|
Al-Quran menjelaskan agama rasul-rasul terdahulu adalah Islam.
Islam bermaksud tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT.
Setiap rasul menyeru masyarakatnya ke arah mengabdikan diri
kepada Allah SWT semata-mata dan mematuhi syariatNya yang
diutuskan kepada setiap rasul ini.
Setiap rasul berpegang dengan syariat yang diutuskan oleh
Allah kepadanya yang sesuai dengan masa dan masyarakatnya.
Begitulah juga nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah bagi
menegakkan aqidah nabi-nabi terdahulu dan melaksanakan syariat
yang diutuskan kepada baginda untuk seluruh umat manusia sehingga
berlakunya hari kiamat.
Ini bermakna syariat Muhammad SAW adalah penyudah atau
pelengkap dalam menyempurnakan segala syariat nabi-nabi
terdahulu dan sesuai dengan suasana manusia yang hidup di
akhir zaman hinggalah ke hari Kiamat (D'day). Berdasarkan
keterangan ini jelas menunjukan agama para rasul terdahulu
adalah islam kerana mereka menyeru manusia ke arah ketundukkan
dan kepatuhan kepada segala yang diperintahkan oleh Allah
SWT, sebagaimana juga nabi Muhammad SAW diperintahkan menyeru
manusia ke arah ketundukan dan kepatuhan kepada segala yang
diperintahkan oleh Allah SWT.
Pada prinsipnya semua Rasul memeluk dan mengajar agama tauhid
atau Islam. Sebagai contoh:
Nabi Adam as. yang diperkirakan hidup lebih
kurang 930 tahun merupakan manusia pertama yang bergelah khalifah
Allah dimuliakan dan ditinggikan darjatnya menjadi nabi yang
pertama. Baginda diutuskan kepada anak cucunya agar menyembah
Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Maka diantara mereka ada yang
taat dan adapula yang membangkang.
Nabi Idris as. merupakan keturunan Nabi Sits
as. diutus oleh Allah kepada anak cucu Qabil agar bertaubat
dan menyembah Allah SWT, namun mereka terus menerus membangkang
perintah Allah SWT. Begitu juga Nabi Nuh as. merupakan
keturunan nabi Idris as. yang diutus Allah kepada kaum kafir.
Baginda menyeru supaya semua manusia menyembah Allah, tetapi
ajakan Nabi Nuh ditolak, akhirnya orang-orang yang ingkar
atau kafir itu tenggelam dalam banjir yang besar.
Nabi Hud as. adalah keturunan Yafit bin Nuh,
bertempat tinggal di Hadharal Maut Utara. Baginda diutus Allah
kepada kaum Aad kerana bangsa itu menyembah patung. Kemudian
Nabi Nuh menyuruh mereka supaya menyembah Allah, tetapi mereka
ingkar, akhirnya mereka menerima seksaan dengan ditimpa badai
dan udara yang sangat dingin selama tujuh hari lapan malam.
Begitu juga Nabi Salleh as. merupakan keturunan
Sam bin Nuh yang diutuskan Allah kepada bangsa Tsamud disebelah
selatan Palastin. Kebudayaan mereka sudah tinggi tetapi mereka
menyembah dewa dan patung, kemudian Nabi Salleh menyuruh kepada
mereka agar menyembah Allah, sebahagia besar bangsa Tsamud
menolak untuk memeluk agama Allah. Mereka ingkar kepada larangan
Nabi Salleh. Pada hari pertama muka mereka berwajah kuning,
hari kedua menjadi merah,hari ketiga menjadi hitam, akhirnya
mereka disambar petir.
Nabi Ibrahim as. juga keturunan Sam bin Nuh
yang diutuskan Allah kepada kaum Namrud di negeri Babilon
lebih kurang 4000 tahun sebelum Masehi. Kaum Namrud menyembah
berhala bahkan akhirnya Namrud menganggap dirinya sebagai
Tuhan. Nabi Ibrahim juga menyerukan ajaran tauhid atau Islam
kepada mereka namun mereka tetap ingkar, akhirnya Allah mendatangkan
kepada mereka tentera nyamuk sebagai balasan, maka musnahlah
kaum yang ingkar. Begitu halnya dengan Nabi Luth as.
adalah bersaudara dengan nabi Ibrahim yang diutuskan kepada
kaumnya di negeri Sadum, supaya kaumnya menyembah Allah SWT,
namun mereka ingkar. Allah SWT membalas keingkaran mereka
dengan dibalik bumi Sadum sehingga musnah negeri tersebut.
Nabi Ismail as. adalah anak Nabi Ibrahim melalui
perkahwinannya dengan Siti Hajar. Baginda diutus kepada bangsa
Arab di negeri Yaman, kerana mereka belum kenal dengan agama
tauhid atau Islam. Mereka juga diperintahkan supaya berpuasa,
membayar zakat dan menunaikan haji. Baginda mempunyai 12 orang
anak lelaki yang seluruhnya disebut dengan Bani Ismail atau
Adnanniyun. Dari keturunan inilah lahirnya suku Quraisy yang
melahirkan Nabi Muhammad SAW.
Nabi Ishaq as. adalah anak kandung Nabi Ibrahim
melalui perkahwinan dengan Siti Sarah. Baginda diutus oleh
Allah di negeri Kan'an untuk menyembah Allah, mengajarkan
tauhid, menyuruh membayar zakat, berpuasa dan menunaikan haji.
Nabi Ishaq berkahwin dengan Rifka dan mendapat anak kembar
iaitu ish dan Ya'kub. Nabi Ishaq wafat dalam usia 170 tahun
dan dimakamkan di Baitul Maqdis daerah Palastin. Begitu juga
dengan Nabi Ya'kub as. diutus oleh Allah SWT
di negeri Kan'an kerana penduduknya telah ramai menyembah
berhala. Nabi Ya'kub mengajar kaumnya supaya menyembah Allah,
Tuhan Yang Maha Esa. Baginda wafat dalam usia 148 tahun dan
beliau mempunyai 12 orang anak lelaki.
Nabi Yusuf as. anak Nabi Ya'kub as yang diutus
oleh sebagai nabi kepada bangsa Mesir untuk mengajarkan agama
tauhid iaitu agar menyembah Allah, Tuhan yang Maha Esa. Disampaing
baginda seorang nabi ia juga seorang raja dengan dasar pemerintahannya
adalah Islam. Beliau wafat dalam usia 120 tahun dan dimakamkan
ditepi sungai Nil. Kemudian Nabi Ayub as. anak
Amus bin Tarikh bin Rum bin Ish yang diutuskan oleh Allah
SWT ke negeri Rom untuk mengajarkan agama tauhid iaitu menyembah
Allah SWT. Beliau wafat dalam usia lebih kurang 93 tahun dan
dimakamkan di suatu tempat di daerah Itali.
Nabi Zulkifli as. adalah anak Nabi Ayub as.
diutus oleh Allah SWT ke negeri Rom. Disamping beliau seorang
nabi juga seorang raja yang tetap mengajarkan agama tauhid
iaitu supaya menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa.Beliau menyeru
kepada kaumnya supaya meninggalkan penyembahan berhala dan
melaksanakan syariat Islam supaya solat dan membayar zakat.
Beliau wafat dalam usia 95 tahun dan dimakamkan di Napoli,
daerah Rom Selatan. Begitu juga Nabi Syuaib as.
keturunan Nabi Luth as, diutus oleh Allah ke negeri Madyan,
Palastin Selatan agar mengajar agama tauhid iaitu menyembah
Allah SWT. membayar zakat dan berlaku jujur kepada kaumnya.
Ramai kaumnya yang tidak beriman, akhirnya ditimpa bencana
daripada Allah berupa gempa dan kepingan awan panas daripada
langit.
Nabi Musa as. dan Nabi Harun as. diutus
oleh Allah SWT kepada kaumnya Bani Israil supaya menyembah
Allah, membayar zakat, berpuasa dan berlaku jujur. Bani Israil
ramai yang ingkar sehingga mereka menyembah patung anak sapi
yang dipelopori oleh Samiri. Nabi Musa as. mendapat kitab
Taurat daripada Allah SWT dan diberi mukjizat. Kemudian Nabi
Daud as.dibekalkan oleh Allah dengan kitab Zabur mengajarkan
kepada kaumnya agar menyembah Allah dan mengerjakan ibadah
puasa. Nabi Daud as. wafat dalam usia lebih kurang 100 tahun,
lalu dimakamkan di Palastin.
Nabi Sulaiman as. adalah anak Nabi Daud as. beliau
seorang nabi dan raja. Nabi Sulaiman berdoa kepada Allah SWT
agar diberikan kepadanya kerajaan yang tidak akan diperolehi
seorangpun sesudahnya. Doa beliau dikabulkan Allah, sehingga
beliau dapat menguasai semua makhluk termasuk jin dan binatang.
Nabi Sulaiman mengajak semua kaumnya agar menyembah Allah
dan menghindari daparipada mensyirikkannya. Kemudian Nabi
Ilyas as. merupakan keturunan Nabi Harun diutus Allah
sebagari rasul di negeri Balbik di Lebanon Selatan kerana
orang Balbik ramai yang telah menyembah berhala. Patung terbesar
sembahan mereka bernama "Ba'al" dibuat dari emas.
Nabi Ilyas as. mengajak kaumnya agar menyembah Allah SWT iaitu
agama tauhid, namun ramai yang ingkar, sehingga kebanyakan
mereka ditimpa musibah gempa yang dahsyat. Nabi Ilyas wafat
dan dimakamkan di daerah Lebanon Selatan.
Nabi Ilyasa' as. diutus Allah SWT kepada Bani Israil,
agar mengajarkan agama tauhid berdasarkan kitab Taurat dan
kitab Zabur. Kerana kederhakaan dan pembangkangan mereka terhadap
Allah dan Rasul-Nya akhirnya orang-orang yahudi dijajah oleh
raja dari Babil bernama Nebukad Nezar. Kemudian Nebekud Nezar
dikalahkan oleh Cyrus raja dari Persia. Pada tahun 70 Sebelum
Masehi raja Rom bernama Titus memasuki Palastin dan merosak
seluruh kota Jerusalam, kecuali Baitul Maqdis. Begitulah bangsa
Yahudi mendapat kutukan dan laknat daripada Allah dan Rasul-Nya
sehingga bertebaranlah mereka ke seluruh pelosok, dikutuk
dan dihina oleh bangsa-bangsa lain di dunia.
Nabi Yunus as. keturunan Nabi ya'kub as. diutus oleh
Allah kepada bangsa Ninawa didaerah Mansul dalam kerajaan
Babil. Beliau mengajak kaumnya agar menyembah Allah , namun
ajakan beliau ditentang bahkan diejek. Akhirnya Nabi Yunus
meninggalkan kaumnya dan berdoa kepada Allah agar diturunkan
azab kepada mereka. Ketika tanda-tanda azab akan turun, maka
seluruh penduduk mencari nabi Yunus kerana ingin bertaubat,
namun nabi Yunus telah meneruskan pelayarannya. Mereka semuanya
beriman kepada Allah serta menyesal kerana melawan Rasul Allah.
Nabi Yunus diuji Allah ketika berada didalam perut ikan Nun.
Setelah kembali ke Ninawa dilihatnya mereka semua telah beriman,
maka nabi Yunus meneruskan dakwahnya, sehingga negeri tersebut
menjadi aman dan makmur.
Nabi Zakaria as dan Nabi Yahya as. diutus
kepada bangsa Yahudi, agar mereka menyembah Allah SWT, berlaku
jujur, adil dengan memegang petunjuk yang ada dalam kitab
Allah. Kemudian nabi Yahya dibunuh, kepala baginda dipenggal.
Begitu juga dengan Nabi Zakaria dibunuh ketika itu juga. Kedua
nabi tersebut telah mati syahid. Begitu sombong bangsa Yahudi
sehingga hati mereka menjadi tertutup dalam menerima kebenaran.
Hanya seksa Allah yang sesuai bagi mereka yang ingkar.
Nabi Isa as. adalah insan yang lahir dari tubuh Maryam
tanpa ayah, kemudian diangkat martabatnya menjadi nabi dan
Rasul. Sedangkan Hawa dilahirkan dari tubuh Adam tanpa ibu
di dalam syuga. Kemudian ditakdirkan oleh Allah SWT menjadi
ibu dari seluruh umat manusia. Maka agar tidak keliru dalam
beriman atau beriktikad, kita lihat firman Allah SWT maksudnya:
"Sesungguhnya perbandingan kejadian Nabi Isa di sisi
Allah adalah sama seperti kejadian Nabi Adam, Allah telah
menciptakan Adam dari tanah, lalu berfirman kepadanya: 'Jadilah
engkau! maka menjadilah ia' ".
(Surah Ali Imran ayat 59)
Nabi Isa as. diutus oleh Allah kepada kaumnya sendiri iaitu
Bani Israil di daerah Palastin agar tetap taat kepada Allah
SWT. Belaiu diberi kitab Injil yang melengkapi kitab Taurat
dan Zabur. Segala firman Allah yang diwahyukan kepada beliau
ditulis oleh pengikut-pengikutnya dengan tulisan Ibrani (Hebrew
bahasa Ibrani Yahudi).
Dapatkah kita menemukan kembali kitab Injil peninggalan
Nabi Isa as. itu? Untuk meyakinkan diri kita mari kita perhatikan
ayat-ayat Allah dibawah ini:
Firman Allah SWT maksudnya:
"Ia menjawab: "Sesungguhnya aku ini hamba Allah;
Ia telah memberikan kepadaku Kitab Injil dan ia telah menjadikan
daku seorang Nabi".
(Surah Maryam ayat 30)
Firman Allah SWT maksudnya:
"Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu,
maka sembahlah kamu akan Dia, inilah jalan yang betul atau
lurus".
(Surah Maryam ayat 36)
Ayat-ayat diatas membuktikan dengan jelas bahawa Nabi Isa
as. hanyalah seorang nabi dan Rasul bukanlah sebagai anak
Tuhan seperti yang didakwakan sesetengah pengikutnya. Kitab
Injil yang asal dengan tegas dan jelas menyuruh para pengikutnya
agar menyembah Allah semata tidak menyekutukannya dengan yang
lain. Namun kebanyakan pengikut nabi Isa telah merubah Kitab
Injil yang asli itu menurut selera mereka sendiri, maka lahirlah
beratus-ratus kitab Injil bahkan beribu-ribu jumlahnya.
Kerana terlalu keras tentangan kaumnya terhadap ajaran tauhid,
bahkan beliau diancam akan dibunuh, maka nabi isa dibawa hijrah
oleh bondanya ke negeri Mesir selama 12 tahun. Kemudian berpindah
lagi ke negeri Nazaret daerah Palastin. Di negeri ini beliau
mulai ada pengikut yang membenarkan ajarannya iaitu Mengesakan
Allah SWT.
Di antara orang-orang Yahudi tersiar berita nabi Isa yang
mempunyai ibu tanpa bapa itu sudah ditangkap oleh Yudas Iskariot,
lalu diserahkan kepada penguasa Romawi, kemudian disalib di
bukit Golgota. Ada pula yang berkata bukan Isa yang ditangkap
tetapi Yudas kerana dia berkhianat. Sebahagian orang meyakinkan
diri berkata bahawa bukan Nabi Isa, bukan Yudas tetapi orang
lain yang serupa dengan benar dengan beliau. Nabi Isa sendiri
selamat dari bencana malapetaka dunia. Sesungguhnya Allah
telah mengangkatnya ke atas langit.
Memang banyak sekali pendapat manusia bahkan antara satu
dengan yang lainnya bertentangan. Maka sebaiknya beriman sesuai
dengan ketentuan didalam Al Quran. Firman Allah maksudnya:
"Demi sesungguhnya, telah kafirlah orang-orang yang
berkata; bahawasanya Allah ialah Al Masih Ibni Maryam.
Padahal Al Masih sendiri berkata:
'Wahai Bani Israil, sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan
kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan
sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya
syurga dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah
seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.'
Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata:
Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan.
Padahal tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH
Yang Maha Esa.
Dan jika tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu,
sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan
dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya".
(Surah Al Maidah ayat 72-73)
Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada tahun 571 Masehi
melalui perkahwinan Aminah dengan Abdullah bin Abdul Muthalib
bin Hasyim. Baginda adalah keturunan Nabi Ismail as. bin Nabi
Ibrahim as. Nabi Muhammad SAW adalah insan termulia melebihi
tingkat dan darjat dari seluruh nabi-nabi dan umat manusia,
bahkan seluruh makhluk-makhluk Allah SWT. Sebab itu Rasulullah
(Nabi Muhammad SAW) bergelar "Rahmatan Lil 'Alamin".
ertinya "Rahmat bagi seluruh alam".
Rasulullah diberi kitab Al Quran, diutus oleh Allah untuk
seluruh bangsa di dunia ini. Seperti nabi-nabi atau rasul-rasul
Allah terdahulu bagindapun mengajar dan menyeru manusia supaya
menyembah Allah. Nabi Muhammad SAW adalah penutup dari sekalian
nabi dan rasul, jadi agama Allah yang diwahyukan semenjak
nabi Adam secara bertahap-tahap lagi teratur dilengkapi dan
disempurnakan Allah pada kenabian Muhammad SAW. Sebab itu
tidak akan ada lagi nabi dan wahyu sesudah baginda.
Bahkan dalam kitab-kitab yang sebelumnya menyatakan tentang
kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai rasul yang terakhir. Dalam
hal ini Nabi Isa as. sendiri menjelaskan kepada kaumnya tentang
akan munculnya seorang nabi terakhir sesudahnya. Di dalam
Al Quran dijelaskan ungkapan Nabi Isa as tersebut sebagai
berikut.
Firman Allah SWT maksudnya:
"Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika nabi Isa Ibni
Maryam berkata:
'Wahai Bani Israil sesungguhnya aku ini pesuruh Allah
kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan
sebelumku, iaitu Kitab taurat dan memberikan berita gembira
dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian
daripadaku bernama Ahmad.'
Maka tatkala ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan
yang jelas nyata, mereka berkata:
'ini ialah sihir yang jelas nyata'.".
(Surah As Saaf ayat 6)
Firman Allah SWT lagi maksudnya:
"Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak
angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari
orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan
segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui
akan tiap-tiap sesuatu".
(Surah Al Ahzab ayat, 40)
|