yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang
dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti
zina, khalwat dan sebagainya.
Jadi, nilai tudung
sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam
lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat
melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka
rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak
bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas
lagi.
Orang-orang bukan
Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat
Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun
bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang
bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan
agama mereka.
Lihatlah betapa
besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini
kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya
pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain
tapi hanya melalui pakaian.
Kalau kita menutup
aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin
dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk
disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari
diri kita sendiri.
Ini tidak bermakna
kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung.
Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah
kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung
di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki,
berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.
Walau apapun,
kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap
wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah
antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan
si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran.
Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup
aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.
Kalau sudah mula
menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi
diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan
pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke
hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang
jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah
pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.
Apabila sudah
menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan
tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba
didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar
dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap
suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga
tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai
wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana
indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita
muslimah.
Barulah orang
terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan
Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful."
Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya.
Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak
langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.
|