Sedang para pendakwa Nabi atau Nabi-Nabi
palsu itu masing-masing mempunyai kepentingan individu tersendiri,
sama ada ditaja oleh pihak lain atau atas daya usahanya
sendiri. Sebahagian besar mereka yang mengaku menjadi Nabi
itu dikenakan berbagai hukuman, ada yang digantung sampai
mati, dibakar, dirotan dan ada pula yang dipulihkan dari
penyakit jiwanya.
Sejarah pun mencatat nama-nama individu
yang pernah mengaku menjadi Nabi dari zaman ke zaman, di
antaranya ialah Musailamatul Kazzab, Aswad Al-Insi, Tulaihah
Al-Asadi, Sajjah binti Al-Harith, Ahmad bin Husain, Laqit,
Mirza Ghulam Ahmad, Mirza Ali Muhammad, Bahaullah, Al-Mukhtar
bin Ubaidillah, Ibnu Sam’an, Amir bin Harb, Abu Mansur Al-Ijli,
Ibnu Said As-Sajli, Abu Khattab Al-Asadi, Ibnu Bahram Al-Juba’i,
Hasan bin Hamdan, Abul Qasim An-Najar, Al-Muni’ul Qashar,
Ibnu Kharba Al-Kindi, Abu Muslim As-Siraj dan lain-lain.
Turut mengaku sebagai Nabi juga adalah:
Harith bin Saad; dia mendakwa menjadi Nabi di masa
Khalifah Abdul Malik bin Marwan dari Daulat Bani Umaiyah.
Ramai orang yang dapat dipengaruhi dan menjadi pengikut-nya.
Tapi kesudahannya dia dibunuh bersama pengikut-pengikutnya.
Isa Al-Asfahan; dia mendakwa dirinya diangkat menjadi
Nabi di masa Khalifah Al-Mansur dari Daulat Bani Abbasiah
. Akhirnya dia dihukum bunuh.
Faris bin Yahya, dia mendakwa dirinya menjadi Nabi
di masa pemerintahan Khalifah Al-Muktaz di Mesir. Faris
mengaku sebagai Nabi Isa dan mendakwa dapat menyembuhkan
penyakit sopak, orang buta, penyakit kusta dan menghidupkan
orang mati.
Ishak Al-Akhras, dia mengaku sebagai Nabi di Asfahan
(Iran). Dia pandai membaca kitab Taurat, Injil dan pandai
mentafsirkan Al-Quran sesuka hatinya. Di antara ajarannya
ialah barangsiapa yang beriman kepada Allah, beriman kepada
Nabi Muhammad dan beriman kepadanya, dialah orang-orang
yang mendapat kemenangan. Kerana kepandaiannya bertutur
kata, ramai orang yang dapat dipengaruhinya dan menjadi
pengikutnya. Ishak pada akhirnya dapat dihukum bunuh.
Aswad Al-Insi
Namanya sebenar adalah Ailat bin Kaab bin
Auff Al-Insi keturunan bangsa hitam Habasyah yang tinggal
di Jazirah Arabia. Oleh kerana itulah dia dipanggil Aswad
yang bermakna Si Hitam Pekat, dan terkenallah namanya sebagai
Aswad Al-Insi. Dia mengaku dirinya sebagai nabi pada saat-saat
menjelang Rasulullah SAW jatuh sakit dan segera mendapat pengikut
yang ramai di kalangan kaumnya. Akan tetapi nabi palsu ini
dapat dibunuh pada tahun 11 H/632M iaitu di saat-saat menjelang
kewafatan Rasulullah SAW.
^ Kembali ke atas
^
Si Hitam Yang Bercadar
Aswad Al-Insi sentiasa menutup mukanya
dengan cadar (purdah) seperti yang biasa dipakai oleh kaum
wanita sehingga dia dipanggil juga dengan nama Zul Khimar
yang bermakna orang yang memakai cadar. Dia sendiri rela dirinya
diberi gelar Si Hitam atau Aswad. Sebelum mengisytiharkan
dirinya sebagai nabi, Aswad Al-Insi memang terkenal sebagai
seorang yang mempunyai ilmu-ilmu hitam dan sihir (black magic)
yang mampu memperlihatkan hal-hal yang aneh, ajaib dan menakutkan.
Kerana kebolehannya itu, dia ditakuti dan dikagumi di kalangan
kaumnya dan pengaruhnya besar. Ditambah lagi dia sebagai seorang
orator yang tutur katanya manis dan menarik. Orang-orang awam
dari suku besar Mazhaj segera mempercayainya bahawa dia sebagai
nabi.
Ajaran utama Aswad adalah membebaskan
manusia dari kewajipan solat dan membayar zakat serta membenarkan
perzinaan. Kewajipan solat dan zakat inilah yang dirasakan
berat oleh sesetengah kabilah Arab selama ini. Apabila mendengar
ajaran yang dibawa oleh “nabi” baru itu sangat sesuai dengan
nafsunya, mereka berpusu-pusu datang menyatakan sokongan
dan sedia mati membela Aswad Al-Insi. Mereka bersedia bergadai
nyawa jika Aswad mengarahkannya menyerang Madinatul Munawwarah
tempat Nabi Muhammad menyampaikan ajarannya.
Setelah memperolehi pengikut yang ramai,
Aswad maju menyerang kota Najran yang ketika itu dibawah
pengawasan penguasa Islam Amru bin Hazmi dan Khalid bin
Saad.
Aswad berhasil menduduki kota itu dan
wilayah sekitarnya, sementara kedua-dua penguasa Islam di
situ terpaksa berundur ke kota San’a. Maka berlangsunglah
keluar agama (murtad) secara besar-besaran di kawasan-kawasan
yang dikuasai oleh Aswad.
Dalam masa yang singkat, pengikut Aswad
telah bertambah besar dan dia bertambah sombong dan bermaharajalela.
Kekuatan tenteranya semakin besar kerana para pengikutnya
rela berperang bersamanya. Langkah seterusnya dia membentuk
700 pasukan berkuda yang dipimpin oleh Kais bin Abdi Yaguts
Al-Muradi sebagai panglima perang besarnya. Sedang zon-zon
pasukannya dipimpin Maawiyah bin Kais Al-Janabi, Yazid bin
Maharram, Yazid bin Hushain Al-Harithi dan Yazid bin Afkal
Al-Yazidi.
Pasukan berkuda Aswad bergerak menyerang
kota San’a yang ketika itu diperintah oleh penguasa Islam
bernama Emir Syahr bin Bazan yang dikukuhkan oleh Rasulullah
SAW sendiri. Syahr bin Bazan keluar dengan pasukannya menyambut
kedatangan pasukan Aswad. Maka terjadilah pertempuran sengit
di antara kedua-dua pasukan itu yang berakhir dengan kekalahan
di pihak Syahr bin Bazan yang menemui syahid di dalam pertempuran
bersama sejumlah besar tentera Islam lainnya.
Aswad menduduki San’a dengan sombong dan
mengambil janda Syahr bin Bazan yang bernama Azaz yang sangat
terkenal cantik jelita itu menjadi salah seorang isterinya
secara paksa. Walaubagaimanapun Azaz tetap menjadi seorang
muslimah yang solehah, taat kepada Allah dan Rasul-Nya sekalipun
jasmaninya berada dalam genggaman Aswad secara paksa. Aswad
juga telah mengangkat Fairuz Ad-Dailami bersama Emir Dazwih
untuk mengetuai seluruh kaum peranakan (al-Abnak).
^ Kembali ke atas
^
Merancang Pembunuhan
Dengan kejayaan Aswad menakluki San‘a,
umat Islam di seluruh wilayah Hadramaut menjadi cemas dan
khuatir kalau-kalau nabi palsu itu mengarahkan pasukannya
menyerbu wilayah Hadramaut pula. Mereka berada dalam keadaan
berjaga-jaga untuk menghadapi segala kemungkinan. Rasulullah
SAW di Madinah telah mengetahui perkara yang terjadi.
Baginda telah menghantar Wabar bin Yuhannis
Al-Asadi sebagai utusan ke Yaman untuk memberikan arahan
agar kaum Muslimin di sana tetap bertenang dan menyusun
kekuatan semula untuk menghadapi Aswad. Muaz bin Jabal yang
ketika itu sedang bertugas di Yaman, telah berkeliling menghubungi
orang-orang yang masih kuat imannya.
Kedatangan utusan dan khabar dari Rasulullah
itu telah membuat kaum Muslimin terhibur dan semangatnya
naik semula untuk menghadapi Aswad.
Sementara Aswad sendiri semakin sombong
akan kejayaannya. Dia merasa kejayaan yang dicapainya dalam
waktu singkat itu adalah berkat kekuatannya sendiri dengan
menggerakkan ilmu-ilmu hitamnya. Sehingga dia sering mencemuh
Qais bin Abdi Yaguts panglima perang yang telah berjasa
dalam memimpin tenteranya.
Tidak ketinggalan Fairuz Ad-Dailimi
dan Emir Dazwah juga sering dicemuh dan dihina oleh Aswad
di hadapan orang ramai. Akibatnya, sama ada panglima Qais,
penguasa Fairuz dan Dazwah menjadi benci terhadap Aswad.
Lebih-lebih lagi perempuan janda Syahr
yang dijadikan isteri secara paksa oleh Aswad sangat dendam
dan membenci nabi palsu itu. Tapi mereka tidak berani berbuat
apa-apa kerana Aswad sangat terkenal, ramai pengawalnya
dan sering menggunakan khidmat syaitan-syaitan / jin-jinnya
untuk mencelakakan seseorang.
Muaz bin Jabal melihat situasi ini sangat
menguntungkan untuk mengambil kesempatan. Secara senyap-senyap
dia melakukan pendekatan kepada Fairuz Ad-Dailimi dan Dazwah
sambil memperlihatkan surat Rasulullah SAW. Kedua-dua Emir
itu sangat gembira, bagaikan kejatuhan emas dari langit
ketika menerima khabar dari Rasulullah SAW. Mereka pun melakukan
pendekatan pula terhadap panglima perang Qais bin Abdi Yaguts
dan berhasil. Kini ketiga-tiga orang penting Aswad itu telah
sepakat untuk memusnahkan tuan besarnya yang bongkak.
Walau bagaimanapun, mereka bertiga mesti
melaksanakan maksudnya dengan terancang dan tipu helah.
Sebab disekitar Aswad sangat ramai tentera, pengampu dan
pengawal yang menjaganya setiap masa. Apabila mereka yang
menyimpan dendam itu telah sebulat suara untuk membunuh
Aswad, syaitan-syaitan nabi palsu itu dapat mengesannya
lalu memberitahukan kepada Aswad.
Syaitan-syaitan itu memberitahukan kepada
Aswad bahawa ada komplot yang ingin membunuhnya yang dianggotai
oleh panglima perang dan orang-orang penting lainnya. Aswad
segera memanggil Qais dan memberitahukan wahyu yang dibisikkan
oleh syaitan itu.
“Wahai Qais! Aku menerima wahyu yang tidak sedap tentang
kamu.” kata Aswad.
“Apa katanya?” tanya Qais.
“Engkau memuliakan Qais, menaruh kepercayaan dan bermurah
hati kepadanya. Awas, kelak bila dia sudah sangat akrab
dengan kau dan mempunyai kedudukan yang kuat seperti engkau,
dia akan menjadi lawanmu, merampas kekuasaanmu dan melakukan
pengkhianatan. Wahai Aswad! Kasihan engkau.” kata Aswad
memberitahukan bisikan syaitannya.
Qais pura-pura menafikan perkara itu
sambil berkata dan berkata palsu: “Wahai Zul Khimar! Itu
semua bohong. Tuanku sungguh agung dan mulia di sisiku,
sehingga tidak pernah terlintas dihatiku ada cita-cita seperti
yang tuanku khuatirkan itu.”
“Engkau sungguh biadab wahai Qais! Engkau telah menganggap
seorang raja berbohong. Raja bercakap benar, dan sekarang
aku tahu bahawa engkau mesti menyesal atas semua yang pernah
engkau lakukan.” kata Aswad dengan marah sambil melihat
Qais dari kepala hingga ke kakinya.
Qais dibebaskan dan segera keluar menjumpai teman-teman
sehaluannya untuk membincangkan apa yang telah terjadi.
“Kalau begitu, mulai sekarang kena berwaspada.” kata mereka.
Tiba-tiba mereka punya idea untuk mendekati
Azaz yang menjadi isteri paksa Aswad dan sangat membencinya.
Kebetulan pula perempuan cantik jelita itu masih saudara
sepupu kepada Fairuz.
Mula-mula Qais menjumpai Azaz secara
senyap-senyap dan mencuri-curi, sebab kalau diketahui Aswad,
padahnya sangat besar.
“Wahai sepupuku! Engkau telah tahu musibah yang menimpa
kaummu gara-gara kekejaman lelaki itu (Aswad). Dia telah
membunuh suamimu, memalukan kamu dan memaksa perempuan menjadi
miliknya. Adakah engkau tidak dapat bertindak sesuatu keatasnya?”
tanya Qais kepada Azaz.
“Bertindak bagaimana?” tanya Azaz.
“Menghalaunya keluar.”
“Bagaimana kalau dia dibunuh saja?” tanya Azaz.
“Dibunuhpun boleh.” kata Qais.
“Memang, demi Allah. Allah tidak menciptakan seseorangpun
yang paling aku benci selain si Aswad itu. Jika kamu sudah
berazam untuk membunuhnya, beritahu aku. Aku akan memberimu
tunjuk ajar tentang perkara ini.” kata Azaz.
^ Kembali ke atas
^