|
Hadith 1
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan
dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan
kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang
Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada
bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar
(keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".
Allah mempersiapkan serta menghiasi
jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya:
"Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang
taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar
(di dunia) dan akan mendatangimu."
Pada bulan ini syaitan-syaitan yang
durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat
yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan.
Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini)
akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun
bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul
Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya
seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan
tugasnya."
Hadith 2
Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan
bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan
hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan,
di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan,
menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan
doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi
kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat.
Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya
orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada
rahmat Allah pada bulan ini."
Hadith 3
Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan
bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang
dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan
begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap
orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti
akan diterima."
Hadith 4
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang
yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa
sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil,
dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya
melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan
Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya
Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."
Hadith 5
Ibn Umar ra. meriwayatkan
bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah
dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan
sahur."
Hadith 6
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan
tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat,
tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun
akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."
|