etelah
berhasil menghubungi Azaz, Qais segera keluar dan berunding dengan
kawan-kawannya mengenai jalan terbaik untuk membinasakan Aswad.
Sementara Aswad sendiri semakin terasa bahawa ada komplotan yang
ingin memudaratkan dirinya. Dia mendapat tahu perkara ini dari syaitan-syaitan
yang menjadi temannya. Dia mencurigai Fairuz dan selalu memanggilnya
untuk disoal siasat, tapi Fairuz menafikan bahawa dirinya sedang
memendam rasa benci.
Suatu hari Aswad mengadakan sembelihan haiwan
secara besar-besaran yang terdiri dari seratus ekor lembu dan
unta di hadapan orang ramai. Tiba-tiba Aswad berkata kepada Fairuz:
“Wahai Fairuz! Aku telah menerima wahyu bahawa engkau benar-benar
ingin memusnahkan aku. Aku benar-benar bercadang akan menyembelih
engkau seperti haiwan-haiwan ini.”
Sekali lagi Fairuz menafikan tuduhan itu dengan
mengeluarkan perkataan-perkataan yang membanggakan Aswad. Fairuz
mengingatkan Aswad bahawa dirinya telah diberi pangkat sebagai
pengetua kaum peranakan dan juga masih iparnya, mana mungkin akan
menaruh dendam?
“Aku menyukai tuan, sebagaimana tuan menyukai aku.” kata Fairuz.
“Betul itu. Baiklah sila agih-agihkan danging haiwan ini kepada
orang ramai.” kata Aswad Al-Insi.
Akan tetapi apabila Fairuz selesai membagi-bagikan
daging dan ingin berjumpa dengan Aswad, dia mendengar berita bahawa
nabi palsu itu betul-betul ingin membunuhnya. Fairuz segera pergi
kepada teman-teman sehaluannya untuk berunding. Masa telah suntuk.
Kalau nabi palsu itu tidak segera dibunuh, nasib mereka yang diketahui
belot pasti sangat berbahaya. Ketiga-tiga orang penting itu telah
nekad untuk bekerja sama dengan isteri paksa Aswad untuk membunuhnya.
Fairuz dipilih untuk berjumpa terus dengan Azaz, kerana dia masih
sepupunya.
“Bilik-bilik kediaman Aswad dipagar dan dipenuhi dengan pengawal-pengawal,
kecuali bilik yang ini yang tidak begitu ketat kawalannya.” kata
Azaz kepada Fairuz.
Walau bagaimanapun Azaz yang sangat menaruh
dendam terhadap Aswad memberikan cara rahsia untuk sampai ke bilik
tidur orang yang dibencinya itu. Dia mengarahkan agar membuat
suatu lubang sulit yang boleh mencapai bilik Aswad, dan dia sendiri
akan membantunya secara sulit pula. Setelah berbincang banyak,
Fairuz segera berpaling akan keluar dari rumah Azaz. Akan tetapi
tiba-tiba Aswad datang dan melihat Fairuz baru keluar dari Azaz.
“Kurang ajar. Hai Fairuz! Mengapa engkau berani masuk ke tempat
isteriku?” kata Aswad dengan marahnya.
Tidak ampun lagi, Aswad menangkap batang leher Fairuz dan akan
membunuhnya ketika itu juga. Nasib baik Azaz segera datang dan
berteriak: “Jangan apa-apakan! Dia adalah saudara sepupuku datang
menziarahiku. Apa salahnya.”
“Engkau diam!” kata Aswad menengking Azaz.
Kerana masih merasa sangat sayang kepada Azaz
yang sangat cantik jelita itu, Aswad tidak jadi membunuh Fairuz.
Dia melepaskan cengkamannya dengan kasar sambil berkata: “Berambuslah
engkau dari sini!”
“Selamat, selamat......” kata Fairuz yang masih ketakutan itu
ketika berjumpa dengan kawan-kawannya dan menceritakan apa yang
telah terjadi.
Mereka terus berbincang langkah seterusnya.
Azaz pula mengirim pesan agar azam mereka diteruskan dan menyatakan
sokongannya. Ketika Aswad tidak ada, Fairuz masuk lagi ke rumah
Azaz dan segera menggali lobang sulit. Tiada berapa lama Aswad
pun datang, dan Azaz sudah bersedia dengan sikap seperti seorang
yang sedang berziarah.
“Siapa lagi ini?” tengking Aswad.
“Dia saudara sesusuanku dan juga sepupuku. Mengapa engkau selalu
curiga?” jawab Azaz.
Fairuz pun dihalau keluar dan berjumpa dengan
teman-temannya.
Pada sebelah malam, mereka pun masuk ke rumah
Aswad melalui lubang sulit yang telah dibuatnya. Azaz pula sudah
siap sedia memberikan laluan kepada mereka untuk membunuh suaminya.
Malam itu Aswad sedang berada dalam keadaan separuh sedar kerana
mabuk arak dan tertidur pulas di atas tilam sutera. Ketika Fairuz
masuk, syaitan-syaitan Aswad mengejutkannya lalu didudukkannya
dalam keadaan separuh sedar.
“Ada apa dengan engkau hai Fairuz?” kata Aswad yang sedang tertidur
mabuk itu.
Fairuz khuatir Aswad akan sedar. Oleh kerana
itu dia cepat-cepat menangkap kepalanya, menekan lehernya dari
belakang, dipijak lalu dihantuk-hantukkannya kepala nabi palsu
itu sehingga mati. Kemudian Fairuz keluar memberitahukan teman-temannya
yang sedang mengepung di luar bahawa nabi palsu itu sudah mati.
Gegap gempitalah takbir di sekitar itu. Akan tetapi syaitan-syaitan
Aswad selalu menggerak-gerakkan tubuhnya sehingga kelihatan seperti
masih hidup.
Mereka pun tidak dapat memastikan bahawa dia
telah mati. Azaz segera menarik rambut Aswad kuat-kuat, sehingga
syaitan Aswad tak tentu hala. Sedang orang yang lain terus memotong
lehernya, sehingga terpisahlah kepala nabi palsu itu dari badannya.
Orang-orang yang berkawal di sekitar rumah kediaman Aswad merasa
curiga apabila mendengar suara yang mencurigakan.
“Suara apa itu?” tanya mereka.
“Tidak ada apa-apa, hanya nabi sedang menerima wahyu.” jawab
Azaz.
Fairuz, Qais dan Dazwiyah berunding cara yang
paling berkesan untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa nabi
palsu itu sudah dibunuh. Mereka sepakat untuk mengumpulkan orang
ramai di sekitar istana menjelang Subuh. Menjelang Subuh, orang
ramai pun berkumpul berpusu-pusu di sekitar istana kerana mengikut
arahan. Mungkin dikatakan kepada mereka bahawa nabi Aswad memintanya
mereka agar berkumpul. Mereka yang berkumpul bukan saja dari pengikut
setia Aswad, tapi juga dari kalangan orang-orang beriman dan yang
masih menyimpan iman di hatinya.
Waktu Subuh pun masuk, Qais naik ke bumbung
istana lalu melaungkan azan. Apabila sampai pada lafaz Asyhadu
anna Muhammadarrasulullah.....tiba-tiba ditambah dengan Wa anna
Abhalah (Aswad) pendusta”. Serentak dengan perkataan Abhalah,
si tukang azan tiba-tiba melemparkan kepala nabi palsu Aswad ke
tanah.
Maka tahulah mereka bahawa Aswad yang angkuh
itu sudah dibunuh. Maka gemuruhlah takbir, kepala Aswad lalu disepak-sepaknya
ke sana ke sini. Orang ramai bertaubat dan kembali kepada agama
Islam yang sebenar dan mengucapkan taat setia kepada Rasulullah
SAW. Tamatlah riwayat nabi palsu Aswad Al-Insi setelah berkuasa
selama lebih kurang empat bulan sahaja. Sementara di Madinah Rasulullah
SAW telah mengetahui peristiwa tersebut dari Allah pada malam
itu juga.
“Al-Insi telah dibunuh malam tadi oleh lelaki yang diberkati
dari keluarga yang diberkati.” kata Rasulullah.
“Siapa itu wahai Rasululllah?” tanya sahabat.
“Fairuz Fairuz.” jawab Rasulullah SAW. Wallahu a’lam.
Banyak pihak merasa lega dengan kematian Aswad,
tapi ramai yang masih bimbang akan kemunculan konco-konconya yang
mungkin boleh menggugat keamanan kaum Muslimin. Fairuz sendiri
berkata: “Setelah Aswad kami bunuh, keadaan kita kembali seperti
sedia kala dengan usaha Mu’az bin Jabal, dan dia yang menjadi
imam solat kami. Akan tetapi walaupun Aswad sudah tidak ada, pasukan
berkuda teman-teman Aswad masih ada. Kemudian setelah tersiar
berita kewafatan Rasulullah, timbullah kegelisahan di merata tempat.”
Kebimbangan Fairuz itu menjadi kenyataan apabila
dikemudian hari banyak lagi Nabi palsu dan pembelot agama membuat
kekacauan. Bahkan Qais bin Abdi Yaguth juga tiba-tiba murtad dan
ingin berkuasa sepenuhnya, tapi dapat dipadamkan akhirnya.
^ Kembali ke atas ^